Tuesday, August 3, 2010

BSN TELUS NILAI PINJAMAN DANA KREATIF


Bank Simpanan Nasional (BSN) menegaskan hari ini bahawa ia sentiasa telus dalam keseluruhan proses menilai permohonan pinjaman bagi Dana Industri Kreatif.


"BSN, dalam peranannya untuk membantu aspirasi kerajaan mewujudkan kehadiran peserta industri kreatif tempatan di peringkat global, sentiasa telus dalam keseluruhan proses menilai permohonan pinjaman," kata Timbalan Ketua Eksekutifnya (pengurusan kredit dan sokongan perniagaan) Winston Emmanuel Jeyaprakash.


"BSN juga menjemput peserta industri yang pakar dalam perkara itu untuk menduduki panel penasihatnya bagi menyediakan maklum balas teknikal dalam bidang mereka masing-masing dan juga bekerjasama rapat dengan agensi seperti Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Kementerian Penerangan semasa proses penilaian itu," katanya dalam satu kenyataan.


BSN menegaskan perkara tersebut sebagai reaksinya kepada laporan media berkaitan ketelusan dalam pengurusan Dana Industri Kreatif, di mana ia diberi mandat untuk mengurusnya sebagai mewakili kerajaan.


Winston berkata peserta industri yang menduduki panel BSN tidak mempunyai hak mengundi tetapi hanya bertindak sebagai penasihat berhubung perkara-perkara teknikal dalam bidang masing-masing.


"Maklum balas mereka diambil pertimbangan dalam penilaian BSN bagi memastikan proses dikendalikan secara berkesan agar pembiayaan dapat disalurkan dengan sewajarnya," katanya."


Bagaimanapun, kejayaan satu-satu permohonan akan diputuskan oleh jawatankuasa di BSN," katanya.


Menurut Winston, cadangan dengan kandungan kreatif tempatan yang bertujuan untuk dieksport akan diberikan keutamaan berbanding yang hanya menyasarkan pasaran domestik.Pemohon yang telah menerima geran daripada agensi seperti MDeC atau Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mungkin masih dipertimbangkan bagi pengkomersilan atau pemasaran rangkaian kreatif mereka di bawah Pinjaman Industri Kreatif di BSN, katanya.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment