TANJONG Plc menjadi syarikat senaraian awam ketiga yang bakal dijadikan syarikat persendirian oleh tokoh perniagaan terkemuka, T Ananda Krishnan tahun ini selepas Measat Global Bhd dan Astro All Asia Networks Plc.
Semalam, Ananda menerusi Tanjong Capital Sdn Bhd (TCSB), syarikat tujuan khas dimilikinya bersama beberapa pihak lain, mengemukakan tawaran bernilai RM4.7 bilion untuk membeli 53.04 peratus baki saham yang tidak dimilikinya dalam syarikat tenaga dan perjudian itu pada harga RM21.80 sesaham.
Harga tawaran itu adalah 21.92 peratus atau RM3.92 lebih tinggi daripada harga saham Tanjong pada RM17.88 seunit ketika ia digantung urus niaga pada Rabu lalu. Tawaran pengambilalihan itu jika berjaya bakal menjadi urus niaga korporat terbesar di negara ini tahun ini dengan menilaikan Tanjong pada RM8.8 bilion, berbanding hanya RM7.09 bilion sebelum urus niaga sahamnya digantung.
CIMB Bank Bhd yang bertindak sebagai pengatur urus niaga itu menyifatkan tawaran yang dikemukakan TCSB itu amat menarik memandangkan premium yang ditawarkan adalah tinggi berbanding harga penutup saham Tanjong sebelum ini.
Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak berkata, pemegang saham Tanjong mempunyai tempoh 21 hari bermula semalam untuk menerima tawaran berkenaan.
“Tawaran TCSB ini menyediakan peluang kepada pemegang saham minoriti Tanjong untuk menjual saham masing-masing dengan meraih keuntungan yang menarik selain menjamin kepentingan mereka tidak terdedah kepada risiko dalam fasa pertumbuhan seterusnya syarikat itu nanti,” katanya pada sidang media mengumumkan tawaran pengambilalihan itu di Kuala Lumpur semalam.
Nazir menegaskan, tawaran itu dibuat ketika ini bagi mengambil peluang daripada kematangan standard tadbir urus dalam pasaran semasa tempatan.
“Sekarang masa sesuai melaksanakan urus niaga ini kerana situasi pasaran amat sesuai sejajar peningkatan standard tadbir urus di pasaran tempatan yang semakin telus dalam sebarang aktiviti berkaitan pengambilalihan,” katanya sambil menambah ia juga dilaksanakan untuk meningkatkan lagi operasi perniagaan Tanjong.
Sementara itu, TCSB dalam kenyataannya mengenai kewajaran tawaran itu berkata, harga saham Tanjong ketika ini diniagakan lebih rendah daripada nilai sebenarnya, sekali gus menghalang syarikat itu berkembang menjadi peserta global dalam industri tenaga.
“Tambahan lagi, pelabur institusi tempatan dan dana berlandaskan Syariah ketika ini tidak boleh membuat pelaburan dalam perniagaan tenaga Tanjong memandangkan ia turut memiliki perniagaan perjudian.
“Justeru, menerusi syarikat persendirian, ia akan membolehkan Tanjong meraih modal jangka panjang daripada penyedia kewangan,” katanya.
Mengenai kemungkinan langkah tawaran pengambilalihan itu akan turut menyaksikan pemisahan perniagaan berkaitan tenaga dengan perjudian Tanjong, Nazir berkata, Lembaga Pengarah Tanjong akan memutuskan opsyen itu tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment