Friday, April 8, 2011

PERODUA KEKAL NOMBOR SATU


Perusahaan Automobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) masih mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran pada suku pertama 2011 dengan mencatatkan jualan sebanyak 45,700 buah di sebalik iklim pasaran yang mencabar.

Bagaimanapun angka itu merosot berbanding tempoh yang sama tahun lalu apabila mencatat jualan sebanyak 47,800 buah manakala penguasaan pasaran jatuh kepada 29.1 peratus berbanding 32.4 peratus dalam tempoh yang sama.

"Persaingan terus meningkat dengan produk-produk baru terus ditawarkan dan disertakan dengan promosi-promosi hebat oleh pengeluar kenderaan lain, " kata Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh di dalam kenyataannya di sini hari ini.

Beliau berkata, di sebalik pasaran yang mencabar, Perodua berjaya merekod jualan terbaik sehingga Mac, tahun ini dengan jualan sebanyak 18,000 buah dipacu oleh permintaan tinggi model Myvi, Viva dan Alza.

Myvi terus menjadi model terlaris dengan lebih kurang 21,500 buah terjual bagi tiga bulan pertama 2011 atau 19 peratus lebih tinggi berbanding 18,000 buah pada tempoh sama tahun lalu.

Perodua juga katanya, telah menjual 17,200 buah Viva manakala Alza turut menjadi pilihan pembeli bagi segmen kenderaan pelbagai guna dengan jualan sebanyak 10,400 buah sepanjang tiga bulan pertama ini.

Mengulas mengenai operasi selepas jualan Perodua, Aminar berkata, syarikat itu telah berjaya meningkatkan penguasaan pasaran dalam pengambilan perkhidmatan kepada 49 peratus pada suku pertama 2011 dengan 416,000 ambilan berbanding 400,800 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Perolehan, jualan alat ganti dan aksesori juga turut meningkat 31 peratus pada suku dalam kajian, katanya.

"Suku kedua dan ketiga dijangka amat mencabar kerana operasi kami menerima kesan daripada gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu. Kami percaya keadaan ini adalah sementara dan kami akan pulih semula dengan lebih kukuh,'' kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment