Wednesday, July 28, 2010

KOPERASI PERLU PUSINGAN MODAL


Lebih 7,000 koperasi di negara ini memerlukan bantuan pembiayaan dalam bentuk tabung pusingan modal sekurang-kurangnya RM10 bilion daripada kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Berdasarkan jumlah tersebut, purata pembiayaan kewangan bagi setiap koperasi di negara ini adalah kira-kira RM1.4 juta untuk menyokong pertumbuhannya.

Pengarah Eksekutif Koperasi Wawasan Malaysia Bhd. (Kowamas), Datuk Mohamed Farid Zawawi berkata, jumlah pembiayaan keseluruhan berkenaan berupaya menampung keperluan kewangan koperasi-koperasi tempatan.

Malah, katanya, pembiayaan yang tinggi merupakan salah satu faktor untuk koperasi tumbuh dan berkembang dengan lebih pantas di negara ini.

"Kita mahu lebih banyak koperasi berdaya saing di negara ini dan berkembang pesat seperti di negara-negara Eropah,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Ibu Pejabat Komawas di sini hari ini.

Beberapa contoh koperasi yang ditadbir urus dengan baik di dunia adalah di Sweden, Denmark, Sepanyol dan Jepun.

Kowamas ditubuhkan pada 1996 bermula daripada sebuah koperasi yang kecil dengan 100 orang ahli untuk menjaga kebajikan pekerja sebuah ladang di Kuala Krai, Kelantan.

Kini, Kowamas mempunyai empat teras perniagaan iaitu pembiayaan peribadi, pajak gadai Ar-Rahnu, kedai pengguna dan hartanah.

Koperasi itu telah melancarkan produk pembiayaan peribadi pertamanya berlandaskan konsep syariah iaitu e-Wawasan dengan kerjasama Malayan Banking Bhd. (Maybank) pada Ogos 2008 yang lalu.

Mohamed Farid menambah, kerajaan perlu serius membantu koperasi-koperasi dalam pembiayaan kewangan bagi memastikan entiti itu terus berkembang.

Katanya, bantuan dan sokongan itu diibarat sebagai satu pelaburan jangka panjang kerajaan yang akan dituai pada masa depan.

Ketika ditanya jumlah koperasi aktif di negara ini, Mohamed Farid memberitahu, hanya 500 koperasi tempatan berada pada peringkat pertama pencapaian atau kedudukan yang baik sementara 1,000 lagi di peringkat kedua atau memuaskan dan berpotensi untuk berkembang.

Katanya, bakinya sebanyak 5,500 koperasi tidak aktif.

''Sekiranya sebahagian besar koperasi ini berada di peringkat kedua, maka banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan,'' katanya.

Ditanya peratusan sumbangan koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Mohamed Farid menambah, sumbangannya kurang dari satu peratus berbanding negara-negara Eropah sebanyak 10 peratus.

No comments:

Post a Comment