Sunday, April 24, 2011

CIPTA PRODUK INOVASI TINGGI DAPAT KONTRAK KHAS


Syarikat dan usahawan yang berjaya menghasilkan produk yang berinovasi tinggi dan mampu menembusi pasaran global akan dianugerahkan "kontrak khas" oleh kerajaan dalam membantu memajukan lagi perniagaan mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia bertujuan menghargai syarikat dan usahawan yang berjaya melahirkan inovasi dan kreativiti dalam mengenal pasti produk baru terutama yang boleh diterima di pasaran global.

Beliau berkata, kontrak khas tersebut akan diberikan bagi tempoh beberapa tahun tertentu untuk mengembangkan perniagaan dan produk berkenaan.

"Bagaimanapun, syarikat dan usahawan perlu mendapat pengesahan oleh SME Corporation (SME Corp) atau Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) sebelum layak dipertimbangkan menerima kontrak khas ini," kata Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Pahang di sini, Sabtu.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Najib berkata, Malaysia tidak lagi mampu bergantung kepada sumber asli semata-mata, sebaliknya perlu mengembangkan hasil inovasi untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Justeru kata beliau, para usahawan khususnya peringkat perusahaan kecil dan sederhana (EKS) perlu melakukan transformasi minda untuk bersaing dan maju dalam perniagaan.

Beliau berkata, usahawan tidak boleh lagi berada di dalam suasana ekonomi tahun 60-an hingga 80-an di mana mereka dilindungi daripada persaingan khususnya syarikat luar negara ekoran kuasa globalisasi dan liberalisasi pada masa ini.

Najib berkata, usahawan juga perlu mengelak daripada berada dalam keselesaan dengan tidak melakukan perubahan untuk terus maju.

"Sebagai contoh, pemegang-pemegang AP (Permit Import) terus bersandar pada AP itu tetapi tidak menggunakan hasil daripada perniagaan itu untuk menceburi bidang lain, maknanya kita tidak ada transformasi minda.

"Jadi jangan menunding jari kepada kerajaan, kenapa kerajaan tidak menambah kuota, kenapa kerajaan tidak buat itu, ini...tetapi kita tidak transformasi minda," katanya.

Beliau berkata, kerajaan telah mengadakan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan usahawan EKS termasuk 79 bentuk dana pinjaman dan geran berjumlah RM8.8 bilion yang dikendalikan pelbagai agensi pada masa ini.

Perdana Menteri berkata, bagi memudahkan akses pembiayaan EKS, ia sedang diperkemas kepada hanya 33 jenis dana yang akan diselaraskan oleh SME Corp.

Kerajaan juga kata beliau, memperuntukkan sebanyak RM350 juta kepada SME Corp dengan RM200 juta untuk skim pinjaman mudah EKS dan RM100 juta untuk skim peningkatan dan keupayaan EKS serta bakinya untuk program penjenamaan dan promosi.

Selain itu, terdapat enam tabung EKS yang dikendalikan Bank Negara berjumlah RM13.4 bilion yang memberi manfaat kepada 46,000 EKS, katanya.

Najib berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM538 juta bagi melaksanakan pelbagai program EKS melalui perbadanan negeri, Tabung Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan SME Bank.

Friday, April 8, 2011

PERODUA KEKAL NOMBOR SATU


Perusahaan Automobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) masih mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran pada suku pertama 2011 dengan mencatatkan jualan sebanyak 45,700 buah di sebalik iklim pasaran yang mencabar.

Bagaimanapun angka itu merosot berbanding tempoh yang sama tahun lalu apabila mencatat jualan sebanyak 47,800 buah manakala penguasaan pasaran jatuh kepada 29.1 peratus berbanding 32.4 peratus dalam tempoh yang sama.

"Persaingan terus meningkat dengan produk-produk baru terus ditawarkan dan disertakan dengan promosi-promosi hebat oleh pengeluar kenderaan lain, " kata Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh di dalam kenyataannya di sini hari ini.

Beliau berkata, di sebalik pasaran yang mencabar, Perodua berjaya merekod jualan terbaik sehingga Mac, tahun ini dengan jualan sebanyak 18,000 buah dipacu oleh permintaan tinggi model Myvi, Viva dan Alza.

Myvi terus menjadi model terlaris dengan lebih kurang 21,500 buah terjual bagi tiga bulan pertama 2011 atau 19 peratus lebih tinggi berbanding 18,000 buah pada tempoh sama tahun lalu.

Perodua juga katanya, telah menjual 17,200 buah Viva manakala Alza turut menjadi pilihan pembeli bagi segmen kenderaan pelbagai guna dengan jualan sebanyak 10,400 buah sepanjang tiga bulan pertama ini.

Mengulas mengenai operasi selepas jualan Perodua, Aminar berkata, syarikat itu telah berjaya meningkatkan penguasaan pasaran dalam pengambilan perkhidmatan kepada 49 peratus pada suku pertama 2011 dengan 416,000 ambilan berbanding 400,800 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Perolehan, jualan alat ganti dan aksesori juga turut meningkat 31 peratus pada suku dalam kajian, katanya.

"Suku kedua dan ketiga dijangka amat mencabar kerana operasi kami menerima kesan daripada gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu. Kami percaya keadaan ini adalah sementara dan kami akan pulih semula dengan lebih kukuh,'' kata beliau lagi.