Friday, December 31, 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2011


Blog mingguanmindaniaga mengucapkan selamat tahun baru 2011 kepada semua pengujung blog ini. Semoga tahun 2011 menjanjikan lebih banyak lagi kejayaan kepada kita semua.

Monday, December 27, 2010

KWSP CATAT PEROLEHAN RM5.75 BILION


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan perolehan berjumlah RM5.75 bilion bagi suku ketiga tahun ini yang berakhir 30 September 2010 lalu hasil daripada peningkatan pelaburan ekuitinya.

Ini adalah berikutan meningkatnya keyakinan pelabur kepada ekonomi negara yang mendorong KWSP meningkatkan jenis pelaburan ekuitinya dengan lebih agresif sekali gus telah meningkatkan perolehan kumpulan itu.

KWSP dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, mencatatkan pertumbuhan perolehan pelaburan sebanyak 5.12 peratus berbanding RM5.47 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Azlan Zainol berkata, pelaburan jenis ekuiti sahaja menyumbang sebanyak RM2.4 bilion kepada pendapatan pelaburan KWSP bagi suku ketiga kali ini iaitu peningkatan 2.56 peratus berbanding RM2.34 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama 2009.

"Peningkatan permintaan domestik serta minat pelabur asing yang berkembang terhadap pasaran modal ekuiti tempatan, telah mengukuhkan portfolio pelaburan KWSP dengan pelaburan ekuiti mencatatkan pulangan memberangsangkan," katanya.

Jenis pelaburan berbentuk pinjaman dan bon pula merupakan penyumbang kedua terbesar pada suku kali ini pulangan sebanyak RM1.99 bilion. Ia adalah peningkatan sebanyak RM102.45 juta atau 5.43 peratus berbanding suku ketiga tahun lalu iaitu RM1.89 bilion.

Sementara itu, Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM) menjana pendapatan sebanyak RM1.14 bilion iaitu meningkat sebanyak RM540,000 berbanding suku ketiga 2009.

Pelaburan dalam instrumen pasaran wang mencatatkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 121.37 peratus menjadi RM193.28 juta daripada RM87.31 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun 2009.

Pelaburan hartanah pula mencatatkan pulangan menggalakkan dengan pendapatan sebanyak RM22.86 juta atau 6.97 peratus lebih tinggi berbanding suku ketiga tahun lalu.

Kata Azlan, pencapaian pelaburan hartanah itu adalah hasil polisi berhemat KWSP dalam memperoleh hartanah yang mempunyai kadar kependudukan tinggi bagi menjana pendapatan pelaburan konsisten.

"Dengan aliran harga hartanah dan kadar sewa yang dijangka naik, ia mampu mengekalkan pendapatan melalui pelaburan ini pada masa akan datang," ujarnya.

Beliau yakin KWSP dapat mengekalkan aliran peningkatan pendapatan pelaburan yang kukuh bagi tahun 2010 berdasarkan keupayaan negara untuk menepati pertumbuhan ekonomi sebanyak enam hingga tujuh peratus tahun ini.

Setakat 30 September 2010, keseluruhan pelaburan KWSP berjumlah RM425.49 bilion.

Mengikut pecahan, jenis pelaburan pinjaman dan bon merupakan penyumbang terbesar iaitu RM159.66 bilion atau 37.52 peratus. Ini diikuti pelaburan berbentuk ekuiti iaitu RM143.31 bilion mewakili sebanyak 33.68 peratus nilai keseluruhan pelaburan KWSP.

Ketiga ialah pelaburan dalam SKM berjumlah RM90.02 bilion atau 21.16 peratus.

Sementara itu. pelaburan jenis instrumen pasaran wang dan jenis hartanah masing-masing menyumbang sebanyak RM30.61 bilion (7.20 peratus) dan RM1.89 bilion (0.44 peratus) kepada nilai keseluruhan pelaburan KWSP.

Tambah Azlan, KWSP sentiasa mengkaji peruntukkan pelaburannya bagi memastikan pulangan yang berpatutan diperolehi setiap masa serta mengutamakan kepentingan ahli.

Thursday, December 23, 2010

KEJAYAAN PERTAMA MINDANIAGA







Walaupun majalah Mindaniaga masih baru, ia telah berjaya menganjurkan majlis Sepetang Bersama Ibu Tunggal di Hotel Royale Chulan di Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 20 Disember lalu.

Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah telah diberi penghormatan untuk merasmikan majlis yang dihadiri oleh 30 orang ibu tunggal itu.

Dalam ucapannya, beliau mengajak ibu tunggal bersdia menghadapi cabaran global dengan mengambil semua peluang perniagaan yang diwujudkan oleh kerajaan. Majlis itu yang turut dianjurkan oleh akhbar Harian Mutiara mencatat sejarah kerana akhbar Harian Mutiara belum berada di pasaran sudah berjaya menganjurkan majlis seperti itu dengan rakan sebumbungnya, majalah Minda Niaga.

Sementara itu Ketua Editor Kumpulan, Haji Hamzah Mohd. Sidek dalam ucapannya memperkenalkan majalah Mindaniaga yang baru berada di pasaran dan yang bakal terbit pada 1.1.11 (1 Januari 2011) akhbar Harian Mutiara khusus untuk wanita dan keluarga.

Seramai 4 orang usahawan telah diberi peluang mebentangkan kertaskerja masing-masing dalam majlis yang bermula dari jam 2 hingga 5 petang itu. Mereka ialah Puan Kay dari Rahman Brothers yang memperkenalkan peluang perniagaan membuka kiosk roti; Datin Hanita Hamzah dari Arieta Beauty yang memperkenalkan produk Go Gougeous; Saleha Hassan bercakap tentang perlunya wanita belajar seni mempertahankan diri dan Cik Fiza bercakap tentang Booster Minda.

Wednesday, December 22, 2010

SPNB CADANG HAPUSKAN WANG TAHANAN


Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB)bercadang menghapuskan serta merta wang tahanan RM2,500 yang dikenakan ke atas kontraktor yang membina Projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) bermula projek yang akan datang.


Pengerusi SPNB Datuk Ir Idris Haron berkata langkah itu akan membantu kontraktor mendapatkan julat keuntungan yang lebih banyak.


"Projek kita melibatkan kos yang kecil iaitu lebih kurang RM70,000 sahaja. Wang tahanan ini hanya akan menjejaskan julat keuntungan mereka...sudahlah keuntungan mereka kecil sahaja," katanya di sini hari ini.


Beliau berkata, dengan keadaan industri pembinaan yang begitu mendesak, keuntungan mereka hanyalah dalam lingkungan RM5,000 ke RM10,000 sahaja. Jadi, dengan adanya wang tahanan, keuntungan mereka akan berkurangan dan ini sekaligus akan menjejaskan

kualiti pembinaan," katanya.


Wang tahanan adalah sejumlah wang yang ditahan oleh SPNB dari bayaran kemajuan kerja kontraktor, yang bertujuan melindungi mutu kerja dari sebarang kecacatan.

Ianya akan ditahan sehingga selesai tempoh jaminan kecacatan tamat, iaitu selama satu tahun selepas projek siap. - Bernama

Monday, December 20, 2010

KKLBDW LAHIRKAN 8 RIBU USAHAWAN MIKRO


Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berhasrat melahirkan sekurang-kurangnya 8,000 usahawan mikro melalui peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malik berkata, bagi menjayakan hasrat tersebut, golongan belia dan masyarakat luar bandar digalakkan untuk menyertai pelbagai program yang akan diaturkan oleh kementerian.

Beliau berkata, program yang melibatkan peruntukan RM40 juta itu akan memberi bimbingan dan tunjuk ajar cara yang betul oleh perunding perniagaan di samping menyusun semula peniaga yang berniaga secara berselerak.

"Masyarakat di negara ini juga perlulah melihat bidang usahawan dan perniagaan sebagai peluang terbaik mereka untuk menambahkan pendapatan dan seterusnya meningkatkan pembangunan ekonomi negara.

"Kita tidak mahu masyarakat menganggap bidang tersebut sebagai kerjaya kelas kedua dan untuk itu kita akan memperhebatkan program pembangunan usahawan bagi membantu mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Produk Kemahiran GiatMara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Meriyam Abd. Majid dan Pengurus GiatMara Wilayah Persekutuan, Jamaludin Ali.

Menurut Hasan, cabaran bagi melahirkan lebih ramai usahawan di negara ini juga menjadi semakin rumit ekoran tercetusnya krisis ekonomi global ketika ini.

"Oleh itu, kita bukan sahaja perlu menumpukan kepada inisiatif melahirkan usahawan semata-mata, tetapi juga perlu memberi perhatian kepada usaha membentuk mereka untuk lebih berdaya saing bagi menghadapi pelbagai kemungkinan," katanya.

Sementara itu katanya, generasi muda sekarang seharusnya mengambil peluang ini untuk terlibat dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

"Mereka juga digalakkan untuk menyertai mana-mana pusat latihan kemahiran bagi membentuk minat mereka dalam bidang keusahawanan.

"Pusat latihan kemahiran yang dinamik dan berjaya antaranya GiatMara, ini kerana sepanjang penubuhannya agensi tersebut telah melatih 207,570 pelatih di 209 cawangan di seluruh negara," katanya

Dalam pada itu, Jamaludin memberitahu, GiatMara akan menubuhkan dua cawangan yang baru di Parlimen Batu dan Wangsa Maju.

Katanya, kedua-dua cawangan tersebut akan mula beroperasi awal tahun depan dan melalui penubuhan tersebut, GiatMara kini mempunyai 301 cawangan di seluruh negara.

Thursday, December 16, 2010

KFC RANCANG BUKA 25 KEDAI AYAMAS


KFC Holdings (Malaysia) Bhd. (KFCH) merancang membuka 25 Kedai Ayamas yang baharu tahun depan melibatkan pelaburan sebanyak RM9 juta.

Pengarah Urusannya, Jamaludin Md Ali berkata: "Setiap satu cawangan melibatkan pelaburan sebanyak RM350,000 dan kami yakin pembukaannya bakal mendapat sambutan kerana kualiti produk yang ditawarkan,'' kata beliau selepas melancarkan Perkhidmatan Penghantaran Kedai Ayamas di sini hari ini.

Kedai Ayamas merupakan kedai serbaguna yang menjual pelbagai produk Ayamas antaranya ayam segar, makanan sejuk beku, kek dan ayam panggang.

Perkhidmatan penghantaran yang dilancarkan hari ini terhad kepada para pelanggan di Lembah Kelang sahaja.

Lapan cawangan dipilih sebagai projek perintis iaitu Kelana Jaya, Bandar Sri Damansara, Taman Pertama, Cheras, Rawang, Selayang, Subang Jaya, Shah Alam dan Taman Tun Dr. Ismail.

Menurut Jamaludin, perkhidmatan penghantaran ini akan diluaskan ke cawangan-cawangan lain pada masa akan datang.

Kedai Ayamas membelanjakan RM200,000 bagi melaksanakan perkhidmatan penghantaran ini termasuk mengubahsuai bangunan dan membeli 16 buah motosikal.

Antara barangan yang boleh dipesan melalui perkhidmatan ini termasuk ayam segar, produk-produk sejuk beku, minuman, kudapan, sos, makanan dalam tin dan bakeri.

Pesanan pembelian perlulah sekurang-kurangnya RM10 dan RM3 bayaran tambahan akan dikenakan bagi setiap penghantaran.

Menurut Jamaludin, perniagaan Ayamas yang merangkumi Kedai Ayamas dan rangkaian restoran RasaMas menyumbang 30 peratus kepada perolehan keseluruhan kumpulan.

" Dengan perkhidmatan terbaharu ini dan pembukaan lebih banyak cawangan tahun depan, saya yakin segmen Ayamas mampu meneruskan pertumbuhan dua digit tahun depan, " ujarnya.

Bagi sembilan bulan tahun ini, jualan segmen Ayamas berkembang 43 peratus.

KFC Holdings merupakan sebahagian daripada JCorp menerusi anak syarikat milik Kerajaan Johor itu, Kulim (Malaysia) Bhd. yang mana memiliki 57.5 peratus pegangan di dalam QSR Brands Bhd.

Monday, December 6, 2010

ETIKA LANCAR PRODUK BARU


Etiqa Insurans dan Takaful telah melancarkan kempen A Lifetime of Love in One Simple Gift bagi membolehkan orang ramai melanggani pelan insurans dan takaful untuk tersayang.

Ketua Pegawai Jualan Etiqa, Shahril Azuar Jimin berkata, produk terbaru itu dilancarkan untuk memberi peluang orang ramai membelikan hadiah, khas kepada tersayang sesuatu yang lebih bermakna dan bernilai.

''Selain itu, ia merupakan cara Etiqa mendidik orang ramai untuk membeli hadiah terbaik kepada insan yang disayangi.

''Pelan perlindungan insurans atau takaful adalah hadiah seumur hidup dan boleh digunakan ketika diperlukan,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Melalui kempen itu, Etiqa menawarkan produk-produk kukuh dan terbarunya yang akan menyediakan perlindungan optimum dan kelebihan pinjaman.

Ia termasuk pelan Hadiah Perlindungan, Hadiah Simpanan 'Hadiah Pendidikan dan Hadiah Cinta.

Bagi pelan Hadiah Cinta, pelan Suri atau Femina Khas adalah hadiah penghargaan yang kompleks dan unik bagi gaya hidup wanita.

''Sama ada hadiah untuk suami kepada isterinya atau untuk diri sendiri, kedua-dua pelan menyediakan pelbagai kelebihan perlindungan untuk wanita termasuk penyakit, rawatan hospital, perlindungan semasa membuat pengeluaran wang di AT dan ragut,'' katanya.

Dengan kadar faedah dalam simpanan dan mempunyai aliran tunai tinggi, orang ramai diberi pilihan itu dalam Perlindungan Gaya Hidup Tiga Kali Ganda atau pelan khas berganda untuk Hadiah Simpanan.

Kedua-dua pelan itu bukan sahaja menyediakan perlindungan tetapi pulangan tunai berjadual jangka panjang yang boleh digunakan sebagai simpanan dan pelaburan atau tunai tambahan bagi percutian dan membeli-belah.

Sarjana pula adalah Hadiah Pendidikan yang sesuai untuk ibu bapa bagi perlindungan masa depan anak-anak mereka.

Sunday, December 5, 2010

TNB LUMPUHKAN SYARIKAT MELAYU?




Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebuah GLC (syarikat berkaitan kerajaan) didakwa telah menganayai sebuah syarikat Melayu.

Menurut Pengerusi I-Expo Sdn Bhd, Kapten (B) Mahadzir Tan Sri Mansor, pihaknya telah dianayai oleh pihak TNB yang mana TNB melalui anak syarikatnya TNEC (Tenaga Nasional Engineering Corporation) telah mencuri balik barangan yang telah mereka jual kepada pihaknya.


"Saya mengadakan sidang akhbar ini setelah mengambil kira usaha untuk menemui Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamed Noh tidak berhasil. Kami telah menghantar pelbagai surat rayuan untuk menemuinya tetapi hasrat kami tidak diendahkan," katanya dalam sidang akhbar yang dihadiri oleh pelbagai akhbar Melayu dan Cina. Malangnya akhbar Melayu tidak berani menyiarkan berita sidang akhbar itu kecuali akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 2 Disember telah menyiarkannya.

Katanya, syarikat kami telah mengikat kontrak meroboh sebuah stesen janakuasa TNB di Perai, Butterworth, Pulau Pinang pada 3 Februari 2006 dan pada 7 Mac 2006 kami telah membuat pembayaran bagi scrap metal sebanyak RM14 juta untuk kuantiti 29,100.000 tan/unit.

"Setelah selesai pengambilan pada 15 Mei 2009, sah sebagaimana yang kami jangkakan scrap metal ini didapati berkurangan sebanyak 9,665.058 tan/unit yang kami pasti telah dicuri balik oleh pihak TNB/TNEC," katanya lagi.

"Sebagai bukti ada gambar-gambar yang kita ambil semasa kejadian berlaku malah kami telah membuat laporan polis beberapa kali namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa," katanya.

Beliau mendakwa pihak TNB/TNEC telah menyalahgunakan kuasa dengan memakai uniform serta kenderaan TNB bagi mengangkut scrap-metal ini.

"Mereka juga sentiasa dapat keluarkan scrap-metal ini dari kawasan tapak dengan membuat beberapa permit material release palsu supaya dapat menipu pengawal keselamatan,' jelasnya lagi.

Kapten (B) Mahadzir amat dukacita kerana permohonan pihaknya untuk menemui CEO TNB bagi menyelsaikan perkara ini tidak dilayan.

"Apa yang kami mahu ialah mendapatkan kembali barangan kami dan kami pernah menerima tiga butir peluru hidup untuk menggertak kami," katanya lagi.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku adalah skandal terbesar TNB dalam menganayai usahawan Melayu seperti beliau.

Beliau menggesa para pemimpin kerajaan menyiasat perkara ini dan TNB memulangkan semula hak syarikat beliau yang melebihi RM51 juta.

"Datuk Seri Che Khalib telah diberi maklumat yang salah oleh para pegawai TNB yang menyebabkan beliau enggan berjumpa kami. Apa salahnya beliau bersifat terbuka menerima kami mengemukakan aduan untuk penyelesaian," katanya lagi.

Beliau hairan bagaimana Che Khalib dinobatkan sebagai CEO terbaik sedangkan perkara yang kami hadapi tidak diselesaikan yang boleh melumpuhkan syarikat Melayu seperti kami.

Saturday, November 27, 2010

MINDANIAGA TERUS DAPAT SAMBUTAN








Majalah Mindaniaga terus mendapat sambutan hangat daripada orang ramai termasuk dari Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin Abdul Rashid.

Gambar-gambar yang tersiar ini ialah di antara orang kenamaan yang membaca majalah Mindaniaga iaitu Pengerusi Perdasama cawangan Wilayah Persekutuan, Datuk Major (B) Abdul Rahim Mohd. Saad; usahawan kreatif, Jamal Nasir Awang; usahawan rambut, Hayati Abdul Aziz dan usahawan perabut dapour, Puan Laily dan usahawan factoring,Md Haris Md Jaafar.Tidak ketinggalan seorang motivator, Dr Ridzuan Noor.

Semalam di Expo Maha di Serdang, majalah Agromalaysia telah diedarkan kepada semua pengusaha yang menyewa gerai di situ secara percuma. Di dalam majalah tersebut turut disiarkan iklan Mindaniaga. Semoga promosi yang dilakukan oleh Agromalaysia ini dapat memberi faedah kepada majalah Mindaniaga. Terimakasih kami ucapkan kepada Agromalaysia.

Wednesday, November 24, 2010

DASAR MONETARI TIDAK DIUBAH


Kerajaan tidak bercadang mengubah dasar monetarinya untuk menangani aliran masuk dana jangka pendek (wang panas) ke negara ini kerana keadaan belum sampai ke peringkat kritikal.

''Keadaan itu masih lagi terkawal dan tidak membimbangkan,'' kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa memantau dari semasa ke semasa terhadap perkembangan aliran masuk wang panas ke negara ini.

''Kita tidak mahu dibimbangkan dengan masalah yang masih terkawal. Malah, kita mempunyai pasukan penguatkuasaan yang mencukupi dan kuat.

''Jadi, buat masa ini, kita tidak perlu membuat spekulasi terhadap masalah tersebut,'' katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran sistem rakan niaga Ads4Merchants anjuran Ads4bucks Network Sdn. Bhd. (Ads4bucks) di Kuala Lumpur semalam.

Hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Ads4bucks, Dr. Zainol Anuar Mohd. Sharif, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Ads4bucks, Ameer Nozaideen Abd. Wahab.

Ads4bucks merupakan syarikat penyedia platform pengiklanan dalam talian internet global milik bumiputera.

Ditanya sama ada Malaysia bersedia menghadapi sebarang krisis ekonomi, Awang Adek menambah, negara sudah bersedia berhadapan dengan situasi itu.

Katanya, negara sudah pun menempuh saat getir ekonomi yang lebih hebat sebelum ini dan berupaya menghadapinya.

Sunday, November 21, 2010

FAMA LAHIRKAN 700 USAHAWAN PASAR TANI


Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) berjaya melahirkan hampir 700 usahawan pasar tani sejak ia diperkenalkan 25 tahun lalu di Terengganu.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata dalam masa sama Fama juga berjaya mewujudkan 13 buah pasar tani bagi memberi peluang petani-petani berniaga.

"Pasar tani merupakan satu platform terbaik kepada petani-petani di negeri ini untuk mengubah nasib mereka dengan menjadi usahawan berjaya berasaskan pertanian," katanya selepas majlis sambutan 25 Tahun Pasar Tani peringkat negeri Terengganu kelmarin.

Hasan berkata setiap peserta pasar tani di Terengganu pada masa ini berjaya memperoleh pendapatan bulanan purata kira-kira RM1,000 sebulan.

Beliau berkata Fama bercadang menambah lima hingga 10 buah lagi pasar tani di Terengganu tahun depan supaya lebih ramai lagi petani dapat peluang berniaga.

Hasan berkata nilai jualan pasar tani di Terengganu tahun ini dianggarkan meningkat kepada RM18 juta berbanding RM16 juta pada tahun lepas.

Katanya daging lembu, ayam, ikan dan sayur-sayuran adalah di antara komoditi yang menyumbang nilai tertinggi pasar tani di Terengganu tahun ini.

Hasan berkata Fama menjangka akan mengalami masalah bekalan bahan pertanian menjelang musim tengkujuh terutama dari kawasan yang mudah dilanda banjir seperti Setiu dan Besut.

"Fama menjangkakan kira-kira 60 peratus bekalan bahan pertanian seperti sayur-sayuran merosot pada musim banjir ini dan kita terpaksa mengimport dari luar termasuk Cameron Highlands untuk menampung kekurangan di Terengganu

Thursday, November 18, 2010

INVEST KL AKAN DITUBUHKAN


Sebuah agensi dikenali sebagai Invest KL akan ditubuhkan menjelang tahun depan untuk menarik 100 syarikat multinasional (MNC) melabur di ibu negara dan Lembah Klang dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, agensi terbaru itu akan bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) untuk menarik kemasukan lebih ramai pelabur antarabangsa.

''Biarpun ia belum lagi ditubuhkan, kerajaan melalui Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) telahpun berjaya menarik kemasukan dua MNC terkemuka iaitu Schlumberger dan Vale di Selangor.

''Invest KL menumpukan kepada usaha untuk menarik sekurang-kurangnya 98 buah MNC lagi menjelang tahun 2010," katanya pada sidang akhbar mengenai Greater KL di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib.

Raja Nong Chik juga berkata, Kabinet akan memutuskan sama ada Invest KL akan diletakkan di bawah kementeriannya atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Wednesday, November 17, 2010

KOMITA RANCANG BUKA PASAR RAYA DI PERTH


Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita) merancang mengadakan sebuah pasar raya berkonsepkan halal 1Malaysia Best bernilai A$500,000 (RM1.54 juta) di Perth, Australia pada pertengahan tahun depan.

Pengerusi Eksekutifnya, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohammed berkata, penubuhan pasar raya halal 1Malaysia Best itu dibuat berikutan permintaan tinggi produk-produk makanan kering, sejuk/beku halal tempatan khususnya daripada kira-kira 30,000 masyarakat Malaysia yang menetap di Perth dan juga pendatang Asia lain.

Katanya, pihaknya kini dalam proses berunding dengan rakan niaga di Perth selepas sambutan hangat Karnival 1Malaysia Best yang diadakan di Pavilion Jim Webster, Claremont di Perth baru-baru ini.

‘‘Kita sedang berunding untuk mewujudkan sebuah firma perdagangan (trading house) dan pasar raya halal 1Malaysia Best pertama yang lokasinya dikenalpasti terletak di pusat bandar Perth.

‘‘Pasar raya ini nanti akan memasarkan pelbagai jenis produk berasaskan produk makanan pelbagai kaum di negara ini,” katanya ketika dihubungi d sini hari ini.

Katanya lagi, buat permulaan, pasar raya itu dijangka memasarkan lebih 500 produk makanan halal tempatan daripada kira-kira 50 usahawan Komita yang akan dijadikan perintis selain membuka ruang kepada syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bukan bumiputera untuk memasarkan produk-produk mereka.

Selain itu, beliau menambah, Komita juga berhasrat mengadakan kerjasama dengan Felda bagi memasarkan minyak masak sayur berjenama saji, selain menawarkan kepada para usahawan di bawah agensi itu menjual produk mereka di sana.

Ahmad seterusnya berkata, pihaknya berharap pasar raya itu dapat dilancarkan pada Jun bagi membolehkannya beroperasi sempena Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth yang dijangka pada 28 Oktober depan.

Tambahnya, mana-mana pengusaha berminat untuk memasarkan produk mereka ke Perth boleh menghubungi Setiausaha Komita, Suriati Rahman di talian 012-3086620 atau 03-80604514 untuk perbincangan lanjut.

Ditanya tentang perancangan lain Komita pula, beliau berkata, pihaknya merancang membawa masuk dua kontena memuatkan 100 produk makanan halal, pada Januari depan.

‘‘Komita akan menghantar dua kontena produk makanan halal Malaysia ke negara itu masing-masing berisi produk kering dan produk sejuk beku yang dijadualkan dapat dipasarkan pada awal tahun depan,” katanya.

Kata beliau, antara produk itu termasuk kuih-kuih dan biskut buatan usahawan Melayu termasuk murtabak raja berperisa nanas yang mendapat sambutan hangat di karnival itu, selain sos, kerepek dan keropok lekor, minyak sayur dan pelbagai jenis jus buah-buahan.

Monday, November 15, 2010

MINDA NIAGA BERADA DI BERJAYA TIMES SQUARE



Majalah Minda Niaga terus diberi promosi. Semalam majalah ini menembusi Berjaya Times Square di tapak pameran Ice Age di tingkat tujuh bangunan milik Tan Sri Vincent Tan itu.

Mindaniaga rasa bangga kerana anak Melayu diberi peluang oleh Vincent Tan untuk mempamerkan kreativitinya. Lebih membanggakan kerana usahawan Melayu itu adalah kawan lama editor Minda Niaga, Mohd. Zabidi Haji Saidi iaitu Jamal Nasir Awang.

Zabidi mengenali Jamal sejak 31 tahun lalu ketika mereka sama-sama menjadi guru sementara di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang, Terengganu. Jamal yang berasal dari Kuala Berang mengadakan pameran ice age sejak bulan Februari lalu.

Pameran ice age diberi sambutan hebat oleh orang ramai. Malah pengarah seni filem Crocodile Dundee dari Australia kagum dengan kreativiti Jamal Nasir. Oleh itu siapa kata usahawan Melayu tidak boleh berniaga di kompleks belibelah orang bukan Melayu?

Bacalah kisah kejayaan Jamal nasir dalam majalah Minda Niaga edisi dua nanti.

Sunday, November 14, 2010

MINDA NIAGA JALIN KERJASAMA DENGAN DR RIDZUAN





Majalah Minda Niaga telah menjalinkan kerjasama dengan seorang pakar motivasi terkenal, Dr Ridzuan Noor. Semalam Dr Ridzuan telah mengadakan seminar Law of Attraction di Hotel Pearl di Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur.

Seramai 48 orang peserta telah menghadiri seminar satu hari itu. Majalah Minda Niaga telah diberi peluang mengadakan kerjasama dengan beliau di mana semua peserta telah diberi naskhah percuma Minda Niaga.

Menurut editor Minda Niaga,Mohd. Zabidi Saidi, peluang yang diberi oleh Dr Ridzuan amat baik untuk mempromosi majalah baru yang berada di pasaran sejak 4 November lalu. Majalah bulanan ini turut memuatkan kolum Dr Ridzuan di muka surat 18.

Beliau berharap para peserta seminar dapat melanggan majalah supaya mereka lebih mudah mengikuti kolum Dr Ridzuan setiap bulan tanpa perlu berkejar ke kedai buku. Langganan setahun hanya RM120 sahaja dan bolehu hubungi penerbit, Wow Communications Sdn Bhd di nombor telefon 03-41088867

Friday, November 12, 2010

MAYBANK UNTUNG RM1 BILION PADA SUKU PERTAMA


Malayan Banking Bhd. (Maybank) merekodkan peningkatan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak 16.6 peratus kepada RM1.03 bilion pada suku pertama berakhir 30 September 2010 berbanding RM881.8 juta sebelumnya.

Maybank turut mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai sebanyak 21.5 peratus kepada RM1.40 bilion berbanding RM1.16 bilion.

Bermula suku ini, Kumpulan telah menggunakan sistem perakaunan FRS 139 yang meletakkan bank itu selari dengan standard perakaunan antarabangsa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, keputusan suku ini adalah testimoni kepada kejayaan usaha transformasi yang telah bermula sejak 2008.

‘‘Dengan misi untuk menginsankan perkhidmatan kewangan seluruh Asia, Maybank sedang memperbaharui fokus bagi pasaran utama di rantau yang mempunyai peluang untuk membawa produk jenama unik dan kemudahan kepada pemegang kepentingan.

‘‘Ia terbukti dengan progres signifikan operasi Indonesia, dan menjadikan negara itu sebagai pasaran ketiga selepas Malaysia dan Singapura,’’ katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sin hari ini.

Tambah Abdul Wahid, dengan peningkatan keyakinan organisasi terhadap perjalanan transformasi, Maybank akan mempertingkatkan usaha pertumbuhan, mengimbangi sinergi, mempertingkat produktiviti serta mengurangkan masa berurusan pelanggan bagi segmen tertentu.

‘‘Mengambil kira perkara-perkara tidak pasti, kami menjangkakan prestasi kewangan berakhir 30 Jun 2011 akan lebih baik berbanding tahun lalu dan berada di landasan baik untuk mencapai sasaran pulangan ke atas ekuiti (ROE) pada paras 14 peratus.

‘‘Capaian luas dan fokus penggunaan modal terutamanya ASEAN bermakna kami berada di kedudukan terbaik untuk mengekalkan pertumbuhan kukuh pada tahun ini,’’ jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor berkata, prestasi bank pada suku ini adalah sangat memuaskan walaupun Maybank baru melaksanakan standard perakaunan FRS 139 serta Basel II untuk pertama kalinya.

Keputusan kewangan lebih baik Kumpulan dicapai berdasarkan keuntungan lebih tinggi bagi perniagaan utama seperti perkhidmatan kewangan komuniti dan perniagaan perbankan borong global untuk perbankan korporat dan pasaran global dan sebagainya.

Abdul Wahid berkata, operasi Maybank Indonesia meneraju pertumbuhan pinjaman dengan peningkatan tahunan sebanyak 30 peratus diikuti oleh perkhidmatan kewangan komuniti pada paras 10 peratus dan operasi di Singapura pada paras lima peratus.

Perniagaan perbankan Islam Maybank juga merekodkan pertumbuhan pembiayaan kukuh pada 25.8 peratus yang menyebabkan keuntungan sebelum cukai berganda bagi suku ini.

Maybank Islamic kekal sebagai bank Islam terbesar dari segi aset di rantau Asia.

‘‘Pendapatan kasar perbankan Islam meningkat 9.1 peratus kepada RM508 juta berbanding RM465.7 juta sebelumnya.

‘‘Keuntungan sebelum cukainya pula menyumbang sebanyak 14 peratus kepada jumlah keseluruhan keuntungan sebelum cukai Kumpulan,’’ katanya.

Selain itu bagi operasi di Singapura, ia merekodkan pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus bagi perolehan.

Manakala di Indonesia melalui operasi PT Bank Internasional Indonesia Tbk. (BII) merekodkan peningkatan pendapatan kasar sebanyak 22.6 peratus kepada Rp 1.46 trilion (RM510.96 juta).

DAPATKAN MAJALAH MINDA NIAGA DI PASARAN

Wednesday, November 10, 2010

KONTRAKTOR KELAS A DIGALAK BUKA KILANG


Kontraktor bumiputera kelas A digalak menceburkan diri sebagai pengilang dan pengeluar bagi mewujudkan rantaian perniagaan yang kuat di kalangan peniaga bumiputera.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, rata-rata kontraktor tersebut berkemampuan di segi kewangan dan seharusnya berani membuka kilang supaya dapat memberi manfaat kepada usahawan Melayu.

Menurut beliau, sektor pembinaan yang dimonopoli oleh kaum lain memungkinkan berlakunya sabotaj terhadap kontraktor bumiputera sehingga boleh menyebabkan kerugian besar.

"Apabila syarikat bumiputera berkemampuan menjadi pengilang, mereka boleh mewujudkan satu jaringan di peringkat pembekal, pemasangan dan logistik sesama sendiri.

"Bila usahawan bumiputera bersatu, industri pembinaan negara tidak lagi dilihat hanya dimonopoli oleh sesetengah pihak sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pengilang dan Pengeluar Komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) Bumiputera di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Guild of Bumiputera Contractors (GBC), Datuk Mohd. Said Mat Saman dan Timbalan Ketua Pengarah (Usahawan) Majlis Amanah Rakyat (Mara), Abdul Rahim Abdul Ghani.

Seminar yang membincangkan mengenai industri pembinaan mengunakan IBS itu bertujuan memberikan pendedahan kepada kontraktor bumiputera peluang dan potensi industri IBS.

Selain itu, seminar tersebut juga akan membincangkan kaedah terbaik di kalangan syarikat bumiputera supaya dapat mewujudkan rantaian pembinaan sesama sendiri.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, walaupun bidang IBS bukan baru di negara ini tetapi potensinya masih lagi luas.

Tambah beliau, pembinaan menggunakan sistem IBS juga merupakan industri yang sedang pesat berkembang selepas kerajaan mengumumkan sekurang-kurangnya 70 peratus komponen IBS perlu digunakan dalam sektor pembinaan.

"Walaupun ini bukan bidang baru tetapi usahawan bumiputera masih berpeluang menceburi bidang itu sebagai pengilang dan pengeluar.

"Usahawan bumiputera boleh merebut peluang ini selepas kerajaan mengumumkan penguatkuasaan penggunaan IBS dalam setiap projek milik kerajaan yang dilaksanakan sejak tahun ini," ujarnya.

Tuesday, November 9, 2010

SYED MOKHTAR JADI IDOLA JW




Sebut sahaja JW, orang tidak pernah terfikir bahawa ia adalah singkatan kepada Juzairiyah binti Wazir,34 tahun yang menamakan syarikatnya dengan nama JW United Corporation Sdn. Bhd.

Kebetulan JW dilahirkan di Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak di mana JWW Birch, Residen British yang pertama di Perak dibunuh. JW tidak kena mengena dengan JWW Birch tetapi nama JW begitu popular mutakhir ini sebagai usahawan wanita yang berjaya.

Beliau yang dilahirkan pada 22 Mac 1976 merupakan anak yang lincah di kalangan 12 orang adik beradik. Memulakan pengajian di Sekolah Kebangsaan Pasir Raja Ulu, beliau dipilih ke sekolah berasrama program anak angkat untuk rancangan kanak-kanak desa cemerlang ketiak berusia 9 tahun.

JW meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh (1989-1993) dengan memperolehi keputusan cemerlang dalam SRP dan SPM. Menyambung persekolahan di peringkat STPM di Sekolah Menengah Sri Perak, Teluk Intan(1994-1995), keputusan STPMnya tidak membantunya untuk belajar di universiti.

Beliau terus bekerja sebagai kerani di Bank of Commerce di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur. Akhirnya beliau dinaikkan pangkat sebagai pembantu peribadi (PA) dan akhirnya menjadi Setiausaha.

Selepas menimba pengalaman sebagai setiausaha, akhirnya JW memberanikan diri meletakkan jawatannya yang bergaji lumayan dengan menyertai perniagaan. Sikapnya yang peramah dan suka bertanya menyebabkan beliau lebih mudah bergaul dengan usahawan-usahawan wanita yang berjaya di Shah Alam tempat beliau menetap dan beliau aktif dalam Persatuan Usahanita Selangor.

Dengan bermodalkan RM250,000, JW mengorak langkah menubuhkan JW United Corporation Sdn Bhd yang mengeluarkan produk minuman berasaskan tongkat ali. Kilangnya terletak di Kuala Kubu, Selangor dan beliau menjangka pengeluaran sebanyak 10,000 kotak sebulan.

Beliau telah melahirkan satu produk minuman tongkat ali yang bernama Silver Alam Habbatus Sauda.Beliau berharap produk ini akan menjadi kegemaran orang ramai. Malah cita-citanya agak tinggi supaya produk ini dapat dipasarkan ke Indonesia dan Singapura tidak lama lagi.

Bercakap tentang persaingan dengan pelbagai produk tongkat ali yang lain, JW berkata,” setiap minuman ada kelebihannya. Maka Silver Alam juga ada kelebihannya. Untuk mengetahui apa kelebihannya, belilah produk ini”.

Ketika ditanya kenapa beliau menyertai bidang minuman, JW menjelaskan ilham ini timbul ketika beliau mengikuti seminar industri halal.

“Apa yang perlu dikeluarkan berkait dengan industri halal? Maka saya fikir, minuman seperti Habbatus Sauda yang ternyata halal boleh diterima oleh semua orang Islam di seluruh dunia sebagai produk halal. Maka saya ambil keputusan untuk menceburi bidang minuman halal ini,” katanya lagi.

Bilionaire Tan Syed Mokhtar Al Bukhary menjadi idola JW. JW masih ingat membaca kisah hidup billionaire itu yang menyedekahkan separuh gaji pertamanya sebagai usahawan kepada fakir miskin. JW tersentuh membaca kisah Syed Mokhtar ini dan beliau berazam mencontohi sikap perihatin Syed Mokhtar kepada golongan yang tidak bernasib baik.

Sebagai usahawan, beliau bersetuju bahawa promosi adalah faktor utama yang menentukan kejayaan sesuatu produk. Sehubungan dengan itu beliau memperuntukkan sebanyak 40 peratus dari bajet mengeluarkan produk ini untuk kerja-kerja promosi.
JW berhasrat mengeluarkan lebih banyak produk dari masa kesemasa bergantung kepada sambutan setiap produk yang dikeluarkan nanti.

(untuk keterangan lanjut, bacalah majalah minda niaga edisi terbaru)

Monday, November 8, 2010

AL-IKHSAN RANCANG BUKA KEDAI SUKAN UNTUK WANITA


Pengedar barangan sukan, Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd. (Al-Ikhsan) merancang membuka kedai sukan untuk wanita dikenali Al-Ikhsan Sports Girl.

Pengarah Urusannya, Ali Hassan berkata, pada permulaan pengedar barangan sukan itu merancang membuka tujuh premis di bandar-bandar utama di Semenanjung.

Beliau berkata, Al-Ikhsan Sports Girl akan menjual semua jenis pakaian serta kelengkapan sukan jenama Nike, Adidas, Puma dan Reebok untuk wanita.

"Pembukaan premis ini untuk memenuhi tuntutan para pelanggan wanita yang menyatakan bahawa pakaian serta kelengkapan sukan berkualiti tinggi jenama terkemuka sukar diperoleh dalam pasaran tempatan.

"Justeru, kami mengambil inisiatif untuk membuka tujuh premis khusus untuk mereka memandangkan sambutan golongan ini di premis sedia ada amat memberansangkan.

"Harga produk yang bakal dipasarkan juga adalah berpatutan," katanya selepas majlis perasmian Pejabat Urusan Baru Al-Ikhsan di Taman Universiti, dekat sini.

Pejabat yang menelan kos lebih RM7 juta itu dirasmikan Pengerusinya, Siti Maryam Mahmood.

Pada majlis itu, pihaknya turut mengadakan sambutan ulang tahun Siti Maryam yang ke-73.

Bagaimanapun, Ali Hassan tidak menyatakan jumlah pelaburan bagi pembukaan kesemua tujuh premis baru tersebut.

Menurutnya, Al-Ikhsan kini mempunyai 75 cawangan di Semenanjung dan menyasarkan pembukaan lima lagi cawangan baru sehingga akhir tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya hanya akan memberikan tumpuan kepada jenama produk sedia ada dan tidak merancang untuk menambah jenama produk di premis mereka dalam tempoh terdekat.

Sunday, November 7, 2010

SIAPA KATA MELAYU TAK MAMPU SELENGGARA KERETA MEWAH?


Nama MB Assyst Benz Services Sdn. Bhd. (MB Assyst Benz), memang agak asing bunyinya. Tidak hairan jika entitinya juga disangka bukan bumiputera, apatah lagi milik orang Melayu.

Sebenarnya sangkaan itu meleset, syarikat berkenaan dimulakan oleh dua sahabat, Ahmad Qashasi Ma'nor; 42 dan Megat Mohd. Hamirul Hanif; 29 sejak tahun 2004 sebelum kemudiannya disertai oleh Nazri Hood, 34 dan Norzalihan Taib, 38.

Apa yang menariknya, MB Assyst Benz merupakan antara syarikat bumiputera yang boleh dihitung dengan jari terlibat dalam perniagaan menyelenggara kereta berjenama mewah terutamanya Mercedes.

Dengan pengalaman yang ada di dalam bidang penyelengaraan automotif khususnya kereta Mercedes, mereka dengan tekad mengusahakan pusat tersebut dengan hanya bermodalkan duit simpanan masing-masing tidak sampai RM100,000.

MB Assyst Benz kini mempunyai dua cawangan, kedua-duanya terletak di Seri Kembangan dengan 17 kakitangan yang kesemuanya terdiri daripada anak Melayu.

Bagaimanapun, salah sebuah daripada cawangan itu turut menawarkan penyelengaraan kepada semua jenama kereta.

Ketika ditemui Ahmad Qashasi dan Megat Mohd. Hamirul, cukup yakin membicarakan tentang kereta mewah itu, tambahan pula kedua-duanya pernah menjalani kursus yang dikendalikan sendiri oleh syarikat Mercedes dari Jerman yang terkenal itu.

Menurut mereka, antara perkhidmatan yang ditawarkan MB Assyst Benz ialah khidmat nasihat dan servis, mengganti dan memasang enjin baru sehinggalah ke pemasangan gas asli kenderaan (NGV).

Ahmad Qashasi sendiri yang pernah menghadiri kursus di pusat Mercedes di Stuggart; Jerman, menjelaskan pusat selenggaraan milik mereka boleh menyelenggara pelbagai jenis model kereta Mercedes daripada kelas dari C sehinggalah ke E.

Namun begitu, bagi Ahmad Qashasi dan Megat Mohd. Hamirul, kejayaan yang raih selama ini bukannya mudah kerana ia dipetik selepas menghadapi bermacam-macam rintangan.

"Untuk tempoh dua bulan pertama kita tidak mencatat untung dan hanya mula pada bulan ketiga baru kami mampu membayar gaji kepada pekerja kami," katanya.

Kini, kata beliau status kewangan syarikat berada dalam kedudukan terbaik dengan perolehan tahunan mampu mencecah jutaan ringgit.

Menurut Nazri yang turut ditemui di kedainya, syarikat itu turut menawarkan perkhidmatan Door to Door kepada pelanggan di mana mereka mengambil kereta pelanggan dari rumah untuk diselenggara di pusat servis dan menghantar kembali kepada pemiliknya.

"Kami kini telah mempunyai teknologi komputer iaitu Diagnose Multiplexer yang dibeli dengan harga RM65,000. Teknologi digunakan untuk menjalankan pemeriksaan Mercedes secara elektronik untuk mengesan kerosakan dalaman kereta dan ia agak sukar hendak didapati di mana-mana pusat servis biasa.

"Selain daripada Mercedes, kami juga mempunyai kepakaran terhadap penyelenggaraan kereta berjenama BMW atau Volvo," jelasnya.

Katanya, kadar bayaran dikenakan adalah berdasarkan tahap selenggara yang dilakukan. Bagaimanapun, pelanggan akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sebarang perubahan yang dilakukan.

"Pusat ini menerima pelanggan dari pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa. Kesemua pelanggan akan kembali mendapatkan perkhidmatan daripada kami setelah mendapatkan perkhidmatan di sini.'' katanya.

Ditanya tentang perancangan masa depan, Nazri berkata, MB Assyst Benz mahu membuka sebuah akademi latihan bertujuan mendedahkan kepada orang ramai khususnya belia bumiputera mengenai penyelengaraan kereta Mercedes.

Menurutnya, pembukaan akademi itu juga adalah salah satu perancangan syarikatnya bagi memperbesarkan operasi pada masa akan datang.

"Apabila mereka sudah mahir, mereka akan diberi pilihan untuk dijadikan sebagai wakil cawangan kami di setiap negeri," kata beliau selain menamakan Alor Setar sebagai salah satu pilihan bagi pembukaan cawangan baru itu.

Akademi tersebut akan diwujudkan di deretan kedai yang dibeli di Seri Kembangan dengan harga RM2.5 juta yang masih dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada 2012.

Ahmad Qashasi sendiri pernah dijemput oleh beberapa pusat pendidikan perindustrian tempatan khususnya berkaitan automotif bagi menyampaikan ilmunya mengenai penyelengaraan Mercedes.

"Kami juga sering bekerjasama dengan Institut Latihan Perindustrian (ILP) untuk mengambil pelajar mereka menjalani latihan industri di MB Assyst Benz dalam usaha memberikan pendedahan tentang kereta Mercedes di pusat servis kami," kata beliau.

Ujarnya, kaum bumiputera harus memberanikan diri untuk menceburi bidang baru dan keluar daripada kepompong perniagaan berskala kecil semata-mata.

"Tetapi, apa yang penting keperluan ilmu teori dan praktikal (penyelengaraan kereta) harus menjadi keutamaan selain memiliki ilmu perniagaan," kata beliau lagi

Mereka yang berminat, boleh menghubungi 03-8945 5497 atau 019-4281818

Friday, November 5, 2010

TERENGGANU LAHIRKAN 6,000 USAHAWAN MENJELANG 2013


Kerajaan negeri menyasarkan untuk melahirkan 6,000 usahawan bumiputera terutamanya dalam bidang peruncitan, pengedaran, pertanian dan industri makanan halal menjelang 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, keempat-empat bidang itu berpotensi dijana untuk menarik penglibatan rakyat.

“Berdasarkan kekuatan dari segi maklumat dan sokongan pelbagai agensi seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), sasaran ini mampu dicapai,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Konvensyen Ekonomi Melayu Terengganu, di Kuala Terengganu, Isnin lalu.

Majlis anjuran YPU dan Gabem ini turut dihadiri oleh Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik; Pengarah Gabem, Sahlan Saruddin dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik.

Konvensyen sehari itu antara lain bertujuan membincangkan kesan dan hala tuju Model Baru Ekonomi (MBE) terhadap ekonomi orang Melayu di negeri ini serta memberi gambaran senario cabaran, saingan dan hambatan ke arah memajukan usahawan Melayu.

Mohamed turut mengingatkan usahawan Melayu negeri ini supaya tidak terlalu ‘manja’ sekiranya mahu berjaya dalam dunia perniagaan kerana ramai di kalangan mereka bukan sahaja mengharapkan projek dari kerajaan malah mahu dibantu sekali gus dengan modal.

“Sebenarnya banyak sebab mengapa usahawan Melayu masih lagi lemah dalam bidang ini dan kita perlu kenal pasti kelemahan tersebut serta mencari jalan untuk memperbaikinya agar mereka dapat diperkasakan bagi bersaing di pasaran terbuka,” katanya yang juga Pengerusi Gabem negeri.

Beliau yang juga Pengerusi YPU berkata, setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM1 juta melalui YPU bagi memberi pinjaman kepada usahawan-usahawan untuk membuka perniagaan baru serta mengembangkan perniagaan sedia ada.

Sementara itu, Abdul Rahim memberitahu, Gabem akan menganjurkan satu program yang dinamakan sebagai Pusat Sehenti Gabem (PSG) pada 9 November ini di Pusat Dagangan Terengganu, dekat sini.

“Program ini merupakan kerjasama strategik daripada kementerian dan agensi kerajaan terpilih bagi memberikan perkhidmatan di bawah satu bumbung kepada usahawan, bakal usahawan dan badan ekonomi bumiputera.

“Ia sebagai platform untuk menyalurkan permasalahan berkaitan keusahawanan dan sumber maklumat mengenai peluang latihan, pembiayaan dan projek-projek yang boleh disertai oleh masyarakat ekonomi bumiputera,” jelasnya.

Antara kementerian dan agensi terlibat adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Unit Perancang Ekonomi dan Bank Negara Malaysia.

A BABY IS BORN


Tepat jam 5.15 petang semalam, seorang bayi telah dilahirkan. Bayi yang dimaksudkan itu ialah majalah Minda Niaga yang siap dicetak dan ia selamat tiba di pejabat kami pada waktu tersebut.

Alangkah gembiranya pemilik asal KDN Minda Niaga, Kamri Kamaruddin menerima kelahiran bayinya itu. Beliau memohon permit penerbitan majalah itu pada bulan November tahun lepas atas nama Dewan Muda Publications bersama rakan kongsinya, Pak Abu Saim bin Daut. Selama tujuh bulan beliau menunggu permitnya diluluskan dan akhirnya KDN meluluskan permit penerbitannya pada bulan Jun lalu.

Dalam tempoh lima bulan ini, banyak halangan yang datang. Wang tiada untuk menerbitkan majalah. Maka Kamri menghubungi saya supaya mencari pelabur. Saya teringat kepada Datuk Dr Razi Latif yang pernah menjadi rakan kongsi Haji Kharirune Ali, penerbit akhbar Warta Perdana.

Ketika kami menemuinya sebelum Ramadhan di sebuah kafe di Jalan Kent, Datuk Dr Radzi terus bersetuju melabur dalam penerbitan majalah Minda Niaga ini. Maka kami memerlukan kenderaan baru sebuah syarikat sendirian berhad untuk menjayakan kerjasama ini memandangkan Dewan Muda Publications hanya sebuah syarikat enterprise.

Sebagai pemodal, Datuk Dr Radzi mendapat 70 peratus saham manakala kami bertiga mendapat 30 peratus. Mulai 1 September 2010, kami mula beroperasi di pejabat Datuk Dr Radzi di Taman Melawati.

Kami operasi dua orang, saya bahagian editorial manakala Kamri bahagian pengiklanan. Halangan utama kami sukar mendapat iklan kerana semua mahu melihat majalah terlebih dahulu. Semalam, 4 November, lahirlah edisi sulong Minda Niaga di pasaran. Semoga kehadirannya di kalangan para usahawan disambut baik oleh mereka semua. Selamat membaca!

Monday, November 1, 2010

BIO-XCELL TERIMA PELABURAN RM1 BILION


TAMAN bioteknologi Bio-Xcell di Nusajaya, Johor yang diuruskan Malaysian Bio-Xcell Sdn Bhd akan menerima dua lagi pelaburan daripada syarikat bioteknologi global, menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan yang bakal diterimanya menjelang akhir tahun ini kepada kira-kira RM1 bilion.

Ketua Eksekutif Malaysia Bio-Xcell, Raja Ridzwa Aziz, berkata setakat ini, tiga syarikat bioteknologi global masing-masing dari India, Amerika Syarikat dan Perancis menyatakan komitmen pelaburan bernilai RM750 juta di taman teknologi itu. “Kami menjangkakan menerima satu atau dua lagi pelaburan baru sebelum akhir tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan bakal diterima taman bioteknologi itu kepada kira-kira RM1 bilion,” katanya pada sidang media sempena persidangan bioteknologi, Bio Malaysia 2010 di Kuala Lumpur, semalam.

Raja Ridzwa berkata, kemudahan bertaraf dunia yang ada di Bio-Xcell menjadi antara tarikan kepada syarikat bioteknologi asing memilih untuk membina loji kemudahan pengeluaran mereka.

“Bio-Xcell adalah seperti Cyberjaya yang menerima kehadiran syarikat teknologi maklumat dan komunikasi, tetapi kami menumpukan kepada syarikat berkaitan bioteknologi,” katanya.

Tiga syarikat yang menyatakan komitmen pelaburan di Bio-Xcell ialah firma bioteknologi India, Biocon Ltd; syarikat bioteknologi berpangkalan di Houston, Texas, AS, Glycos Biotechnology Inc dan Metabolic Explorer S.A. (Metex) dari Perancis.
Glycos dan Metex memeterai memorandum persefahaman dengan Bio-Xcell bagi mendirikan kemudahan pengeluaran di taman bioteknologi seluas 60 hektar itu, semalam.

Majlis pertukaran dokumen perjanjian itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada majlis perasmian persidangan Bio Malaysia 2010.

Sementara itu, pada sidang media sama, Ketua Eksekutif Glycos, Richard Cilento, berkata firma itu merancang melabur kira-kira AS$15 juta (RM46.5 juta) di Bio-Xcell.

“Loji biokimia dan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kami dijangka mula beroperasi pada 2012,” katanya.

Cilento berkata, firma itu memilih melabur di Malaysia kerana loji itu akan menumpukan kepada pengeluaran produk ‘isoprene’ yang digunakan dalam pengeluaran sarung tangan getah.

Saturday, October 30, 2010

PASTIKAN USAHAWAN DAPAT PEMBIAYAAN LEBIH MUDAH


Kerajaan sedang mengambil beberapa langkah untuk memudahkan usahawan tempatan memperolehi pembiayaan kewangan bagi membangunkan perniagaan mereka.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, usaha tersebut selari dengan matlamat kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

''Kerajaan mengiktiraf kreativiti dan inovasi daripada usahawan muda dan kita lihat mereka berpotensi untuk membawa negara ke masa depan yang lebih baik.

''Kita mahu memastikan kemahiran usahawan muda dapat dikembangkan dengan memastikan mereka mendapat pembiayaan kewangan dengan lebih mudah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perniagaan Muda Asia Pasifik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap penaung program tersebut, Datuk Mukhriz Mahathir.

Sementara itu, Mukhriz berkata, Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang digerakkan kerajaan menawarkan pelbagai jenis peluang perniagaan kepada usahawan muda.

''ETP membuka peluang perniagaan yang baru untuk semua orang.

''Saya percaya ramai usahawan muda dapat menggunakan kemahiran dan inovasi mereka untuk merealisasikan program-program di bawah ETP," katanya.

Thursday, October 28, 2010

TNB UNTUNG BERSIH RM2.6 BILION


Tenaga Nasional Bhd. (TNB) telah mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM2.6 bilion sebelum keuntungan pertukaran mata wang asing bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Ogos 2010, peningkatan sebanyak 22.6 peratus berbanding tahun lalu.

Bagi tempoh itu, perolehan Kumpulan berjumlah RM30.32 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, keuntungan bersih yang lebih tinggi disumbangkan oleh pertumbuhan permintaan dan harga purata arang batu lebih rendah iaitu sebanyak AS$88.2 (RM273.4) setan metrik berbanding AS$90.2 (RM279.6) setan metrik.

Bagi tempoh kewangan setahun penuh, TNB mencatatkan keuntungan pertukaran mata wang asing sebanyak RM632.6 juta disebabkan oleh kenaikan 11 peratus nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Che Khalib menjelaskan, pemulihan menyeluruh ekonomi Malaysia daripada kesan krisis global yang berlaku pada tahun lalu, telah dapat disaksikan dalam tahun kewangan yang baharu berakhir.

Katanya, permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia untuk tahun kewangan 2010 adalah 8.8 peratus berikutan pemulihan ekonomi dan asas yang lebih rendah direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

''Kami juga menjangkakan permintaan elektrik di rantau Asia Tenggara meningkat lima peratus pada tahun depan," kata beliau selepas majlis pengumuman prestasi kewangan TNB yang belum diaudit bagi tempoh suku ke empat di sini hari ini. Pengumuman itu dilakukan oleh Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie. Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Kewangannya, Mohd Rafique Merican Mohd Wahiduddin.

Che Khalib berkata, TNB telah mencatatkan peningkatan sebanyak 5.3 peratus dalam pendapatan keseluruhan terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan permintaan yang tinggi.

''Perbelanjaan operasi meningkat sebanyak 4.2 peratus akibat kos penjanaan lebih tinggi kerana kenaikan permintaan dan pembayaran kapasiti setahun kepada Jimah Energy Ventures Sdn. Bhd.,'' kata beliau.

Bagi suku keempat TNB, keuntungan bersih sebelum kerugian pertukaran mata wang asing adalah RM423.9 juta berbanding RM538 juta yang diperoleh pada suku ketiga.

Pendapatan kumpulan meningkat 1.9 peratus berbanding suku ketiga tahun 2010 di sebalik kenaikan perbelanjaan operasi sebanyak 4.7 peratus.

Ditanya tentang unjuran harga arang batu pada tahun depan, Che Khalib menambah, harga arang batu dijangka berada pada paras AS$100 (RM310) setan metrik berbanding sekitar AS$97 (RM300) setan metrik.

''Bagaimanapun, sekiranya mata wang Amerika Syarikat kekal berbanding ringgit, ia membantu TNB mengurangkan kesan peningkatan harga arang batu,'' tambah beliau.

Lembaga Pengarah mencadangkan dividen kasar akhir sebanyak 20 sen sesaham tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan akan datang.

Wednesday, October 27, 2010

DAMANSARA DAMAI PUNCA MK LAND DAPAT TAWARAN


Pemaju hartanah MK Land dianugerahkan projek pembinaan rumah mampu milik di utara Bangalore India dengan yang nilai pembangunan kasar berjumlah RM4 bilion.

Projek yang memakan masa antara lapan hingga 10 tahun untuk dibangunkan itu melibatkan pembinaan 14,400 buah kediaman.

Pengerusi Eksekutif MK Embassy Land Sdn. Bhd., Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar berkata, projek tersebut merupakan projek usaha sama antara kedua-dua syarikat dan ia dibangunkan di atas tanah seluas 74 hektar secara berperingkat.

Katanya, projek itu membabitkan pembinaan apartmen setinggi lapan tingkat turut mengandungi kawasan komersial seluas 80,000 meter persegi.

"Apa yang menariknya projek ini, MK Land telah ditawarkan oleh kerajaan India untuk membangunkan rumah mampu milik itu selepas melihat kejayaan projek yang dibangunkan oleh kami di Damansara Damai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjanjian antara kedua-dua syarikat itu yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Majlis itu diadakan sempena lawatan Perdana Menteri India, Dr. Manmohan Singh yang turut menyampaikan syarahannya pada Khazanah Global Lectures anjuran Khazanah Nasional.

Projek di India itu akan dikendalikan oleh anak syarikat MK Land, MK Embassy Land, dan NAM Estates Pte. Ltd. (anak syarikat Embassy Group India).

MK Land Embassy merupakan syarikat usaha sama antara MK Land Holdings Bhd. yang menguasai 47.5 peratus kepentingan dalam syarikat itu manakala Star Dreams Pte. Ltd. merupakan anak syarikat Embassy Group of India dengan penguasaan 47.5 peratus dalam syarikat tersebut.

Selebihnya sebanyak lima peratus dipegang oleh MKN Embassy Development Sdn. Bhd.

Menurut Mustapha Kamal, pihaknya telah menyerahkan segala dokumen berkaitan kepada pihak berkuasa di India dan berharap ia mendapat kelulusan segera bagi memulakan projek tersebut.

Beliau memberitahu, harga rumah yang dicadangkan di antara RM115,00 hingga RM175,000 dengan keluasan daripada 26.4 meter persegi sehingga 73 meter persegi.

Mustapha Kamal berkata, sebanyak RM1.2 bilion nilai kontrak akan diberikan kepada kontraktor tempatan yang berpengalaman.

Selain itu, penganugerahan kontrak tersebut juga turut ditekankan kepada pemain industri yang memiliki kepakaran di dalam sistem pembinaan industri (IBS).

Ini kerana katanya, penggunaan bahan-bahan IBS sudah terbukti kukuh dan mampu menjimatkan masa selain dapat mengurangkan kos.

Tuesday, October 26, 2010

ETP BUKAN LAGI MIMPI


PROGRAM Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin membuktikan ia bukan lagi mimpi, dongeng atau penyataan hasrat yang kabur. Sebaliknya ia adalah peta panduan yang jelas, tersusun dan bakal menjulang martabat negara di mata dunia.

Pun begitu, akan ada pihak yang ragu-ragu dan kurang yakin dalam haluan kita melakukan transformasi atau perubahan. Lebih-lebih lagi dalam bidang ekonomi.

Oleh itu, keyakinan yang ada pada Najib diharap dapat melenyapkan perasaan curiga terhadap arah tuju kita dalam ETP.

Masyarakat baik yang bekerja di sektor awam, swasta atau bekerja sendiri elok tidak mengambil serius tohmahan dan kata-kata yang berunsur memperkecilkan keazaman kita untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

Sebagaimana kata Najib, usah terus bergelut dengan percakapan dan perbalahan kosong... hentikan suara sumbang dan senyuman sinis yang menyempitkan hati serta mematikan azam.

Kita mesti yakin, ETP yang baru dilancarkan kelmarin akan mengangkat pembangunan ekonomi negara, sekali gus meletakkan negara pada landasan kukuh untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

Tinggal beberapa tahun sahaja lagi untuk kita melangkah ke sempadan Wawasan 2020 yang diilhamkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang mahu merealisasikan Malaysia sebagai negara maju dengan perkapita tinggi, rakyat berilmu, berbudaya, sihat dan bertamadun tinggi.

Mengikut laporan ETP-Hala Tuju untuk Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, banyak inisiatif dan aktiviti baru yang belum lagi difikirkan akan muncul apabila pembaharuan bermula, wujudnya peluang baru dan pasaran dibangunkan.

Hakikatnya ETP adalah satu program yang berbeza daripada mana-mana pelan pembangunan yang terdahulu. Program ini mengandungi 131 projek permulaan, 12 laporan makmal dalam bidang ekonomi utama negara (NKEA), 60 peluang perniagaan, kesemuanya bertujuan mewujudkan 3.3 juta pekerjaan tambahan.

ETP dibentuk bersama dengan sektor swasta mengikut satu pendekatan yang terbuka dan telus, yang mana ia mesra pasaran dan berdasarkan merit dan keperluan.

Maklumat ETP juga boleh didapati dengan mudah oleh rakyat, apabila kontrak kerajaan akan disiarkan dalam lama web kerajaan

Hasrat kerajaan melalui ETP adalah ia akan mengubah peranan kerajaan daripada pembiaya kewangan kepada pemudah cara untuk mengurangkan pembelanjaan sektor awam.

Satu lagi keistimewaan ETP ialah sifatnya yang inklusif dan untuk semua rakyat Malaysia. Ini kerana setiap rakyat Malaysia boleh merasai, walau sedikit mana sekalipun, impak positif hasil daripada pelaksanaan projek-projek di bawah ETP.

Apa yang penting ialah mereka yang bekerja dalam sektor swasta atau awam hendaklah sama-sama berganding bahu dalam menjayakan ETP.

Kita yakin transformasi yang dicita-citakan boleh dicapai. Negara kita sudah menunjukkan bukti daripada sebuah negara kecil yang miskin kepada negara membangun. Begitu juga melalui program yang tersusun rapi melalui ETP, rakyat Malaysia diyakini akan layak berada di saf hadapan arena dunia.

Sunday, October 24, 2010

NANTIKAN KEMUNCULAN SULUNG MAJALAH MINDA NIAGA DI PASARAN


Setelah tiga bulan usia blog ini,www.mingguanmindaniaga.blogspot.com sejak 26 Julai lalu, maka sampailah masanya majalah Minda Niaga berada di pasaran mulai awal November ini.

Sudah tentu apa yang terkandung dalam majalah itu tidak sama dengan blog ini kerana blog ini dikemaskinikan setiap hari. Oleh itu pastikan anda nmembeli majalah ini di pasaran atau berlanggan terus dengan kami yang boleh dihubungi melalui nombor telefon 03-41088867 atau fax kepada kami 03-41474022. Borang langganan boleh didapati di dalam majalah bulanan ini yang dijual dengan harga RM10.00 di pasaran. Dapatkan segera di kedai buku yang berdekatan dengan rumah anda.

Saturday, October 23, 2010

KERAJAAN SEDIA TELITI CADANGAN REHDA


Kerajaan sedia meneliti cadangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) agar Skim Perumahan Pertamaku turut memberikan kelonggaran pinjaman 100 peratus kepada pembeli rumah berharga antara RM300,000 dan RM350,000.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Chor Chee Heung berkata, cadangan tersebut adalah sesuatu yang munasabah kerana kini lebih 60 peratus penduduk tinggal di bandar dan harga rumah di kawasan itu adalah dalam lingkungan RM300,000 dan ke atas.

"Lagi pun, pendapatan isi keluarga adalah dalam lingkungan RM3,000 sebulan. Maka, saya berpendapat cadangan REHDA itu tepat pada masanya dan saya akan mengutarakan isu itu pada mesyuarat Kabinet secepat mungkin.

"Selain itu, cadangan ini juga sudah pasti dapat membantu golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah idaman di kawasan bandar," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Perumahan Malaysia (Mapex) 2010, di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir, Timbalan Presiden REHDA, Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Pengerusi Mapex, Datuk Ng Seing Liong.

Pada minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membahaskan Bajet 2011 mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Skim Perumahan Pertamaku bagi membantu golongan berpendapatan rendah iaitu golongan yang mendapat gaji kurang RM3,000 sebulan.

Skim itu juga membantu golongan berpendapatan rendah untuk membeli rumah yang berharga RM220,000 dengan pinjaman bank 100 peratus dan tidak perlu membayar wang pendahuluan 10 peratus.

Friday, October 22, 2010

TIGA JUTAWAN GABUNG TENAGA


Tiga jutawan terkenal akan bergabung untuk mencurahkan ilmu dan kepakaran masing-masing menerusi Seminar Rahsia 3K dalam usaha melahirkan lebih ramai jutawan di kalangan rakyat di negara ini.

Seminar yang diadakan pada 24 dan 25 Oktober ini akan dihadiri usahawan yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce, Datuk Maznah Hamid; jutawan Internet muda, Irfan Khairi dan jutawan kewangan, Abang Abu.

Maznah berkata, menerusi seminar selama dua hari itu, setiap peserta akan dicungkil potensi mereka selain diberi pengetahuan dan maklumat berhubung strategi dan pengurusan wang yang cekap.

“Semua orang sebenarnya mampu mencipta kejayaan dan kekayaan walaupun tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi.

“Namun, untuk berjaya, kita perlu mengenal pasti potensi yang dimiliki sebelum mampu memacu perniagaan sendiri dan berdiri setanding dengan jutawan sedia ada,’’ katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, dijangka seramai 200 peserta akan menghadiri seminar itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Jelasnya, setiap penyertaan akan dikenakan bayaran sebanyak RM350 setiap seorang dan mereka yang berminat boleh membuat tempahan di laman sesawang www.Rahsia3K.com atau hubungi talian 016-6966644 atau 016-3390303.

“Seminar ini mengandungi dua sesi iaitu hari pertama untuk seminar dan klinik usahawan pula pada hari kedua.

“Oleh itu, menerusi klinik itu nanti, peserta berpeluang bersemuka dengan ahli panel dan berbincang mengenai permasalahan yang mereka hadapi dan mencari penyelesaian terhadap masalah itu.

“Sebenarnya, klinik inilah yang menjadi keistimewaan dan membezakan Seminar Rahsia 3K dengan seminar yang lain. Justeru, peluang ini perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi mereka yang ingin berjaya dan mengubah taraf hidup,“ katanya.

Dalam pada itu Maznah berharap pihak berkenaan dapat tampil menaja ibu-ibu tunggal miskin dan orang kurang upaya (OKU) dengan memberi peluang kepada golongan itu menyertai seminar tersebut.

“Saya harap ada pihak yang mahu tampil menaja golongan ini bagi membolehkan mereka untuk sama-sama mencungkil potensi diri mereka.

“Menerusi seminar ini saya yakin golongan ini jika dibantu bukan sahaja dapat mengubah nasib mereka menjadi bertambah baik malah juga cemerlang dalam perniagaan yang dijalankan,” katanya.