Wednesday, March 23, 2011
RM377.8 JUTA CARUMAN KWSP TIDAK DITUNTUT
Sebanyak RM377.8 juta caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dituntut sehingga Disember tahun lalu membabitkan 188,733 ahli berumur 75 tahun ke atas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
asli capital market summit 131107 awang adekTimbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin berkata berdasarkan rekod KWSP, hampir keseluruhan maklumat tentang pencarum terbabit adalah tidak lengkap memandangkan rekod pencarum yang terdahulu tidak mempunyai maklumat negeri.
Katanya daripada jumlah pencarum itu hanya 1,960 boleh dikenal pasti mengikut negeri.
Negeri-negeri itu ialah Johor 124 kes, Kedah (101), Kelantan (26), Melaka (33), Negeri Sembilan (43), Pahang (76), Perak (141), Pulau Pinang (148), Sabah (236), Sarawak (371), Selangor (340), Terengganu (41) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (280).
"Jumlah keseluruhan caruman bagi negeri-negeri yang dikenal pasti itu berjumlah RM195.9 Juta, manakala selebihnya yang berjumlah RM358.2 juta adalah jumlah caruman daripada 186,773 kes yang tiada maklumat negeri," katanya menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan).
Awang Adek berkata caruman yang tidak dituntut itu akan disimpan dalam akaun KWSP sehingga ahli berumur 80 tahun iaitu lima tahun selepas ahli tidak mencarum dengan KWSP.
Katanya selepas pencarum mencapai umur 80 tahun, caruman tersebut akan dipindahkan kepada bahagian pendaftar wang tidak dituntut iaitu selaras dengan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.
"Bagaimanapun, sekiranya pencarum atau waris ingin membuat tuntutan caruman selepas caruman itu dipindahkan, KWSP akan membantu dengan mengeluarkan dokumen dan maklumat sebagaimana prosedur tuntutan ditetapkan," katanya.
Mengikut undang-undang, wang yang tidak dituntut oleh pemunya akan dipindahkan daripada Akaun Amanah Disatukan kepada Akaun Hasil Disatukan selepas 15 tahun dari tarikh penerimaan oleh Pendaftar Wang Tak Dituntut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment