Saturday, October 30, 2010

PASTIKAN USAHAWAN DAPAT PEMBIAYAAN LEBIH MUDAH


Kerajaan sedang mengambil beberapa langkah untuk memudahkan usahawan tempatan memperolehi pembiayaan kewangan bagi membangunkan perniagaan mereka.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, usaha tersebut selari dengan matlamat kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

''Kerajaan mengiktiraf kreativiti dan inovasi daripada usahawan muda dan kita lihat mereka berpotensi untuk membawa negara ke masa depan yang lebih baik.

''Kita mahu memastikan kemahiran usahawan muda dapat dikembangkan dengan memastikan mereka mendapat pembiayaan kewangan dengan lebih mudah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perniagaan Muda Asia Pasifik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap penaung program tersebut, Datuk Mukhriz Mahathir.

Sementara itu, Mukhriz berkata, Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang digerakkan kerajaan menawarkan pelbagai jenis peluang perniagaan kepada usahawan muda.

''ETP membuka peluang perniagaan yang baru untuk semua orang.

''Saya percaya ramai usahawan muda dapat menggunakan kemahiran dan inovasi mereka untuk merealisasikan program-program di bawah ETP," katanya.

Thursday, October 28, 2010

TNB UNTUNG BERSIH RM2.6 BILION


Tenaga Nasional Bhd. (TNB) telah mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM2.6 bilion sebelum keuntungan pertukaran mata wang asing bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Ogos 2010, peningkatan sebanyak 22.6 peratus berbanding tahun lalu.

Bagi tempoh itu, perolehan Kumpulan berjumlah RM30.32 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, keuntungan bersih yang lebih tinggi disumbangkan oleh pertumbuhan permintaan dan harga purata arang batu lebih rendah iaitu sebanyak AS$88.2 (RM273.4) setan metrik berbanding AS$90.2 (RM279.6) setan metrik.

Bagi tempoh kewangan setahun penuh, TNB mencatatkan keuntungan pertukaran mata wang asing sebanyak RM632.6 juta disebabkan oleh kenaikan 11 peratus nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Che Khalib menjelaskan, pemulihan menyeluruh ekonomi Malaysia daripada kesan krisis global yang berlaku pada tahun lalu, telah dapat disaksikan dalam tahun kewangan yang baharu berakhir.

Katanya, permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia untuk tahun kewangan 2010 adalah 8.8 peratus berikutan pemulihan ekonomi dan asas yang lebih rendah direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

''Kami juga menjangkakan permintaan elektrik di rantau Asia Tenggara meningkat lima peratus pada tahun depan," kata beliau selepas majlis pengumuman prestasi kewangan TNB yang belum diaudit bagi tempoh suku ke empat di sini hari ini. Pengumuman itu dilakukan oleh Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie. Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Kewangannya, Mohd Rafique Merican Mohd Wahiduddin.

Che Khalib berkata, TNB telah mencatatkan peningkatan sebanyak 5.3 peratus dalam pendapatan keseluruhan terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan permintaan yang tinggi.

''Perbelanjaan operasi meningkat sebanyak 4.2 peratus akibat kos penjanaan lebih tinggi kerana kenaikan permintaan dan pembayaran kapasiti setahun kepada Jimah Energy Ventures Sdn. Bhd.,'' kata beliau.

Bagi suku keempat TNB, keuntungan bersih sebelum kerugian pertukaran mata wang asing adalah RM423.9 juta berbanding RM538 juta yang diperoleh pada suku ketiga.

Pendapatan kumpulan meningkat 1.9 peratus berbanding suku ketiga tahun 2010 di sebalik kenaikan perbelanjaan operasi sebanyak 4.7 peratus.

Ditanya tentang unjuran harga arang batu pada tahun depan, Che Khalib menambah, harga arang batu dijangka berada pada paras AS$100 (RM310) setan metrik berbanding sekitar AS$97 (RM300) setan metrik.

''Bagaimanapun, sekiranya mata wang Amerika Syarikat kekal berbanding ringgit, ia membantu TNB mengurangkan kesan peningkatan harga arang batu,'' tambah beliau.

Lembaga Pengarah mencadangkan dividen kasar akhir sebanyak 20 sen sesaham tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan akan datang.

Wednesday, October 27, 2010

DAMANSARA DAMAI PUNCA MK LAND DAPAT TAWARAN


Pemaju hartanah MK Land dianugerahkan projek pembinaan rumah mampu milik di utara Bangalore India dengan yang nilai pembangunan kasar berjumlah RM4 bilion.

Projek yang memakan masa antara lapan hingga 10 tahun untuk dibangunkan itu melibatkan pembinaan 14,400 buah kediaman.

Pengerusi Eksekutif MK Embassy Land Sdn. Bhd., Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar berkata, projek tersebut merupakan projek usaha sama antara kedua-dua syarikat dan ia dibangunkan di atas tanah seluas 74 hektar secara berperingkat.

Katanya, projek itu membabitkan pembinaan apartmen setinggi lapan tingkat turut mengandungi kawasan komersial seluas 80,000 meter persegi.

"Apa yang menariknya projek ini, MK Land telah ditawarkan oleh kerajaan India untuk membangunkan rumah mampu milik itu selepas melihat kejayaan projek yang dibangunkan oleh kami di Damansara Damai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjanjian antara kedua-dua syarikat itu yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Majlis itu diadakan sempena lawatan Perdana Menteri India, Dr. Manmohan Singh yang turut menyampaikan syarahannya pada Khazanah Global Lectures anjuran Khazanah Nasional.

Projek di India itu akan dikendalikan oleh anak syarikat MK Land, MK Embassy Land, dan NAM Estates Pte. Ltd. (anak syarikat Embassy Group India).

MK Land Embassy merupakan syarikat usaha sama antara MK Land Holdings Bhd. yang menguasai 47.5 peratus kepentingan dalam syarikat itu manakala Star Dreams Pte. Ltd. merupakan anak syarikat Embassy Group of India dengan penguasaan 47.5 peratus dalam syarikat tersebut.

Selebihnya sebanyak lima peratus dipegang oleh MKN Embassy Development Sdn. Bhd.

Menurut Mustapha Kamal, pihaknya telah menyerahkan segala dokumen berkaitan kepada pihak berkuasa di India dan berharap ia mendapat kelulusan segera bagi memulakan projek tersebut.

Beliau memberitahu, harga rumah yang dicadangkan di antara RM115,00 hingga RM175,000 dengan keluasan daripada 26.4 meter persegi sehingga 73 meter persegi.

Mustapha Kamal berkata, sebanyak RM1.2 bilion nilai kontrak akan diberikan kepada kontraktor tempatan yang berpengalaman.

Selain itu, penganugerahan kontrak tersebut juga turut ditekankan kepada pemain industri yang memiliki kepakaran di dalam sistem pembinaan industri (IBS).

Ini kerana katanya, penggunaan bahan-bahan IBS sudah terbukti kukuh dan mampu menjimatkan masa selain dapat mengurangkan kos.

Tuesday, October 26, 2010

ETP BUKAN LAGI MIMPI


PROGRAM Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin membuktikan ia bukan lagi mimpi, dongeng atau penyataan hasrat yang kabur. Sebaliknya ia adalah peta panduan yang jelas, tersusun dan bakal menjulang martabat negara di mata dunia.

Pun begitu, akan ada pihak yang ragu-ragu dan kurang yakin dalam haluan kita melakukan transformasi atau perubahan. Lebih-lebih lagi dalam bidang ekonomi.

Oleh itu, keyakinan yang ada pada Najib diharap dapat melenyapkan perasaan curiga terhadap arah tuju kita dalam ETP.

Masyarakat baik yang bekerja di sektor awam, swasta atau bekerja sendiri elok tidak mengambil serius tohmahan dan kata-kata yang berunsur memperkecilkan keazaman kita untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

Sebagaimana kata Najib, usah terus bergelut dengan percakapan dan perbalahan kosong... hentikan suara sumbang dan senyuman sinis yang menyempitkan hati serta mematikan azam.

Kita mesti yakin, ETP yang baru dilancarkan kelmarin akan mengangkat pembangunan ekonomi negara, sekali gus meletakkan negara pada landasan kukuh untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

Tinggal beberapa tahun sahaja lagi untuk kita melangkah ke sempadan Wawasan 2020 yang diilhamkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang mahu merealisasikan Malaysia sebagai negara maju dengan perkapita tinggi, rakyat berilmu, berbudaya, sihat dan bertamadun tinggi.

Mengikut laporan ETP-Hala Tuju untuk Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, banyak inisiatif dan aktiviti baru yang belum lagi difikirkan akan muncul apabila pembaharuan bermula, wujudnya peluang baru dan pasaran dibangunkan.

Hakikatnya ETP adalah satu program yang berbeza daripada mana-mana pelan pembangunan yang terdahulu. Program ini mengandungi 131 projek permulaan, 12 laporan makmal dalam bidang ekonomi utama negara (NKEA), 60 peluang perniagaan, kesemuanya bertujuan mewujudkan 3.3 juta pekerjaan tambahan.

ETP dibentuk bersama dengan sektor swasta mengikut satu pendekatan yang terbuka dan telus, yang mana ia mesra pasaran dan berdasarkan merit dan keperluan.

Maklumat ETP juga boleh didapati dengan mudah oleh rakyat, apabila kontrak kerajaan akan disiarkan dalam lama web kerajaan

Hasrat kerajaan melalui ETP adalah ia akan mengubah peranan kerajaan daripada pembiaya kewangan kepada pemudah cara untuk mengurangkan pembelanjaan sektor awam.

Satu lagi keistimewaan ETP ialah sifatnya yang inklusif dan untuk semua rakyat Malaysia. Ini kerana setiap rakyat Malaysia boleh merasai, walau sedikit mana sekalipun, impak positif hasil daripada pelaksanaan projek-projek di bawah ETP.

Apa yang penting ialah mereka yang bekerja dalam sektor swasta atau awam hendaklah sama-sama berganding bahu dalam menjayakan ETP.

Kita yakin transformasi yang dicita-citakan boleh dicapai. Negara kita sudah menunjukkan bukti daripada sebuah negara kecil yang miskin kepada negara membangun. Begitu juga melalui program yang tersusun rapi melalui ETP, rakyat Malaysia diyakini akan layak berada di saf hadapan arena dunia.

Sunday, October 24, 2010

NANTIKAN KEMUNCULAN SULUNG MAJALAH MINDA NIAGA DI PASARAN


Setelah tiga bulan usia blog ini,www.mingguanmindaniaga.blogspot.com sejak 26 Julai lalu, maka sampailah masanya majalah Minda Niaga berada di pasaran mulai awal November ini.

Sudah tentu apa yang terkandung dalam majalah itu tidak sama dengan blog ini kerana blog ini dikemaskinikan setiap hari. Oleh itu pastikan anda nmembeli majalah ini di pasaran atau berlanggan terus dengan kami yang boleh dihubungi melalui nombor telefon 03-41088867 atau fax kepada kami 03-41474022. Borang langganan boleh didapati di dalam majalah bulanan ini yang dijual dengan harga RM10.00 di pasaran. Dapatkan segera di kedai buku yang berdekatan dengan rumah anda.

Saturday, October 23, 2010

KERAJAAN SEDIA TELITI CADANGAN REHDA


Kerajaan sedia meneliti cadangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) agar Skim Perumahan Pertamaku turut memberikan kelonggaran pinjaman 100 peratus kepada pembeli rumah berharga antara RM300,000 dan RM350,000.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Chor Chee Heung berkata, cadangan tersebut adalah sesuatu yang munasabah kerana kini lebih 60 peratus penduduk tinggal di bandar dan harga rumah di kawasan itu adalah dalam lingkungan RM300,000 dan ke atas.

"Lagi pun, pendapatan isi keluarga adalah dalam lingkungan RM3,000 sebulan. Maka, saya berpendapat cadangan REHDA itu tepat pada masanya dan saya akan mengutarakan isu itu pada mesyuarat Kabinet secepat mungkin.

"Selain itu, cadangan ini juga sudah pasti dapat membantu golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah idaman di kawasan bandar," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Perumahan Malaysia (Mapex) 2010, di Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir, Timbalan Presiden REHDA, Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Pengerusi Mapex, Datuk Ng Seing Liong.

Pada minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membahaskan Bajet 2011 mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Skim Perumahan Pertamaku bagi membantu golongan berpendapatan rendah iaitu golongan yang mendapat gaji kurang RM3,000 sebulan.

Skim itu juga membantu golongan berpendapatan rendah untuk membeli rumah yang berharga RM220,000 dengan pinjaman bank 100 peratus dan tidak perlu membayar wang pendahuluan 10 peratus.

Friday, October 22, 2010

TIGA JUTAWAN GABUNG TENAGA


Tiga jutawan terkenal akan bergabung untuk mencurahkan ilmu dan kepakaran masing-masing menerusi Seminar Rahsia 3K dalam usaha melahirkan lebih ramai jutawan di kalangan rakyat di negara ini.

Seminar yang diadakan pada 24 dan 25 Oktober ini akan dihadiri usahawan yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce, Datuk Maznah Hamid; jutawan Internet muda, Irfan Khairi dan jutawan kewangan, Abang Abu.

Maznah berkata, menerusi seminar selama dua hari itu, setiap peserta akan dicungkil potensi mereka selain diberi pengetahuan dan maklumat berhubung strategi dan pengurusan wang yang cekap.

“Semua orang sebenarnya mampu mencipta kejayaan dan kekayaan walaupun tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi.

“Namun, untuk berjaya, kita perlu mengenal pasti potensi yang dimiliki sebelum mampu memacu perniagaan sendiri dan berdiri setanding dengan jutawan sedia ada,’’ katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, dijangka seramai 200 peserta akan menghadiri seminar itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Jelasnya, setiap penyertaan akan dikenakan bayaran sebanyak RM350 setiap seorang dan mereka yang berminat boleh membuat tempahan di laman sesawang www.Rahsia3K.com atau hubungi talian 016-6966644 atau 016-3390303.

“Seminar ini mengandungi dua sesi iaitu hari pertama untuk seminar dan klinik usahawan pula pada hari kedua.

“Oleh itu, menerusi klinik itu nanti, peserta berpeluang bersemuka dengan ahli panel dan berbincang mengenai permasalahan yang mereka hadapi dan mencari penyelesaian terhadap masalah itu.

“Sebenarnya, klinik inilah yang menjadi keistimewaan dan membezakan Seminar Rahsia 3K dengan seminar yang lain. Justeru, peluang ini perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi mereka yang ingin berjaya dan mengubah taraf hidup,“ katanya.

Dalam pada itu Maznah berharap pihak berkenaan dapat tampil menaja ibu-ibu tunggal miskin dan orang kurang upaya (OKU) dengan memberi peluang kepada golongan itu menyertai seminar tersebut.

“Saya harap ada pihak yang mahu tampil menaja golongan ini bagi membolehkan mereka untuk sama-sama mencungkil potensi diri mereka.

“Menerusi seminar ini saya yakin golongan ini jika dibantu bukan sahaja dapat mengubah nasib mereka menjadi bertambah baik malah juga cemerlang dalam perniagaan yang dijalankan,” katanya.

Thursday, October 21, 2010

HUAWEI RUNDING JUAL IDEOS


Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. sedang berunding dengan operator telekomunikasi mudah alih domestik, yang diharapkan menjual telefon pintar, IDEOS, yang pertama dikeluarkan secara besar-besaran.

Ketua Jabatan Terminal Rangkaiannya Tang Siew Wai berkata, pengurusan logistik dan pengedaran bergantung kepada keperluan operator berasaskan model perniagaan masing-masing.

"Kami sangat fleksibel dan berharap sebarang urus niaga akan dimuktamadkan sebelum akhir tahun," katanya pada pelancaran telefon pintar baharu Huawei itu hari ini.

IDEOS berharga RM899 dan dijual dalam pasaran domestik mulai 8 November. Telefon itu menggunakan sistem operasi terkini Google, Android 2.2.

Ia menyediakan pelbagai cara untuk mengakses Internet, kelajuan memuat turun sehingga 7.2Mbps (megabyte sasaat), sokongan rangkaian 3G dan Wi-Fi.

Peranti itu juga boleh digunakan sebagai Wi-Fi router, menjadikannya penyelesaian semua dalam satu bagi pelbagai opsyen sambungan tanpa wayar.

Alex Jiang, Presiden Huawei Device di Southern Pacific, berkata, IDEOS merupakan model yang ideal untuk pelanggan muda dan bergaya, yang cenderung memilih telefon pintar untuk melengkapkan gaya hidup pantas hari ini.

Beliau brekata pengenalan telefon pintar memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat di Asia Tenggara.

"Penguasaan telefon pintar di Asia Tenggara mencecah 12.4 peratus daripada jumlah pasaran telefon mudah alih pada Jun berbanding 5.6 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas berdasarkan data audit peruncitan GfK Asia," katanya.

Jiang berkata, jualan telefon pintar di Malaysia meningkat kepada 57.7 peratus setakat tahun ini berbanding 24.3 peratus tahun lepas.

Sementara itu, telefon pintar dengan sistem operasi Android, meningkatkan bahagian pasarannya sebanyak 11 peratus dalam pasaran Asia Tenggara sejak setahun lepas, katanya.

"Pada 2009, penghantaran peranti Huawei mencecah lebih 90 juta unit di seluruh dunia dengan perolehan melebihi AS$5 bilion," katanya.

Wednesday, October 20, 2010

PNB YAKIN WARISAN MERDEKA BERI PULANGAN



PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) yakin langkahnya membangunkan projek hartanah bercampur, Warisan Merdeka mengandungi menara pejabat 100 tingkat yang akan dimulakan tahun depan bakal menyediakan pulangan pelaburan jangka panjang menguntungkan kepada kumpulan itu.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata pembabitan PNB dalam projek hartanah yang bakal menjadi mercu tanda terbaru di Kuala Lumpur itu adalah sebahagian usaha kumpulan itu meningkatkan pendapatannya menerusi penerokaan dalam sektor ekonomi menguntungkan.
“Dari tahun ke tahun, PNB telah melabur dalam ekuiti dan sekarang kami menumpukan kepada sektor hartanah dengan membeli aset hartanah termasuk bangunan Kenanga dan MAS, serta Hotel Perdana,” katanya ketika menyampaikan taklimat mengenai projek Warisan Merdeka di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas mengenai projek itu, Hamad Kama Piah berkata, projek pembangunan bercampur berhampiran Stadium Merdeka dan Stadium Negara di Kuala Lumpur itu juga akan merancakkan pembangunan hartanah di kawasan sekitarnya apabila ia siap sepenuhnya pada 2020.

“Apabila siap kelak, projek ini akan menjana kegiatan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan,” katanya.

Hamad Kama Piah turut menolak tanggapan sesetengah pihak yang menganggap projek bangunan 100 tingkat itu akan menyebabkan lebihan penawaran ruang pejabat dan komersial di Kuala Lumpur seperti yang berlaku ketika ini.
“Apabila kami merancang projek ini, kami perlu memastikan ruang pejabat di bangunan itu dipenuhi.

“Bangunan ibu pejabat PNB sekarang sudah berusia 30 tahun dan kumpulan memerlukan ibu pejabat baru sejajar program pengembangan kami,” katanya.

Projek yang menempatkan bangunan tertinggi di Malaysia itu akan dibangunkan anak syarikat milik penuh PNB, iaitu PNB Merdeka Ventures membabitkan kos RM5 bilion.

PNB akan membina menara 100 tingkat itu terlebih dulu supaya ia dapat menjadi tarikan bagi pembangunan komersil lain seperti hotel, kondominium dan pusat membeli-belah.

Hamad Kama Piah berkata, kos pembinaan menara 100 tingkat berkonsep bangunan pintar mesra alam itu dianggarkan antara RM2.5 bilion hingga RM3 bilion dengan pembinaannya dijangka dimulakan tahun depan dan siap pada 2015.

Selain itu, Hamad Kama Piah berkata, PNB turut merancang membangunkan sebuah menara tambahan berhampiran Bangunan MAS di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dan mengubahsuai bangunan sedia ada.

Tuesday, October 19, 2010

PANASONIC SASAR PRODUK CECAH RM20 JUTA


Panasonic Malaysia (Panasonic) menyasarkan jualan produk penyelesaian keselamatan pintar keluarannya mampu mencecah RM20 juta menjelang akhir tahun ini.

Sasaran itu dibuat berikutan peningkatan tahap kesedaran orang ramai terhadap aspek kawalan keselamatan dan transformasi kerajaan dalam meningkatkan kawalan keselamatan di tempat awam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Pasaran produk penyelesaian keselamatan dunia dianggarkan bernilai RM1.8 bilion pada tahun ini dan ia dijangka mencatatkan pertumbuhan sebanyak enam peratus tahun hadapan.

Pengurus Besarnya, Rusli Baba berkata, dalam pembentangan Bajet 2011 yang lalu, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4.4 bilion bagi membangunkan sektor keselamatan yang meliputi pemasangan CCTV di kawasan berisiko tinggi.

Menurutnya, Panasonic akan berusaha untuk membantu kerajaan dalam menyediakan produk penyelesaian keselamatan pintar yang mempunyai teknologi terkini dan menjimatkan penggunaan tenaga serta kos operasi.

"Kami sudah terlibat dengan beberapa projek kerajaan contohnya pemasangan 2,070 buah CCTV di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan di sekitar Kuala Lumpur.

"Panasonic juga akan terlibat dalam projek pemasangan alat kawalan keselamatan di Selangor dan Johor tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran 10 buah model sistem keselamatan Panasonic, i-Pro Smart HD di sini hari ini.

Sementara itu Rusli berkata, model baharu Panasonic, i-Pro Smart HD menggabungkan teknologi kamera berdefinisi tinggi (HD) yang mampu berfungsi di kawasan gelap dan paparan kualiti gambar yang lebih jelas.

Katanya, kamera terbaharu itu juga mempunyai sistem pengesan wajah yang mampu digunakan untuk mengesan penjenayah yang dikehendaki melalui rekod yang dimuat turun ke dalam sistem.

"Teknologi canggih yang dibangunkan oleh Panasonic menerusi produk baharu ini juga mampu mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 50 peratus dan mengurangkan data saiz video dalam simpanan sehingga 25 peratus tanpa menjejaskan kualitinya.

"Panasonic i-Pro Smart HD juga tidak memerlukan sokongan komputer kerana semua sistem komputer telah dimuatkan ke dalam dekoder untuk menjadikan sistem tersebut mudah dikendalikan," ujarnya.

Tambahnya, Panasonic menyasarkan jualan sebanyak RM5 juta untuk sistem baharu tersebut sebelum Mac tahun depan.

i-Pro Smart HD menawarkan 10 jenis model berlainan kapasiti dan fungsi dijual dengan harga serendah RM800 sebuah.

Monday, October 18, 2010

TIADA JAMINAN KADAR TOL KEKAL


UEM Group Bhd. (UEM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dapat memberikan jaminan bahawa kadar tol semasa akan dikekalkan sekiranya PLUS Expressways Bhd. (PLUS) diambil alih.

Kecuali apa yang diumumkan oleh kerajaan pada pembentangan Bajet 2011 Jumaat lalu bahawa, kadar tol dikekalkan untuk tempoh lima tahun akan datang, sebarang kenaikan ataupun sebaliknya bergantung kepada perjanjian konsesi baru dengan kerajaan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM, Datuk Izzadin Idris berkata: ‘‘Saya tidak dapat memberi ulasan mengenai perkara ini (kadar tol) kerana ia tertakluk kepada konsesi baharu.

‘‘Dan, buat masa ini saya tidak boleh membuat pendedahan mengenainya kerana masih di peringkat perbincangan.

‘‘Apa yang pasti para pengguna akan menikmati kadar harga semasa tol dalam tempoh lima tahun lagi,’’ katanya pada sidang akhbar mengenai pembelian PLUS di sini hari ini.

Malah, katanya, sebagai pengendali lebuh raya menjadi keutamaan UEM adalah memastikan mutu perkhidmatan dan penyelenggaraan dikekalkan.

‘‘Ini kerana keselamatan pengguna adalah keutamaan kami,’’ tambahnya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Shahril Ridza Ridzuan.

Sidang akhbar itu adalah kali pertama selepas kedua-dua entiti itu mengesahkan akan menubuhkan sayap khas (SPV) untuk membeli syarikat pengendali tol terbesar negara.

Shahril berkata, pada 15 Oktober lalu, UEM dan KWSP telah mencapai kata putus untuk membuat tawaran bersama kepada PLUS bagi mengambil alih kesemua perniagaannya termasuk aset dan liabilitinya.

Pengambilan alih itu dilakukan melalui SPV dengan penguasaan sebanyak 51 peratus oleh UEM dan bakinya 49 peratus oleh KWSP.

Kos keseluruhan pengambilan alih itu berjumlah RM23 bilion atau RM4.60 sesaham dan dilaksanakan secara tunai.

Sekiranya cadangan itu berjaya dimuktamadkan, PLUS akan dinyah senarai dan perniagaannya dipindah milik kepada SPV yang akan menyerap risiko konsesi.

PLUS kemudian akan menjadi syarikat yang memiliki mudah tunai yang tinggi dan ia akan dibahagikan kepada para pemegang saham melalui cadangan dividen khas dan pengurangan modal terpilih (SCR).

Izzadin berkata, tawaran pengambilan alih itu bergantung kepada kejayaan menstruktur semula perjanjian konsesi mengambil kira terma-terma oleh semua pihak.

Daripada RM23 bilion itu, sebanyak RM11 bilion adalah nilai pegangan pemegang saham minoriti dan RM12 bilion milik Khazanah Nasional (Khazanah) UEM dan KWSP.

Ditanya tentang idea pengambilan PLUS, Shahril berkata, KWSP melihat pengambilan alih syarikat pengendali tol itu sebagai satu peluang untuk memiliki aset matang yang menjana aliran tunai dengan profil risiko yang menarik.

‘‘KWSP menjadi pemegang saham operator lebuh raya itu sejak sekian lama dan ia adalah satu pelaburan jangka panjang yang baik dengan hasil dan pulangan stabil.

‘‘Sekiranya cadangan pengambilan alih ini berjaya, ia akan memberi pulangan stabil kepada 12 juta pencarum KWSP dan melalui pemilikan bersama ini, kami akan memperbaiki prestasi kewangan PLUS,’’ ujar beliau.

Sementara itu, Shahril menyifatkan harga dan tawaran yang dibuat itu sebagai wajar dan tertinggi direkodkan oleh PLUS sejak ia disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2002.

Harga saham PLUS melonjak ke paras RM4.46 seunit pada 13 Oktober lalu, sebelum urus niaganya digantung.

Tawaran harga itu mewakili premium 14.7 peratus serta 21.7 peratus peratus tinggi nilainya dalam tiga bulan dan enam bulan untuk harga purata pasaran, masing-masing pada RM4.01 dan RM3.78.

Ditanya sama ada PLUS akan dijadikan sebuah syarikat milik persendirian selepas pembelian itu, Shahril berkata: ‘‘Kita tidak mempunyai sebarang perancangan segera.’’.

UEM dan syarikat induknya, Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) memiliki kepentingan sebanyak 55.25 peratus dalam PLUS, yang mana 15.02 peratus daripadanya dicagarkan kepada sijil amanah boleh tukar yang diterbitkan oleh Khazanah.

KWSP pula menguasai sebanyak 12.03 peratus dalam PLUS.

Sementara itu, Izzadin berkata, PLUS akan menerima pampasan kira-kira RM1 bilion setahun ekoran tiada kenaikan tol selama lima tahun.

‘‘Kerajaan akan membayar kira-kira RM5 bilion dalam tempoh berkenaan,” ujarnya.

Katanya, setakat ini kerajaan berhutang sebanyak RM2.5 bilion bagi pampasan berikutan penangguhan kenaikan tol sebelum ini.

Thursday, October 14, 2010

KERAJAAN BERHAK AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG


Kerajaan berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana peniaga yang menaikkan harga barangan bertujuan untuk mengaut keuntungan berlebihan apabila Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010 dikuatkuasakan kelak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, bagaimanapun, akta terbaru itu tidak akan dilaksanakan sehingga kerajaan berbincang terlebih dahulu dengan pihak industri, peniaga dan pengguna berhubung mekanisme yang lebih standard dan lengkap.

"Ada dua perkara penting di dalam akta ini iaitu kerajaan boleh menetapkan harga minima bagi barangan terkawal mengikut Akta Kawalan Harga 1946 oleh kerana akta itu akan dibatalkan dan sebahagian besar kandungannya akan dibawa ke akta baru.

"Kedua, kerajaan boleh mengambil tindakan sekiranya berlaku pencatutan di mana wujud kenaikan harga yang tidak munasabah seperti air suam yang dijual RM1 di Kedah sebelum ini.

Maka di situ kerajaan boleh siasat dan ambil tindakan jika bersalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010 sebelum ia diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Ismail Sabri berkata, penetapan harga barangan di bawah akta baru itu boleh dibuat di semua peringkat pengedaran iaitu pengilang, pengeluar, pemborong dan peruncit dan boleh merangkumi caj perkhidmatan berkaitan pembekalan, penghantaran, pembaikan dan penyelenggaraan, pembungkusan, pengangkutan dan penyimpan.

Katanya, kerajaan sedang mengkaji perundangan daripada negara luar seperti Australia, China, Singapura dan Amerika Syarikat yang turut menggunapakai undang- undang kawalan harga dan antipencatutan.

Beliau berkata, Majlis Penasihat Harga juga akan ditubuhkan apabila akta itu diguna pakai kelak bagi memberi nasihat, cadangan dan pandangan kepada menteri berhubung isu-isu pencatutan sementara penguatkuasaan dan tindakan undang-undang akan dilaksanakan di peringkat kementerian.

Ismail Sabri berkata, akta itu akan memperuntukkan denda dari RM50,000 sehingga RM1 juta serta penjara tidak melebihi lima tahun yang merangkumi semua kesalahan yang dilakukan sama ada oleh pihak individu atau organisasi.

Wednesday, October 13, 2010

1,046 BELIA BAWAH 25 TAHUN MUFLIS


Seramai 1,046 belia di bawah umur 25 tahun diisytiharkan muflis dalam tempoh lima tahun lalu akibat gagal melunaskan hutang terutama yang melibatkan sewa beli kenderaan dan pinjaman peribadi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, punca lain adalah pinjaman perniagaan iaitu 77 orang (7.4 peratus), penjamin sosial 52 orang (5 peratus), penjamin korporat 18 orang (1.7 peratus), hutang cukai pendapatan enam orang (0.6 peratus), pinjaman pelajaran dua orang (0.2 peratus) dan seorang kerana hutang kad kredit (0.1 peratus).

"Menurut rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), bagi tempoh lima tahun (2005 hingga 2010), jabatan ini mentadbir sebanyak 83,389 kes kebankrapan dengan sebanyak 1,046 kes atau 1.25 peratus melibatkan belia berusia bawah 25 tahun," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Ago Anak Dagang (BN-Kanowit) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah belia yang muflis dalam tempoh lima tahun dan apakah punca ia berlaku serta langkah diambil kerajaan bagi mengatasinya.

Jelas Vui Keong, sehingga suku ketiga tahun ini, MdI telah mengadakan sebanyak 61 program kesedaran di seluruh negara bagi mendekati orang ramai melalui hari bertemu pelanggan, taklimat, Klinik MdI dan program MdI2U yang bertujuan memberikan kesedaran mengenai kesan-kesan kebankrapan dan bagaimana untuk keluar daripadanya.

Selain itu, sebanyak 33 kenyataan akhbar mengenai hal ehwal kebankrapan dikeluarkan melalui akhbar-akhbar tempatan dan kerjasama dengan media menyediakan slot khusus di televisyen dan radio.

Monday, October 11, 2010

INDUSTRI JUALAN LANGSUNG JANA RM10 BILION


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan industri jualan langsung dalam negara dapat menjana nilai jualan tahunan sebanyak RM10 bilion menjelang 2017.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran itu menunjukkan keupayaan sektor jualan langsung tempatan bergerak setanding dengan negara-negara yang telah lama bertapak dalam industri itu seperti Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, perkembangan itu sekali gus memberi kesan positif kepada syarikat jualan langsung asing agar lebih yakin untuk memasuki pasaran negara ini.

‘‘Sumbangan yang dijanakan oleh industri jualan langsung negara pada 2009 berjumlah RM4.23 bilion dan ini dilihat mampu memberi nilai tambah kepada sektor perdagangan pengedaran.

‘‘Kerajaan menganggarkan sumbangan sub sektor perdagangan pengedaran kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sekitar 13.3 peratus pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen ‘Inilah Harinya’ sempena ulang tahun ke-21 CNI Enterprise (M) Sdn. Bhd. (CNI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya semalam.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Kumpulan CNI Holdings Berhad, Datuk Koh Peng Chor dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sam Cheong Chin Tai.

Selain pengedar CNI tempatan, majlis konvensyen tersebut juga dihadiri peserta dari Indonesia, Singapura dan India.

Menurut Ismail Sabri, usaha yang dilakukan oleh usahawan CNI tempatan selama ini selaras dengan matlamat Pelan Induk Perdagangan Pengedaran kementerian dalam usaha melihat sektor peruncitan negara mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Beliau memberitahu, perniagaan jualan langsung kini bukan lagi merupakan sebuah perniagaan untuk mendapatkan pendapatan sampingan semata-mata sebaliknya mampu menjana pendapatan yang tinggi.

‘‘Zaman telah berubah di mana perniagaan ini dapat dijadikan satu kerjaya tetap dan mampu memberikan pulangan pendapatan tinggi dan lumayan.

‘‘Dengan syarat seseorang itu berusaha dengan bersungguh-sungguh dan penuh keyakinan,” katanya.

Friday, October 8, 2010

1MDB LAKSANA PROJEK RM47.7 BILION


1Malaysia Development Bhd. (1MDB) semalam menandatangani dua perjanjian kerjasama dengan Mubadala Development Company (Mubadala) dari Abu Dhabi bagi pelaksanaan dua projek utama membabitkan nilai RM47.7 bilion.

Kerjasama strategik tersebut melibatkan pembangunan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) yang dianggarkan menelan kos melebihi RM26 bilion.

Projek kedua pula membabitkan pelaburan Mubadala sebanyak RM21.7 bilion dalam projek jangka panjang Koridor Tenaga Diperbaharui (Score).

Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyaksikan majlis itu di sini berkata, KLIFD yang akan dibangunkan mulai pertengahan tahun depan merupakan rancangan yang amat penting untuk membangunkan sektor kewangan dinamik dan berdaya saing di peringkat global.

Menurut Perdana Menteri, pelaburan berkenaan diyakini dapat memperhebatkan pertumbuhan ekonomi, menarik kemasukan pelaburan asing dan menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“KLIFD merupakan pembangunan hartanah seluas 34 hektar yang akan mengumpulkan entiti perbankan dan kewangan yang penting.

“Konsepnya ialah supaya institusi pengawal atur, bank utama dan firma perkhidmatan profesional termasuk pakar syariah diletakkan secara bersama.

“Kita mengajak dan menggalakkan komuniti tempatan dan antarabangsa bekerjasama dengan kita untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan global. Kita gembira apabila Mubadala menyahut seruan ini,“ katanya.

Beliau berucap pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara 1MDB dengan Mubadala itu di Bangunan Putra Perdana di sini.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi Mubadala, Waleed Al Mokarrab Al Muhairi dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Halmi.

Najib berkata, Mubadala pada masa yang sama turut bersetuju menyertai Score iaitu satu projek yang akan mewujudkan 12,000 peluang pekerjaan.

“Aktiviti yang dijalankan dijangka mencernakan 10,000 peluang pekerjaan semasa pembinaan dan 2,000 lagi peluang pekerjaan dalam bidang kepakaran.

“Projek-projek dalam Score yang diketuai 1MDB akan diumumkan dalam masa terdekat,“ katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau gembira dengan keyakinan Mubadala terhadap potensi ekonomi Malaysia dan 1MDB.

“Sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, saya gembira bahawa 1MDB telah mencatatkan keuntungan bersih RM425 juta pada tahun kewangan suku pertama yang berakhir 31 Mac 2010.

“Kedudukan kewangan ini menunjukkan tadbir urus syarikat yang kuat dalam usahanya untuk melahirkan lebih banyak sumber pertumbuhan dan idea yang baru,“ katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala, Khaldoon Khalifa Al Mubarak menaruh keyakinan KLIFD berpotensi membawa ibu negara Malaysia bersaing dengan pusat kewangan global yang lain.

“Kami di Abu Dhabi yakin bahawa inisiatif yang diambil akan menghasilkan ekonomi Malaysia yang mempunyai daya saing tinggi.

“Kami kagum dengan keberanian dan keazaman Perdana Menteri Malaysia untuk meletakkan negaranya pada tahap yang tinggi dalam ekonomi global,“ katanya.


Thursday, October 7, 2010

KERETA GEN2 DAN SATRIA NEO DIPANGGIL SEMULA


Pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd mengumumkan panggilan semula sukarela kereta Gen2 dan Satria Neo yang dikeluarkan antara 2004 dan 2008 disebabkan oleh kerosakan pada komponen "clock spring" yang mungkin boleh menjejaskan keselamatan.

Panggilan sukarela itu yang merupakan sebahagian program jaminan kualiti global Proton melibatkan 15,911 (dua peratus) daripada 660,000 kereta yang dikeluarkan dan dijual dalam tempoh lebih empat tahun.

Komponen itu menyambungkan beberapa suis dan beg udara kepada radio, hon dan kawalan "cruise".

"Meskipun bilangannya kecil, keselamatan pelanggan kami sangat penting dan kami memohon maaf atas masalah yang timbul," kata Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dalam satu kenyataan di sini.

Ujian rutin telah mengenal pasti bahawa kerosakan pada "clock spring" seperti bunyi geseran dalam setering, hon berbunyi atau lampu kereta terpasang tanpa amaran, kerosakan suis kawalan audio dan dalam kes-kes ekstreme, pelepasn beg udara sebelah pemandu.

"Kami berharap pelanggan memahami bahawa panggilan semula ini perlu untuk memastikan keyakinan berterusan terhadap keselamatan dan prestasi kenderaan mereka," katanya.

Pemilik kenderaan yang terlibat boleh menghubungi mana-mana pusat servis Proton yang sah untuk membuat temu janji bagi mendapatkan pemeriksaan percuma.

Semua kos buruh dan peralatan yang berkaitan penggantian "clock spring" akan disediakan tanpa caj di pusat-pusat sah Proton di seluruh negara.

Proton akan menghantar surat kepada pelanggan yang terlibat untuk memklumkan mereka mengenai perkara itu.

Pada masa yang sama, Proton membuka laman web khusus, www.protonaftersales.com untuk membantu pelanggan menyemak tahun pengeluaran kenderaan masing-masing.

Wednesday, October 6, 2010

AGROBANK BIAYAI RM67.7 JUTA UNTUK INDUSTRI BURUNG WALIT


Agrobank telah mengeluarkan pembiayaan berjumlah RM67.7 juta kepada mereka yang berminat menceburi industri sarang burung walit yang semakin berkembang di negara ini.

Pembiayaan itu disediakan melalui peruntukan yang diberikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bertujuan menggalakkan pelaburan di dalam industri berkenaan berikutan permintaan tinggi terutamanya di China.

Pembiayaan yang mula disediakan sejak awal tahun ini, kini menarik 200 individu dan kumpulan untuk mendapatkan pinjaman mereka dari bank tersebut.

Pengurus Agrobank (Pemasaran Jualan), Jamaludin Mahfodz berkata, pinjaman itu digunakan untuk membina 'rumah' burung serta menyediakan sistem bunyian untuk menarik perhatian burung walit membina sarang.

"Berdasarkan pengalaman pihak bank, pengusaha sudah mampu membuat pembayaran balik tidak sampai setahun walaupun dibenarkan menangguhkan bayaran selama 12 bulan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah mengenai peruntukkan perusahaan burung walit pada dalam seminar yang dianjurkan oleh Gabungan Pengusaha Makanan Halal Malaysia (GPMM) di sini baru-baru ini. Turut hadir ialah Presiden GPMM, Abdul Rahman Bakar.

Tuesday, October 5, 2010

TEKNOLOGI HIJAU DIBERI PROMOSI


Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memasukkan beberapa cadangan dalam Bajet 2011 untuk menggalakkan lebih banyak syarikat menceburi bidang pembangunan teknologi hijau.

"Kementerian telah membuat cadangan bagi mempromosi bidang yang baharu ini, seperti insentif dan mengambil kira pemberian cukai dalam merangsang lebih banyak syarikat," kata menteri berkenaan Datuk Sri Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata, kementerian itu sedang berusaha mempromosi teknologi hijau memandangkan ia merupakan sektor yang baharu diceburi, katanya kepada pemberita pada jamuan Hari Raya anjuran bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan agensi-agensi di bawahnya, di Putrajaya semalam.

Selain itu, bagi mempromosi bidang yang baharu itu, kementerian akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Produk-Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa (IEGM) mulai 14 Okt ini.

"Hampir 500 syarikat akan menyertai pameran ini, dengan 80 peratus daripadanya terdiri daripada syarikat antarabangsa," kata Fah Kui.

Antara negara yang akan menyertai pameran itu ialah Jepun, Korea Selatan, China, negara-negara di Eropah dan Singapura.

"Menerusi IGEM2010, negara asing akan mengetahui Malaysia juga turut menceburi bidang teknologi hijau," katanya.

Selain itu, katanya, Mesyuarat Meja Bulat Menteri-Menteri berkaitan Teknologi Hijau dan program institusi pengajian tinggi awam tempatan dan luar negara, akan turut diatur semasa pameran itu.

Persidangan serta pameran antarabangsa yang bertujuan mempromosikan teknologi hijau serta produk-produknya kepada masyarakat dalam dan luar negara itu akan berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - BERNAMA

Monday, October 4, 2010

CIMB BUKAN SAINGAN MAYBANK


Malayan Banking Bhd. (Maybank) tidak pernah menetapkan sesebuah entiti perbankan tunggal di negara ini sebagai lawannya tetapi melihat kesemuanya sebagai pesaing dalam pasaran, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

''Kesemuanya adalah pesaing kami," kata beliau ketika ditanya tentang tanggapan ramai bahawa bank komersial terbesar di Malaysia kini bersaing sengit dengan Kumpulan CIMB.

Di kaca mata ramai, Maybank dan CIMB dilihat saling bersaing antara satu sama lain bukan hanya di dalam negara tetapi juga di rantau ini terutamanya dengan keghairahan sesetengah pihak mengaitkan hubungan peneraju bank itu dengan kepimpinan tertinggi negara.

Abdul Wahid berkata: ''Kalau dalam perbankan konvensional, kami melihat Public Bank, CIMB Bank, RHB Bank sebagai pesaing manakala kalau perbankan Islam, Bank Islam, Bank Rakyat dan bank-bank seumpama itu juga pesaing Maybank,

''Malah, untuk lebih spesifik kami juga melihat segmen perbankan mana yang menjadi kekuatan para pesaing kami sama ada bidang runcit dan pelaburan," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Abdul Wahid tidak menafikan jika dibandingkan daripada segi perbankan pelaburan, CIMB memiliki pasukan yang kuat dan Maybank memang bersaing dengan bank berkenaan.

''Bagaimanapun, dalam banyak segmen perbankan lain, kedudukan kami masih kukuh dan mantap," tegas beliau.

Abdul Wahid berkata, tidak langsung timbul persoalan bahawa Maybank memberikan fokus terhadap mana-mana bank individu dalam soal persaingan.

Beliau menambah, begitu juga keadaannya di Singapura dan Indonesia.

''Di Singapura, pesaing Maybank adalah DBS, OCBC dan UOB dan Indonesia pula Bank Mandiri, CIMB Niaga dan bank-bank lain.

''Kita melihat secara menyeluruh sebenarnya dan kalau di imbau semula sejarah 50 tahun Maybank, pada 2002 hingga 2008 Public Bank dan CIMB Bank pernah merapat jurang dengan kami.

''Bagaimanapun, kita masih berjaya meluaskan jarak dengan kedua-dua bank ini dari segi jumlah aset, deposit, pinjaman dan keuntungan lebih 20 peratus," tambah beliau.

Sementara itu, Abdul Wahid juga berkata, Maybank tidak tergesa-gesa untuk meluaskan operasinya di tiga buah negara ASEAN iaitu di Laos, Myanmar dan Thailand.

Katanya, pihaknya memang berhasrat untuk ke negara-negara berkenaan tetapi menunggu masa dan peluang yang sesuai.

Tegasnya, keadaan di negara-negara berkenaan belum menggalakkan daripada segi aspek keupayaan, peluang, sasaran dan nilai atau harga yang ditetapkan oleh bank-bank yang ada.

''Kami tidak mahu tergesa-gesa," kata beliau tetapi tidak menolak akan menerokai pasaran berkenaan dalam tempoh lima tahun akan datang.