Thursday, August 19, 2010

KONTRAKTOR BUMI DAPAT 30 PERATUS SAHAJA


Kontraktor bumiputera sebenarnya hanya mendapat sebahagian kecil kontrak kerajaan berbanding kaum lain yang bukan setakat diberikan kontrak kerajaan tetapi juga membolot semua kontrak swasta.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Ali Alattas menjelaskan, persepsi bahawa kontraktor bumiputera menguasai sepenuhnya semua kontrak kerajaan adalah tidak benar sama sekali.

‘‘Kita cuma dapat 30 peratus projek sahaja. Itupun projek kerajaan, projek swasta kita tidak dapat kerana kebanyakan syarikat dimiliki oleh kaum lain,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat DPMM hari ini.

Syed Ali berkata,kontraktor bumiputera terpaksa berkongsi projek kerajaan dengan kontraktor bukan bumiputera menyebabkan mereka hanya merasai sebahagian kecil daripada keseluruhan projek di negara ini.

“Contohnya keseluruhan projek di negara ini bernilai RM100 bilion, RM50 bilion adalah projek swasta dan RM50 bilion lagi adalah projek kerajaan,

“Jadi projek swasta bernilai RM50 bilion itu dimiliki sepenuhnya oleh kaum bukan bumiputera dan dalam pada itu, mereka juga mendapat sebahagian projek kerajaan sebanyak RM20 bilion, jadi yang tinggal hanyalah projek bernilai RM30 bilion sahaja kepada kontraktor bumiputera,”katanya.

Justeru, bagi memastikan kelangsungan kontraktor bumiputera dan aspirasi kerajaan yang mahu menjadikan Malaysia sebagai ekonomi berpendapatan tinggi, Syed Ali berharap agar kerajaan menganugerahkan sehingga 70 peratus kontrak kepada mereka.

Ini bagi membolehkan kontraktor bumiputera terus bersaing dengan kontraktor bukan bumiputera yang memonopoli projek sektor swasta.

“Matlamat Model Baru Ekonomi adalah untuk menjadikan semua rakyat memiliki pendapatan sekurang-kurangnya menengah tinggi,

“Jadi bagaimana kita hendak pastikan semua rakyat mendapat limpahan ekonomi secara adil jika projek swasta hanya diberikan kepada kaum mereka sahaja, jadi kami (kontraktor bumiputera) mahu kerajaan beri lebih projek kepada kami,”ujarnya.

Tambah beliau lagi, ramai kontraktor bumiputera sebenarnya layak untuk menjayakan pelbagai projek termasuk yang berprofil tinggi bagaimanapun masih gagal untuk memenangi hati sektor swasta.

“Ia sepatutnya dilakukan secara terbuka, jika kontraktor bumiputera layak,jadi berikan projek kepada kami, jika tidak, kami hanya mampu meneruskan hidup bergantung kepada kontrak kerajaan sahaja,” katanya.

Menurut Syed Ali, jika ada golongan yang mempertikaikan tuntutan ini, ia masih boleh diselesaikan dengan membuka peluang kepada semua kontraktor tanpa mengira kaum mendapat projek di negara ini secara adil.

Ini termasuklah kesediaan syarikat-syarikat swasta untuk memberikan projek kepada kontraktor bumiputera.

“Apa yang kami mahu adalah ‘kek ekonomi’ dikongsi secara sama rata dan bukan hanya dimonopoli oleh kaum-kaum tertentu sahaja disebabkan mereka menguasai ekonomi negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Seminar RMK-10 yang diadakan oleh DPMM baru-baru ini menuntut sekiranya pemilihan projek-projek kerajaan dilaksanakan berasaskan merit, ia hendaklah dilakukan di kalangan kontraktor dan usahawan bumiputera sahaja.

Ia turut mencadangkan kerajaan agar mewujudkan semula Tabung Pemulihan Usahawan (TPU) dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM1 bilion bagi modal kerja.

No comments:

Post a Comment