Sunday, August 22, 2010

MELAKA TERIMA RM428 PELABURAN ASING


Sektor perindustrian di Melaka menerima pelaburan asing RM428 juta yang diluluskan oleh Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk tempoh antara Januari dan April tahun ini.

Pengurus Besar Invest Melaka Ramli Mohd Ali yakin jumlah pelaburan itu akan mencapai sasaran RM3 bilion menjelang akhir tahun ini.

"Tahun lepas, kita hanya capai pelaburan RM928 juta," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Invest Melaka Bersama Media di sini, Ahad malam.

Ramli berkata, pada masa ini, Melaka memfokuskan untuk menarik pelabur luar negara daripada sektor perkilangan dalam bidang bioteknologi, teknologi hijau dan farmaseutikal.

Katanya hubungan mesra antara pelabur dan kerajaan negeri, pengurusan fasiliti perindustrian yang baik dan harga tanah perindustrian yang kompetitif merupakan antara faktor penting untuk menarik pelabur ke Melaka.

Sementara itu, Ramli berkata sektor perindustrian di Melaka pada masa ini mempunyai lebih 58,000 orang pekerja dan kira-kira 17,000 orang daripada jumlah itu merupakan pekerja asing.

Beliau berkata isu kilang di Melaka mengutamakan pengambilan pekerja asing tidak wujud kerana bagi mendapatkan pekerja asing kilang di Melaka perlu mendapatkan sokongan antaranya daripada Jabatan Tenaga Kerja, MIDA dan Invest Melaka yang akan meneliti keperluan itu.

"Kalau kita lihat syarikat ini tidak perlu ambil kerana di Melaka ada (pekerja tempatan), Invest Melaka tidak benarkan (ambil pekerja asing), sama juga dengan persekutuan (agensi kerajaan persekutuan seperti Jabatan Tenaga Kerja dan MIDA) pun tidak benarkan," katanya.

Beliau berkata sekiranya Invest Melaka menerima laporan bahawa kilang di sesebuah kawasan sukar mendapatkan pekerja tempatan, pihaknya akan menganjurkan majlis kecil di mana pada majlis itu pihak kilang akan membuat temuduga terbuka dan orang ramai akan dijemput menghadirinya seperti yang dianjurkan oleh pihaknya di Jasin baru-baru ini.

Katanya Invest Melaka juga bertanggung jawab untuk memastikan pekerja kilang yang telah diberhentikan atas sebab pengurangan pekerja atau penutupan kilang mencari peluang pekerjaan baru dalam sektor perkilangan.

"Kalau dia (pekerja tempatan) memilih kerja, saya tidak boleh hendak cakap apa, kita sudah lakukan pelbagai usaha untuk beri kerja, terpulang kepada orang tempatan hendak isi kekosongan di Melaka," katanya.

Pada masa sekarang, Ramli berkata Invest Melaka sedang membantu sebuah syarikat pengeluar panel solar di Alor Gajah di sini mengisi keperluan kira-kira 4,000 pekerja dengan pekerja tempatan dan kilang itu bakal beroperasi Disember ini.

Beliau berkata menjadi tanggungjawab Invest Melaka membantu mana-mana penduduk negeri ini mencari pekerjaan dalam sektor perkilangan terutamanya graduan yang menganggur supaya tenaga dan kemahiran mereka dapat digunakan untuk membangunkan negeri ini.

Mengenai isu masalah sosial yang ditimbulkan oleh pekerja asing, beliau berkata setakat ini masalah tersebut masih terkawal di Melaka.

"Pihak berkuasa (seperti Polis) juga pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengawal masalah ini, contohnya PBT sudah tetapkan hanya 10 orang serumah boleh ditempatkan pekerja asing ini," katanya.

Beliau berkata setakat ini Invest Melaka ada menerima beberapa laporan daripada penduduk setempat tetapi masalah itu tidak dilihat pada tahap yang membimbangkan sehingga mengancam dan mengangu penduduk tersebut.

No comments:

Post a Comment