Wednesday, September 1, 2010

SPNB PERKENAL BELI RUMAH TANPA DEPOSIT


Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) akan memperkenalkan skim pembelian rumah tanpa bayaran pendahuluan sebelum akhir tahun ini dalam usaha merangsang lagi jualan rumah mampu milik yang dibinanya.

Pengerusinya, Datuk Ir. Idris Haron berkata, cadangan itu perlu memandangkan soal bayaran pendahuluan merupakan penghalang utama pemilikan rumah sendiri, khususnya di kalangan golongan muda dan pasangan yang baru kahwin.

Beliau berkata, ia juga sejajar dengan misi utama SPNB yang kini menggandakan usaha menjual 15,000 buah rumah mampu milik yang telah siap dibina di seluruh negara.

''Setakat ini, kami sedang mengenal pasti beberapa institusi kewangan yang bersetuju untuk menyediakan pakej pembelian sedemikian.

''Bagaimanapun, ia tidak seperti pakej pinjaman perumahan 100 peratus sedia ada," katanya.

SPNB ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 sebagai sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (Mof Inc.) yang bertujuan menyediakan rumah mampu milik berkualiti kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan Objektif Perumahan Negara.

Sehubungan itu, Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, cadangan tersebut akan dibentangkan kepada Lembaga Pengarah SPNB bagi mendapatkan kelulusan tidak lama lagi.

''Sudah sampai masanya, syarikat perumahan seperti kami menyediakan kemudahan yang membolehkan lebih ramai rakyat negara ini memiliki rumah sendiri," katanya.

Ditanya mengenai 15,000 unit rumah mampu milik yang belum terjual sehingga kini, beliau berkata, rumah yang berharga antara RM40,000 hingga RM99,000 itu berasaskan konsep bina dulu, jual kemudian.

''Kami menyahut seruan kerajaan yang mahu syarikat perumahan mengamalkan konsep bina dulu, jual kemudian bagi mengelakkan rumah tidak siap tetapi pembeli terpaksa terus membayar pinjaman perumahan.

''Sebab itulah, kami kini mempertingkatkan usaha promosi di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai di seluruh negara," katanya.

No comments:

Post a Comment