Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci sama ada ia akan menubuhkan anak syarikat baru ataupun berlaku perubahan pada unit operasi sahaja.
Pelan penstrukturan semula Proton dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
Tambah beliau, penstrukturan semula itu akan memberi lebih nilai kepada Proton untuk menarik pengeluar peralatan tulen (OEM) antarabangsa menjadi rakan kongsi strategiknya.
"Kami sudah berunding dengan pelbagai OEM antarabangsa namun seperti yang kamu ketahui, ia menemui jalan buntu.
"Ia sesuatu yang sukar untuk mereka menguasai Proton, ada antara OEM ini tidak berminat untuk menjadikan Proton sebagai sebahagian daripada mereka sebaliknya lebih berminat untuk menggunakan kemudahan kilang sahaja.
"Jadi dengan penyusunan semula syarikat, OEM antarabangsa yang berminat tidak perlu menguasai keseluruhan Proton, sebaliknya memilih untuk menjadi rakan kongsi di unit-unit tertentu sahaja," katanya.
Syed Zainal menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas pengumuman keputusan kewangan suku pertama Proton bagi tahun kewangan 2010/20111.
Turut hadir Pengerusi Proton, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh.
Tambah beliau, penyusunan semula itu juga sebagai menyahut seruan kerajaan yang mahu semua pemain industri automotif terus mengukuhkan industri di samping bersedia untuk bersaing di pasaran terbuka.
"Jika ia berjalan lancar, kita akan mempunyai satu industri yang kukuh dan ekosistem yang lebih kompetitif terutama dari segi kos" tambahnya.
Dalam pada itu, Proton mencatat peningkatan keuntungan sebelum cukai kepada RM105 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2010 berbanding RM64 juta tempoh yang sama tahun lalu.
Ia didorong oleh jualan 39,994 buah kenderaan pada tempoh berkenaan berbanding 36,988 buah kenderaan untuk tempoh yang sama 2009.
Mohd Nadzmi berkata, pasaran domestik menyaksikan pertumbuhan luar jangkaan pada separuh pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan peningkatan jualan untuk model-model popular seperti Saga, Persona dan Exora.
"Proton akan terus agresif melakukan promosi jualan bagi memastikan pertumbuhan positif ini kekal di sebalik unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang mengatakan jualan kenderaan akan merosot pada separuh kedua tahun ini," tambahnya.
Proton mencatat perolehan sebanyak RM2.3 bilion pada suku pertama berbanding RM1.85 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
No comments:
Post a Comment