Thursday, July 29, 2010

PPZ SASAR KUTIPAN RM260 JUTA


Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasar untuk mengutip RM260 juta zakat tahun ini menerusi 84,000 orang pembayar.

Pengurus Besar PPZ-MAIWP Mohd Rais Alias berkata sasaran itu adalah lebih tinggi berbanding jumlah kutipan pada 2009 iaitu sebanyak RM242 juta dengan jumlah pembayar sebanyak 78,820 orang.

Beliau berkata demikian pada majlis pelantikan rasmi Kaunter Pejabat Pos Suria KLCC sebagai kaunter angkat PPZ.

Pejabat Pos Suria KLCC merupakan kaunter angkat keempat selepas kaunter BIMB Putrajaya, Pejabat Pos Gombak dan Bank Muamalat Bandar Tasik Selatan.

Menurut Mohd Rais, Pos Malaysia adalah antara ejen zakat PPZ yang menjadi penyumbang zakat terbesar.

Beliau berkata antara sebab PPZ memilih Pejabat Pos KLCC sebagai kaunter angkat adalah kerana waktu operasinya tamat pada pukul 6 petang dan ini dilihat dapat membantu para pembayar zakat membuat bayaran zakat mereka selepas waktu kerja.

Ia beroperasi pada setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 6 petang dan ditutup hanya pada Sabtu minggu pertama.

Beliau berkata pemilihan itu juga berdasarkan lokasi yang strategik dengan dikelilingi oleh mereka yang berkemampuan untuk membayar zakat.

Katanya pembayar zakat juga akan menerima cenderahati percuma dari pihak PPZ-MAIWP jika membuat bayaran di kaunter-kaunter angkat PPZ-MAIWP dan pemberian cenderahati itu juga adalah sepanjang masa dan tiada tempoh dihadkan.

Mohd Rais berkata pihaknya juga mempunyai perancangan untuk melantik Bank Simpanan Nasional (BSN) di Jalan Pudu sebagai kaunter angkat PPZ dan ia mungkin dilaksanakan pada akhir tahun ini atau tahun depan.

No comments:

Post a Comment