Ketiga-tiga langkah tersebut adalah pengurusan yang bijak, modal kerja yang mencukupi dan sokongan berterusan daripada kerajaan dalam bentuk insentif.
Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohamed Farid Zawawi, langkah pertama adalah melalui pengurusan koperasi yang cekap dan bijak.
Katanya, sesebuah koperasi perlu mempunyai barisan pengurusan yang berpengalaman dan boleh menguruskan perniagaan.
"Masalah orang Melayu kita pada waktu ini adalah, mereka akan berusaha untuk terus mengekalkan jawatan dalam tempoh yang panjang dalam sesebuah koperasi, tetapi kurang memberi sumbangan.
"Golongan yang tidak produktif ini akan bertahan sehingga 20 hingga 30 tahun sehingga menyebabkan sesebuah koperasi tidak berkembang dan berada di takuk lama. Jika tidak bernasib baik, koperasi yang ditunjangi akan gulung tikar,'' katanya di Ibu Pejabat Kowamas di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan baru-baru ini bahawa terdapat sebanyak 332 koperasi terpaksa gulung tikar atau dibatalkan pendaftaran antara 2006 hingga 2010 atas pelbagai sebab dan kesalahan yang dikesan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Timbalan Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, SKM telah mengambil beberapa langkah untuk membantu sebahagian koperasi yang mengalami masalah itu tetapi selepas dibimbing dan dipantau, ia tetap tidak menunjukkan sebarang perubahan.
Kowamas mempunyai 12 buah cawangan di seluruh negara dengan 200 kakitangan.
Sehingga kini, koperasi itu mempunyai 10,000 ahli yang mana 99 peratus merupakan kakitangan kerajaan.
Sementara itu, tambah Mohamed Farid, langkah kedua bagi mengatasi gulung tikar adalah melalui modal kerja yang tinggi dan mencukupi bagi memastikan aktiviti perniagaan sesebuah koperasi berjalan lancar.
Katanya, semua koperasi perlu memegang prinsip berjimat-cermat, pinjam-meminjam dan simpan-menyimpan dalam aktiviti perniagaan masing-masing bagi memastikan kelancaran aktiviti perniagaan.
Menurut beliau, pada waktu ini, kebanyakan koperasi mempunyai modal kerja yang kecil sehingga menyebabkan mereka sukar untuk tumbuh dan berkembang.
"Modal kerja yang kecil akan mengambil masa yang panjang untuk berkembang dan ia dijana oleh modal yang disumbang oleh ahli-ahli,'' ujarnya.
Langkah terakhir, jelas beliau adalah kerajaan perlu meningkatkan jumlah bantuan tabung pusingan modal atau pembiayaan kewangan koperasi.
Katanya, kira-kira 7,000 koperasi di negara ini memerlukan suntikan kewangan daripada kerajaan seperti mana yang dilakukan untuk pengusaha kecil dan sederhana.
"Melalui pengalaman terhad kami dengan kerajaan, kerajaan memang mempunyai tabung pembiayaan modal pusingan untuk koperasi, tetapi jumlah pembiayaan dalam tabung itu terlalu kecil bagi menampung kira-kira 7,000 koperasi di seluruh negara.
"Ini menyebabkan tidak semua koperasi akan menerima pembiayaan tersebut selain koperasi-koperasi kecil tidak berdaya saing,'' katanya.
Tambah Mohamed Farid, kaedah permohonan bagi mendapatkan pembiayaan juga rumit menyebabkan banyak koperasi kecil tidak mampu membuat permohonan.
No comments:
Post a Comment