Monday, March 28, 2011
BOUSTEAD BELI MHS AVIATION
Boustead Holdings Bhd pada Isnin menandatangani perjanjian jual beli untuk membeli 51 peratus kepentingan ekuiti dalam MHS Aviation Bhd dengan harga RM100 juta.
Timbalan Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan Boustead, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, berkata pembelian yang dicadangkan itu akan menyumbang kepada pendapatan kumpulan itu dalam jangka panjang.
"Kumpulan Boustead sentiasa mencari peluang, sama ada organik atau bukan organik dan dengan pembelian MHS, kami menganggapnya sebagai satu usaha strategik untuk memperkukuh penglibatan kami dalam sektor minyak dan gas," katanya kepada pemberita selepas upacara menandatangani perjanjian itu di sini.
Dengan sekumpulan 28 helikopter, MHS menyediakan perkhidmatan helikopter bagi syarikat-syarikat minyak dan gas di Malaysia.
Pada majlis yang sama, MHS menerima penyerahan helikopter EC225 pertama daripada lima yang dibelinya daripada Eurocopter Malaysia Sdn Bhd.
"Dengan penyerahan kesemua lima helikopter baharu dalam masa tiga tahun nanti, kami menjangka MHS dapat menjana pulangan yang baik bagi kumpulan ini," tegas Lodin.
Beliau berkata helikopter-helikopter baharu itu akan digunakan bagi melaksanakan kontrak bernilai RM3.1 bilion yang diberikan oleh Petronas Carigali Sdn Bhd kepada MHS selama 10 tahun mulai April 2011.
Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutif MHS, Ir Ma'som Mahadi, berkata sementara menunggu helikopter baharu itu, MHS akan memajak tiga helikopter daripada Bristow Group, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan helikopter terkemuka kepada industri tenaga luar pantai.
Beliau juga berkata penyertaan Boustead sebagai pemegang saham utama MHS akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan yang lebih cekap, menarik pelanggan baharu dan menyerlahkan nilai syarikat itu.
Syarikat itu sedang mempertimbang untuk memperluas operasinya di luar negara, kata beliau.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment