Thursday, January 13, 2011
MENARA WARISAN TIADA MASALAH UNTUK DIJUAL
Semua ruang pejabat dan komersial di Menara Warisan setinggi 100 tingkat dijangka tidak mempunyai sebarang masalah untuk dipasarkan apabila ia siap dibina, kata Perunding Hartanah, Rahim & Co. Chartered Surveyors Sdn. Bhd. (Rahim & Co).
Pengerusi Eksekutifnya, Senator Datuk Abdul Rahim Rahman berkata, beliau percaya perancangan pembinaan menara itu tidak dilakukan secara tergesa-gesa tanpa sebarang kajian dilakukan.
Menurutnya, setiap projek mega pasti mendatangkan pulangan yang berbaloi jika diuruskan dengan baik dan begitu juga dengan menara tersebut.
“Mungkin menara itu dibina beberapa tahun lagi, tetapi saya yakin permintaan terhadapnya tetap tinggi kerana ekonomi negara semakin berkembang ketika ini.
“Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini telah meningkatkan pertumbuhan sektor perniagaan dan sudah pasti permintaan terhadap ruang pejabat juga akan meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai peluang Pasaran Hartanah Malaysia 2011, di sini hari ini.
Menara warisan merupakan projek yang akan dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) di sebelah Stadium Merdeka dengan kos sebanyak RM5 bilion.
Perlaksanaan projek tersebut menjadi pertikaian sesetengah pihak kerana beranggapan menara berkenaan bakal menjadi projek gajah putih dan membazirkan wang rakyat.
Abdul Rahim berkata, projek-projek lain seperti pembangunan tanah di Sungai Buloh, Pusat Konvensyen Naza, pembukaan pusat komersial dan pembangunan semula Lapangan terbang Sungai Besi juga memberi impak positif kepada ekonomi negara.
Katanya, pemilik menara itu mempunyai perancangan tersendiri mengenai Menara Warisan dan segala tanggapan negatif mengenai pembinaannya adalah perkara biasa.
“Saya pasti projek berkenaan akan dilaksanakan jika pemiliknya benar-benar yakin ketika itu permintaan terhadapnya berada di peringkat tertinggi.
“Mungkin tahun ini atau mungkin lima tahun lagi menara tersebut akan dibina,” ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment