Saturday, June 11, 2011

SELAMAT TINGGAL

Ini adalah posting terakhir blog ini memandangkan saya sudah tidak ada ikatan lagi dengan blog ini sejak 8 Mac lalu.Blog ini pada awalnya merupakan komplimen kepada majalah Mingguan Mindaniaga.

Oleh kerana pemilik permit ini, Dewan Muda Publication sudah menerbitkan sendiri Mingguan Mindaniaga dalam bentuk tabloid (bukan majalah lagi),pada bulan April lalu, maka saya yang mengendalikan blog ini tidak kena mengena lagi dengan blog ini.

Saya yang baru dapat permit majalah Celik Niaga akan mengendalikan blog saya sendiri, celikniaga. oleh itu kepada semua peminat blog ini boleh berpindah ke blog baru saya nanti. Saya mohon maaf kepada semua pembaca blog ini jika terdapat sebarang kesilapan sepanjang saya mengendalikan blog ini. - MOHD ZABIDI BIN HAJI SAIDI (zabby5257@yahoo.com.my)

Sunday, April 24, 2011

CIPTA PRODUK INOVASI TINGGI DAPAT KONTRAK KHAS


Syarikat dan usahawan yang berjaya menghasilkan produk yang berinovasi tinggi dan mampu menembusi pasaran global akan dianugerahkan "kontrak khas" oleh kerajaan dalam membantu memajukan lagi perniagaan mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia bertujuan menghargai syarikat dan usahawan yang berjaya melahirkan inovasi dan kreativiti dalam mengenal pasti produk baru terutama yang boleh diterima di pasaran global.

Beliau berkata, kontrak khas tersebut akan diberikan bagi tempoh beberapa tahun tertentu untuk mengembangkan perniagaan dan produk berkenaan.

"Bagaimanapun, syarikat dan usahawan perlu mendapat pengesahan oleh SME Corporation (SME Corp) atau Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) sebelum layak dipertimbangkan menerima kontrak khas ini," kata Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Pahang di sini, Sabtu.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Najib berkata, Malaysia tidak lagi mampu bergantung kepada sumber asli semata-mata, sebaliknya perlu mengembangkan hasil inovasi untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Justeru kata beliau, para usahawan khususnya peringkat perusahaan kecil dan sederhana (EKS) perlu melakukan transformasi minda untuk bersaing dan maju dalam perniagaan.

Beliau berkata, usahawan tidak boleh lagi berada di dalam suasana ekonomi tahun 60-an hingga 80-an di mana mereka dilindungi daripada persaingan khususnya syarikat luar negara ekoran kuasa globalisasi dan liberalisasi pada masa ini.

Najib berkata, usahawan juga perlu mengelak daripada berada dalam keselesaan dengan tidak melakukan perubahan untuk terus maju.

"Sebagai contoh, pemegang-pemegang AP (Permit Import) terus bersandar pada AP itu tetapi tidak menggunakan hasil daripada perniagaan itu untuk menceburi bidang lain, maknanya kita tidak ada transformasi minda.

"Jadi jangan menunding jari kepada kerajaan, kenapa kerajaan tidak menambah kuota, kenapa kerajaan tidak buat itu, ini...tetapi kita tidak transformasi minda," katanya.

Beliau berkata, kerajaan telah mengadakan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan usahawan EKS termasuk 79 bentuk dana pinjaman dan geran berjumlah RM8.8 bilion yang dikendalikan pelbagai agensi pada masa ini.

Perdana Menteri berkata, bagi memudahkan akses pembiayaan EKS, ia sedang diperkemas kepada hanya 33 jenis dana yang akan diselaraskan oleh SME Corp.

Kerajaan juga kata beliau, memperuntukkan sebanyak RM350 juta kepada SME Corp dengan RM200 juta untuk skim pinjaman mudah EKS dan RM100 juta untuk skim peningkatan dan keupayaan EKS serta bakinya untuk program penjenamaan dan promosi.

Selain itu, terdapat enam tabung EKS yang dikendalikan Bank Negara berjumlah RM13.4 bilion yang memberi manfaat kepada 46,000 EKS, katanya.

Najib berkata, kerajaan juga memperuntukkan RM538 juta bagi melaksanakan pelbagai program EKS melalui perbadanan negeri, Tabung Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan SME Bank.

Friday, April 8, 2011

PERODUA KEKAL NOMBOR SATU


Perusahaan Automobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) masih mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran pada suku pertama 2011 dengan mencatatkan jualan sebanyak 45,700 buah di sebalik iklim pasaran yang mencabar.

Bagaimanapun angka itu merosot berbanding tempoh yang sama tahun lalu apabila mencatat jualan sebanyak 47,800 buah manakala penguasaan pasaran jatuh kepada 29.1 peratus berbanding 32.4 peratus dalam tempoh yang sama.

"Persaingan terus meningkat dengan produk-produk baru terus ditawarkan dan disertakan dengan promosi-promosi hebat oleh pengeluar kenderaan lain, " kata Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh di dalam kenyataannya di sini hari ini.

Beliau berkata, di sebalik pasaran yang mencabar, Perodua berjaya merekod jualan terbaik sehingga Mac, tahun ini dengan jualan sebanyak 18,000 buah dipacu oleh permintaan tinggi model Myvi, Viva dan Alza.

Myvi terus menjadi model terlaris dengan lebih kurang 21,500 buah terjual bagi tiga bulan pertama 2011 atau 19 peratus lebih tinggi berbanding 18,000 buah pada tempoh sama tahun lalu.

Perodua juga katanya, telah menjual 17,200 buah Viva manakala Alza turut menjadi pilihan pembeli bagi segmen kenderaan pelbagai guna dengan jualan sebanyak 10,400 buah sepanjang tiga bulan pertama ini.

Mengulas mengenai operasi selepas jualan Perodua, Aminar berkata, syarikat itu telah berjaya meningkatkan penguasaan pasaran dalam pengambilan perkhidmatan kepada 49 peratus pada suku pertama 2011 dengan 416,000 ambilan berbanding 400,800 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Perolehan, jualan alat ganti dan aksesori juga turut meningkat 31 peratus pada suku dalam kajian, katanya.

"Suku kedua dan ketiga dijangka amat mencabar kerana operasi kami menerima kesan daripada gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu. Kami percaya keadaan ini adalah sementara dan kami akan pulih semula dengan lebih kukuh,'' kata beliau lagi.

Monday, March 28, 2011

BOUSTEAD BELI MHS AVIATION


Boustead Holdings Bhd pada Isnin menandatangani perjanjian jual beli untuk membeli 51 peratus kepentingan ekuiti dalam MHS Aviation Bhd dengan harga RM100 juta.

Timbalan Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan Boustead, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, berkata pembelian yang dicadangkan itu akan menyumbang kepada pendapatan kumpulan itu dalam jangka panjang.

"Kumpulan Boustead sentiasa mencari peluang, sama ada organik atau bukan organik dan dengan pembelian MHS, kami menganggapnya sebagai satu usaha strategik untuk memperkukuh penglibatan kami dalam sektor minyak dan gas," katanya kepada pemberita selepas upacara menandatangani perjanjian itu di sini.

Dengan sekumpulan 28 helikopter, MHS menyediakan perkhidmatan helikopter bagi syarikat-syarikat minyak dan gas di Malaysia.

Pada majlis yang sama, MHS menerima penyerahan helikopter EC225 pertama daripada lima yang dibelinya daripada Eurocopter Malaysia Sdn Bhd.

"Dengan penyerahan kesemua lima helikopter baharu dalam masa tiga tahun nanti, kami menjangka MHS dapat menjana pulangan yang baik bagi kumpulan ini," tegas Lodin.

Beliau berkata helikopter-helikopter baharu itu akan digunakan bagi melaksanakan kontrak bernilai RM3.1 bilion yang diberikan oleh Petronas Carigali Sdn Bhd kepada MHS selama 10 tahun mulai April 2011.

Pengerusi/Ketua Pegawai Eksekutif MHS, Ir Ma'som Mahadi, berkata sementara menunggu helikopter baharu itu, MHS akan memajak tiga helikopter daripada Bristow Group, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan helikopter terkemuka kepada industri tenaga luar pantai.

Beliau juga berkata penyertaan Boustead sebagai pemegang saham utama MHS akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan yang lebih cekap, menarik pelanggan baharu dan menyerlahkan nilai syarikat itu.

Syarikat itu sedang mempertimbang untuk memperluas operasinya di luar negara, kata beliau.

-- BERNAMA

KUTIP RM6 JUTA LAYAK DAPAT INSENTIF


Filem tempatan yang diterbitkan selepas 2010 serta meraih kutipan tiket sehingga RM6 juta layak mendapat insentif di bawah Bayaran Insentif Tayangan Filem.

Skim baru itu diperkenalkan setelah mendapat persetujuan kabinet pada 23 Februari lepas bagi menggantikan skim pemulangan Duti Hiburan, yang dilihat tidak berkesan sejak 2000.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, skim baru itu akan menggunakan kaedah keuntungan jualan tiket penerbit filem dalam menentukan jumlah bayaran insentif.

"Penerbit filem perlu mengemukakan bukti jualan tiket atau doket kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk diteliti sebelum disahkan untuk pembayaran.

"Selepas diteliti dan jumlah jualan tiket yang dikemukakan adalah benar, barulah pembayaran dibuat,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Insentif Tayangan kepada penerbit 13 buah filem yang layak.

Filem-filem tersebut ialah Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Lagenda Budak Setan, Kapoww, Estet, 2 Alam, Aku Tak Bodoh, Janin, Aku Masih Dara, Damping Malam, Ice Kacang Puppy Love, Lelio Po Po, Whoohoo, Appalam dan Crayon. - Bernama

PEMBIAYAAN TUS DINAIKKAN


Jumlah pembiayaan maksimum Tabung Usahawan Siswazah (TUS) dinaikkan sekali ganda kepada RM500,000 mulai hari ini berbanding RM250,000 sebelum ini, bagi menarik lebih ramai lepasan institusi pengajian tinggi memohon pembiayaan daripada tabung berkenaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, pembiayaan bagi pengambilalihan syarikat pula dinaikkan kepada RM750,000.

“Saya mengharapkan pembiayaan dari dana khas berjumlah RM45 juta ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya kepada media selepas melancarkan Cabaran Usahawan Muda 1Malaysia, di sini hari ini.

Mukhriz juga berkata, tempoh kelonggaran pula dilanjutkan sehingga 48 bulan berbanding 24 bulan dan tempoh pembiayaan untuk bangunan dan premis perniagaan, sehingga 20 tahun. - Bernama

Wednesday, March 23, 2011

RM377.8 JUTA CARUMAN KWSP TIDAK DITUNTUT


Sebanyak RM377.8 juta caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dituntut sehingga Disember tahun lalu membabitkan 188,733 ahli berumur 75 tahun ke atas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

asli capital market summit 131107 awang adekTimbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin berkata berdasarkan rekod KWSP, hampir keseluruhan maklumat tentang pencarum terbabit adalah tidak lengkap memandangkan rekod pencarum yang terdahulu tidak mempunyai maklumat negeri.

Katanya daripada jumlah pencarum itu hanya 1,960 boleh dikenal pasti mengikut negeri.

Negeri-negeri itu ialah Johor 124 kes, Kedah (101), Kelantan (26), Melaka (33), Negeri Sembilan (43), Pahang (76), Perak (141), Pulau Pinang (148), Sabah (236), Sarawak (371), Selangor (340), Terengganu (41) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (280).

"Jumlah keseluruhan caruman bagi negeri-negeri yang dikenal pasti itu berjumlah RM195.9 Juta, manakala selebihnya yang berjumlah RM358.2 juta adalah jumlah caruman daripada 186,773 kes yang tiada maklumat negeri," katanya menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan).

Awang Adek berkata caruman yang tidak dituntut itu akan disimpan dalam akaun KWSP sehingga ahli berumur 80 tahun iaitu lima tahun selepas ahli tidak mencarum dengan KWSP.

Katanya selepas pencarum mencapai umur 80 tahun, caruman tersebut akan dipindahkan kepada bahagian pendaftar wang tidak dituntut iaitu selaras dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

"Bagaimanapun, sekiranya pencarum atau waris ingin membuat tuntutan caruman selepas caruman itu dipindahkan, KWSP akan membantu dengan mengeluarkan dokumen dan maklumat sebagaimana prosedur tuntutan ditetapkan," katanya.

Mengikut undang-undang, wang yang tidak dituntut oleh pemunya akan dipindahkan daripada Akaun Amanah Disatukan kepada Akaun Hasil Disatukan selepas 15 tahun dari tarikh penerimaan oleh Pendaftar Wang Tak Dituntut.