Monday, February 28, 2011
MAS: Boleh tempah tiket guna facebook
Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) telah mengukuhkan penciptaan inovasi media sosialnya dengan melancarkan MHbuddy, sebuah laman rangkaian sosial para penumpang dalam Facebook.
Aplikasi tersebut boleh digunakan pada laman Facebook MAS yang membenarkan 500 juta pengguna pada satu-satu masa untuk menggunakan laman itu untuk menempah dan daftar masuk penerbangan.
Malah, para penumpang boleh berkongsi maklumat perjalanan dengan rakan-rakan melalui rangkaian sosial tersebut.
Naib Presiden Eksekutif Strategi Komersial MAS, Dr. Amin Khan berkata, para pelanggannya telah memperuntukkan masa lebih kepada rangkaian sosial masing-masing dan MAS merupakan salah satu syarikat penerbangan aktif menggunakan media sosial untuk meningkatkan pertumbuhan.
''Kami mempunyai lebih 380,000 penyokong yang aktif dengan saluran baru sosial media MAS itu,'' kata Amin.
Pengenalan MHbuddy benar-benar meletakkan kaedah tempahan penerbangan dengan cara baru.
Menurut Amin, selain membuka saluran baru untuk penjualan tiket, sekarang, para pelanggan turut berpeluang menikmati keselesaan yang menakjubkan melalui Facebook.
''Pada masa yang sama, mereka boleh berhubung dengan rakan-rakan melalui Facebook,'' ujarnya.
Beliau menyedari terdapat beberapa syarikat penerbangan yang sudah menjual tiket melalui Facebook.
Namun, katanya, tidak ada satu daripadanya membenarkan para pelanggan menyepadukan perjalanan masing-masing dengan graf sosial Facebook.
''Tidak ada satu membenarkan para pelanggan untuk daftar masuk melalui Facebook.
"Melalui MHbuddy, para pelanggan yang menempah tiket penerbangan akan diingatkan tentang destinasi terkini rakan-rakan yang menggunakan laman sosial tersebut,'' ujarnya.
Untung bersih Maxis tertinggi
Maxis Bhd.(Maxis) mencatatkan keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM610 juta dalam suku keempat berakhir pada 31 Disember 2010, meningkat 1.5 peratus daripada RM601 juta pada suku sebelumnya.
Perolehan Maxis pada suku keempat adalah berjumlah RM2.3 bilion berbanding 2.2 bilion pada suku sebelumnya.
Bagi sepanjang tahun lalu, Maxis telah mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM2.3 bilion, bertambah 2.8 peratus daripada RM2.2 bilion pada tahun sebelumnya.
Keputusan kewangan tahun 2010 tidak dapat dibandingkan dengan keputusan kewangan 2009 berikutan terdapat berlakunya perubahan struktur operasi dan pelaksanaan sistem perakaunan baharu Maxis yang siap sepenuhnya pada 1 Oktober 2009.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Sandip Das berkata, pertumbuhan prestasi suku keempat itu didokong oleh peningkatan langganan baharu sebanyak 1.66 juta pada tahun lalu.
Malah, katanya, Maxis mendapati segmen bukan suara amat kukuh dan prestasi jalur lebar juga mantap pada tahun lalu.
"Pertumbuhan langganan yang memberangsangkan sebanyak 429,000 pada tahun lalu membawa jumlah langganan Maxis untuk prabayar, pasca bayar dan jalur lebar melepasi 13.9 juta pada suku keempat.
"Sebanyak 363,000 langganan baharu Maxis adalah pelanggan pra bayar dan 66,000 lagi pula pasca bayar," kata beliau dalam sidang akhbar untuk mengumumkan prestasi kewangan Maxis di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Maxis, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda, Ketua Pegawai Operasi, Jean Pascal Overbeke dan Ketua Pegawai Kewangannya, Rossana Rashidi.
Lembaga Pengarah Maxis telah mengisytiharkan dividen interim dikecualikan cukai sebanyak lapan sen setiap saham biasa yang bakal dibayar pada 30 Mac 2011.
Mengulas prestasi Maxis pada sepanjang tahun lalu, hasil bukan suara kekal memacu strategi pertumbuhan Maxis dengan sumbangan sebanyak 41.5 peratus. Ia adalah berikutan peningkatan perkhidmatan data maju (ADS), khidmat pesanan ringkas (SMS) dan perniagaan jalur lebar.
Das berkata, pencapaian 2010 begitu memuaskan Maxis dengan pelaksanaan strategi transformasi menjadikannya sebuah syarikat mudah alih kepada peneraju pembekal perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia berpotensi menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada pelanggan.
Katanya, pihaknya menyasarkan pertumbuhan digit tunggal untuk perolehan syarikat sepanjang tahun ini dan juga langganan.
Sunday, February 27, 2011
ASM rancang lancar 2 dana pelaburan tahun ini
ASM Investment Services Bhd. (ASM Investment) merancang melancarkan dua dana pelaburan pada separuh kedua tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Mohamed Zaki Nik Yusoff berkata, dua dana tersebut, iaitu dana pelaburan korporat dan dana pelaburan luar negara, masih dalam peringkat kajian.
"Dengan adanya dua dana tersebut, kita menjangka dapat menarik pelaburan berjumlah RM150 juta pada tahun ini berbanding hanya RM40 juta tahun lalu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Penghargaan Pelabur di Pejabat ASM Investment Wilayah Johor di Taman Molek, di sini baru-baru ini.
Turut hadir adalah Ketua ASM Investment Zon Selatan, Yaacob Mahmud dan Pengurus ASM Investment Wilayah Johor, Norsyah Nizam A. Aziz.
ASM Investment merupakan syarikat milik penuh Amanah Saham Mara Bhd. (ASMB) yang merupakan pelopor dalam pembangunan industri saham amanah tempatan.
Nik Mohamed Zaki berkata, pihaknya optimis untuk menubuhkan dana pelaburan di luar negara yang mana potensi pelaburannya besar lebih besar.
Katanya, sebagai permulaan, pihaknya lebih cenderung untuk melakukannya di negara-negara Asia seperti Indonesia dan Thailand sebelum ia diperluaskan ke Eropah.
Sehingga kini, ASM Investment mempunyai seramai 75,000 pelanggan di seluruh negara.
Pada majlis sama, pihaknya turut menyampaikan pampasan takaful kepada dua waris pelabur sebanyak RM75,578 dan membayar zakat serta tazkiah kepada Persatuan Kebajikan Darul Hanan berjumlah RM10,000.
MacroKiosk ke Timur Tengah
Selepas 11 tahun beroperasi dan berada di 11 negara, Macro Kiosk Bhd. (MacroKiosk) merancang melebarkan sayapnya ke Timur Tengah pada suku pertama tahun ini.
MacroKiosk merupakan pemudah teknologi pesanan mudah alih pelbagai negara terutama untuk perkhidmatan mudah alih dan penyelesaian telekomunikasi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kenny Goh berkata, syarikat akan menjadikan Dubai sebagai 'pintu masuk' ke negara-negara Timur Tengah sebelum berkembang ke negara-negara lain.
''Pemilihannya dibuat berdasarkan hubungan yang baik antara Malaysia dan Dubai, ia memudahkan usaha pengembangan perniagaan di sana.
''Selepas Dubai, kami akan bergerak ke Abu Dhabi dan Qatar kemudian ke negara-negara sekitar. Di setiap negara yang kami terokai MacroKiosk akan membuka pejabat untuk memudahkan setiap urusan penawaran perkhidmatan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.
Ketika ini, MacroKiosk beroperasi di 11 negara iaitu Brunei, China, Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand, Vietnam dan yang terbaru Macau.
Sasaran awal mereka adalah mempunyai kehadiran di lebih 10 negara dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan tiga pasaran baru setiap tahun.
Goh berkata, walaupun syarikat akan melebarkan sayapnya ke luar negara, tetapi tumpuan masih diberikan kepada pasaran tempatan.
''Malaysia merupakan permulaan bagi kami, oleh itu ia tidak akan dilupakan. Pada tahun ini, MacroKiosk akan memperkenalkan lebih banyak aplikasi mudah alih bagi menarik minat pelanggan-pelanggan baru.
''Dengan kewujudan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) oleh kerajaan sedikit sebanyak akan membantu kami untuk terus berkembang terutama bagi perkhidmatan mudah alih,'' jelasnya.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan MacroKiosk adalah perkhidmatan enterpris mudah alih (MES), perkhidmatan interaktif mudah alih (MIS), perkhidmatan pengesahan mudah alih (MAS), perkhidmatan kewangan mudah alih (MFS) dan perkhidmatan penerbangan mudah alih.
Manakala antara industri tumpuan adalah pengiklanan, pemasaran, penerbangan, perbankan, pendidikan dan logistik.
Sementara itu, MacroKiosk baru-baru ini telah mendapat pensijilan ISO27001:2005 yang merupakan syarikat pertama dalam industri tempatan yang menerima sijil tersebut.
Sijil tersebut telah dianugerahkan oleh TUV Rheinland Malaysia yang merupakan badan pensijilan untuk teknikal, keselamatan perkhidmatan pensijilan.
Goh berkata, MacroKiosk merupakan pendahulu dan peneraju yang terus bergerak dan meletakkan penanda aras baru dalam usaha untuk memberikan kualiti dan keselamatan terbaik kepada pelanggan.
''Sebab utama mengapa MacroKiosk memilih untuk menjadi ISO27001:2005 iaitu sebagai komitmen kepada integriti data.
''Kami ingin pelanggan, pelabur dan rakan niaga mengetahui bahawa penekanan terhadap sekuriti atau keselamatan adalah diutamakan,'' katanya.
Sebagai syarikat yang mempunyai ISO27001:2005, MacroKiosk perlu mempunyai langkah melindungi maklumat sulit, integriti dan maklumat mudah alih dari sebarang ancaman sama ada bersifat dalaman atau luaran.
Syarikat telah memperuntukkan sebanyak RM820,000 bagi mendapatkan sijil itu dengan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan termasuk mempunyai kawalan sistem kamera litar tertutup (CCTV), mempunyai sistem sokongan, mengetatkan peraturan rangkaian dan mempunyai pelan perniagaan berterusan.
Ketika ditanya mengenai krisis ekonomi lalu memberi kesan kepada perniagaannya, Kenny berkata, ia telah memberi kesan kepada semua industri.
Namun, katanya, MacroKiosk masih mampu 'bernafas' memandangkan perkhidmatan dan teknologi yang disediakan kepada pasaran memberi tambah nilai kepada pelanggan.
Mutiara Motors sasar 120 Lexus
Mutiara Motors Sdn. Bhd. (Mutiara Motors) menyasarkan penjualan 120 buah kereta mewah Lexus pada tahun ini.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Ahmad Kemin berkata, sasaran itu mampu dicapai berikutan permintaan kukuh yang diterima selepas Pusat Pameran dan Jualan Lexus syarikat itu dibuka sejak 17 Januari lalu.
“Sambutan pelanggan ke atas jenama Lexus itu begitu menggalakkan kerana kami sudah berjaya menjual 15 buah kenderaan setakat ini.
“Justeru, syarikat mensasarkan dapat menjual 10 kenderaan setiap bulan. Kejayaan ini membuktikan kenderaan jenama Lexus mampu dimiliki golongan masyarakat walaupun ia dikategorikan sebagai segmen kereta mewah,” katanya di sini, baru-baru ini.
Mutiara Motors melalui anak syarikat Mutiara Motorsports kini menjadi pengedar utama kereta mewah Lexus pertama di Johor iaitu pengedar ketiga selepas di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Terdapat enam buah model kereta keluaran Lexus seperti LS460, GS300, RX270, RX350, IS250 dan IS250L di Pusat Pameran dan Jualan itu yang dibina dengan kos RM5 juta.
Sebelum ini, Mutiara Motors dikenali sebagai ‘King of Wish’ di Johor kerana keupayaannya menjual kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Wish sebanyak 60 peratus daripada 100 buah kenderaan yang dijual setiap bulan.
Ahmad berkata, harga jualan di atas jalan kenderaan Lexus itu bermula antara RM170,000 hingga RM1 juta mengikut model dan komponen pilihan.
Menurutnya, usaha Mutiara Motors mengedar Lexus ke negara ini sebagai langkah untuk menambah nilai perkhidmatan jualan kepada orang ramai.
Selain itu jelasnya, ia juga merupakan strategi jangka panjang untuk membina jenama syarikat dalam usaha mendapat kepercayaan tinggi dalam industri kereta import.
“Objektif utama mengedar kenderaan jenama mewah buatan Jepun itu adalah untuk memberi pilihan kepada pelanggan di pasaran mewah tempatan dan bukannya untuk bersaing dengan mana-mana pihak,” katanya.
Ditanya perkembangan terkini memasarkan kereta sports terbaharu buatan Jerman, Artega, Ahmad berkata, kereta itu dijangka tiba pada pertengahan Mac ini.
“Artega akan dibawa masuk dengan ciri pemanduan sebelah kiri dan ia akan diubah kepada sebelah kanan selepas mendapat tempahan pelanggan.
Saturday, February 26, 2011
Laba bersih RM391.4j
NESTLE Malaysia Berhad (Nestle) mencatatkan perolehan lebih tinggi sebanyak RM4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010, peningkatan 7.5 peratus berbanding tempoh kewangan sama tahun sebelumnya sekali gus menggambarkan perkembangan positif dalam ekonomi tempatan dan antarabangsa.
Pengarah Urusan Nestle, Peter R Vogt (gambar), dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur berkata, keuntungan selepas cukai dicatatkan syarikat meningkat 11.3 peratus kepada RM391.4 juta manakala keuntungan sebelum cukai sebanyak RM465.7 juta, meningkat sebanyak 5.8 peratus.
“Pemulihan ekonomi utama dunia serta prestasi kukuh ekonomi Malaysia memberi laluan kepada prestasi memberangsangkan kepada syarikat menerusi kategori produk domestik tahun lalu.
“Ia seterusnya disokong perniagaan eksport di mana keupayaan pengeluaran kami dipertingkatkan untuk kopi mudah larut dan krimer kopi yang menyumbang secara positif kepada pertumbuhan dua angka serta memanfaatkan permintaan kukuh dari luar negara,” katanya.
Menurutnya, kategori produk domestik juga terus menunjukkan prestasi yang baik terutama minuman cecair dan tenusu dingin Nestle yang merekodkan pertumbuhan dua angka. “Malah, keputusan strategik kumpulan untuk melabur dalam kapasiti pengeluaran dalam tempoh tiga tahun ini juga memberikan impak positif. “Dengan pelaburan itu, mesin pengilangan baru untuk kopi dan krimer kopi membolehkan perniagaan eksport berkembang dan memperkukuhkan permintaan di luar negara khususnya ke Asia Tenggara,” katanya.
Vogt berkata, walaupun kumpulan berdepan dengan krisis kenaikan harga bahan mentah, namun inisiatif yang diambil ternyata memberi kelebihan kepada kos operasi secara keseluruhan.
“Pada tahun lalu, harga purata untuk serbuk koko meningkat sekali ganda berbanding tahun sebelumnya manakala serbuk susu skim naik sebanyak 20 peratus.
“Inisiatif kumpulan termasuk Kecemerlangan Berterusan Nestle (NCE) dengan tumpuan kepada pembaziran sifar dan penyelarasan operasi serta nilai mata wang yang kukuh memberi kelegaan selepas peningkatan mendadak harga bahan mentah utama,” katanya.
Menurutnya, bagi tahun ini, kumpulan akan terus memantau perubahan harga komoditi dan menilai serta menyelaraskan polisi harga mengikut kesesuaian.
UMW mencatatkan perolehan RM12.84 bilion
KUMPULAN UMW mencatatkan perolehan RM12.84 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010 meningkat 19.8 peratus berbanding tempoh kewangan sama tahun sebelumnya.
UMW dalam satu kenyataan berkata, pemulihan ekonomi negara dan peningkatan keyakinan pelanggan menjadi antara penyumbang utama prestasi cemerlang kumpulan itu.
“Pencapaian dicatatkan tahun lalu antara lain adalah sumbangan daripada produk dan perkhidmatan bagi segmen automotif, peralatan serta penghasilan dan kejuruteraan.
“Namun, permintaan terhadap produk berasaskan minyak dan gas di bawah kendalian kumpulan masih terjejas berikutan pemulihan yang agak lewat,” katanya.
Menurut kenyataan itu, keuntungan sebelum cukai kumpulan meningkat 55 peratus kepada RM1.312 bilion berbanding RM846.5 juta yang dijana pada tahun sebelumnya.
“Perolehan dicatatkan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya hasil sumbangan tiga perniagaan utama kumpulan serta hasil kesan langsung daripada kadar tukaran mata wang asing,” katanya.
Bank Islam raih RM503.4j
BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat RM503.4 juta bagi tempoh 18 bulan yang berakhir 31 Disember 2010, meningkat 44 peratus daripada RM233.1 juta yang dicatatkan pada Jun 2009.
Pengarah Urusannya, Datuk Seri Zukri Samat (gambar), berkata ia pencapaian tahun kewangannya yang pertama mencecah lebih RM500 juta yang disumbangkan peningkatan kualiti aset, pendapatan bukan pembiayaan, pengurangan nisbah kos dengan pendapatan serta penambahan deposit melalui akaun semasa dan simpanan (Casa).
“Berikutan pencapaian itu, lembaga pengarah mencadangkan pemberian dividen 4.75 peratus yang membabitkan kira-kira RM81 juta,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata, deposit pelanggan Bank Islam meningkat 6.7 peratus atau RM1.7 bilion kepada RM26.9 bilion berbanding RM25.2 bilion yang dicatatkan pada Jun 2009.
“Peningkatan itu dipercayai hasil promosi akaun Al-Awfar yang menawarkan hadiah utama bulanan bernilai RM100,000 dan RM200,000 yang diadakan empat kali setahun.
“Deposit melalui Al-Awfar saja menyaksikan peningkatan mendadak apabila jumlahnya menghampiri RM500 juta,” katanya.
Pendapatan bukan pembiayaan bank itu juga menokok 19.6 peratus kepada RM235 juta bagi tempoh sama.
Menurutnya, pulangan ekuiti (ROE) bank itu kekal pada paras 16.5 peratus walaupun terdapat peningkatan ekuiti melalui suntikan modal RM540 juta dalam Saham Keutamaan Boleh Ditebus Tidak Terkumpul Islam (ICRNCPS) sehingga Disember tahun lalu.
Thursday, February 24, 2011
Sime Darby untung RM 1.53 bilion
Sime Darby Bhd. (Sime Darby) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.53 bilion pada separuh pertama berakhir 31 Disember 2010, peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi baik itu disumbang menerusi lima sektor perniagaannya iaitu perladangan, hartanah, permotoran, perindustrian serta tenaga dan utiliti.
Bagaimanapun, sektor minyak dan gas serta kejuruteraan mencatatkan kerugian sebanyak RM24 juta disebabkan oleh peningkatan kos operasi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Bakke Salleh berkata, sektor perladangan mencatatkan peningkatan keuntungan sederhana berikutan musim tengkujuh yang terlalu panjang di beberapa negeri di Malaysia dan Indonesia.
Katanya, sektor itu mencatatkan keuntungan operasi sebanyak RM1.3 bilion pada separuh pertama iaitu peningkatan sebanyak lima peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2009.
Keuntungan dalam sektor perladangan didorong oleh peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) pada musim tengkujuh iaitu sekitar RM2,692 setan metrik berbanding RM2,222 setan metrik dalam tempoh yang sama tahun lalu.
“Walaupun sektor perladangan merupakan penyumbang utama atau teras utama keuntungan Kumpulan, namun prestasi bagi separuh pertama kurang memberangsangkan berikutan musim tengkujuh yang terlalu panjang,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman prestasi kewangan separuh pertama Sime Darby yang berakhir 31 Disember 2010.
Perolehan Sime Darby bagi separuh pertama adalah sebanyak RM19.06 bilion iaitu peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding RM16.16 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pendapatan sesaham Kumpulan pula naik kepada 25.5 sen sesaham berbanding 18.5 sen sesaham.
Sektor perindustrian mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak 20.9 peratus berikutan prestasi kukuh dagangan Malaysia dan China serta peningkatan permintaan dalam industri binaan dan infrastruktur.
Sektor permotoran turut menunjukkan prestasi yang baik dengan peningkatan keuntungan sebanyak 82.2 peratus yang didorong oleh pertumbuhan jualan kenderaan BMW di China, Hong Kong dan Macau.
Kenderaan Hyundai turut menunjukkan penjualan yang memberangsangkan di Malaysia.
Sektor tenaga dan utiliti pula mencatatkan keuntungan sebanyak RM72.8 juta, peningkatan sebanyak 166.4 peratus berbanding kerugian yang dialami sebanyak RM109.6 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Tambah Mohd. Bakke, Sime Darby menyasarkan untuk mencapai keuntungan bersih sebanyak RM2.5 bilion yang memperlihatkan kebangkitan semula sektor perladangan dan dibantu oleh sektor-sektor lain pada suku keempat tahun kewangan semasa.
Katanya, prestasi sepanjang tahun kewangan ini dijangka didokong oleh peningkatan harga MSM yang stabil dan konsisten.
“Kami meramalkan selepas April tahun ini, harga MSM terus meningkat dan mencecah sehingga RM3,000 setan metrik dan ia membantu peningkatan Kumpulan sepanjang tahun,’’ ujarnya.
Mohd. Bakke turut menjangkakan berlaku penyusutan prestasi perolehan dan keuntungan pada suku ketiga berikutan impak daripada musim tengkujuh yang panjang sejak Januari tahun ini.
Keuntungan Air Asia melebihi RM1 bilion
AirAsia Bhd. mencatat keuntungan bersih tertinggi sepanjang penubuhannya sebanyak RM1.07 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Tony Fernandes yang gembira dengan keputusan itu menganggap ia adalah satu pencapaian yang sangat luar biasa.
"Kami sangat gembira, bukan sahaja kerana AirAsia mencatat keuntungan malah kami juga memecah rekod keuntungan melebihi RM1 bilion," katanya di dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau kekukuhan aliran tunai kumpulan iaitu RM1.5 bilion mengurangkan kadar gearan (nisbah hutang kepada ekuiti) kepada 1.75 kali berbanding 2.57 kali setahun lalu.
"Syarikat berada di posisi terbaik terutamanya dari segi kewangan yang mampu menyediakan asas kukuh kepada perluasan dan pertumbuhan pada 2011," tambah Fernandes.
Prestasi cemerlang sepanjang tahun disokong oleh keputusan kewangan kukuh pada suku keempat yang mana ia telah mencipta rekod-rekod baharu kepada kumpulan.
Antaranya, perolehan RM1.19 bilion pada suku tersebut, keuntungan bersih RM316.55 juta, faktor muatan yang meningkat kepada 82 peratus berbanding 79 peratus utnuk tempoh yang sama tahun lalu.
Selain itu, menurut Fernandes, sumbangan pendapatan sampingan juga meningkat, sejajar dengan pertumbuhan penumpang.
"Masih banyak lagi potensi di dalam pendapatan sampingan dan kami sentiasa mencari peluang untuk menambahnya," ujar beliau lagi.
Fernandes turut mengunjurkan prestasi tahun ini akan lebih baik berbanding sebelumnya.
"Kami yakin dengan prestasi syarikat terutama dengan pelan perluasan rangkaian laluan dan laluan utama disokong oleh penerimaan lapan pesawat Airbus, A320 dan pembukaan tiga hab di Kuching, Chiang Mai dan Medan, " katanya.
Bank Rakyat dividen 15%
Buat tahun ke-12, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.
Dividen itu membabitkan pembayaran sejumlah RM294.9 juta yang akan mula dibayar kepada anggotanya mulai esok.
Menteri Perdagangan Dalam Negari, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agihan dividen yang konsisten oleh bank itu hasil keuntungan sebelum cukai dan zakat Bank Rakyat sebanyak RM1.72 bilion.
Ia merupakan kenaikan sebanyak 10.8 peratus atau RM167.1 juta berbanding RM1.55 bilion pada 2009.
Pertambahan keuntungan itu dipacu oleh pertumbuhan pembiayaan terutama pembiayaan peribadi dan pendapatan berasaskan yuran serta kenaikan deposit.
''Bank Rakyat turut merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM1.34 bilion berbanding RM1.13 bilion pada tahun sebelumnya,'' katanya pada sidang akhbar bagi pengumuman prestasi Bank Rakyat di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, bank itu masih mengekalkan pemberian dividen sebanyak 15 peratus meskipun keuntungan meningkat.
''Kita akan membawa keuntungan yang diperoleh untuk menjana pendapatan pada masa depan,'' tambah beliau.
Kamaruzaman berkata, untuk tahun ini, bank itu mengunjurkan peningkatan pendapatan meningkat sebanyak 10 peratus, lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Beliau menyifatkan pertumbuhan 10 peratus itu adalah kadar yang selesa bagi Bank Rakyat selepas mengalami pertumbuhan besar pada 2010.
''Unjuran yang dibuat itu adalah normal, tanpa ada sebarang ekstra dan kita jangkakan prestasi masih kekal kukuh sekiranya kadar faedah stabil,'' ujarnya.
Beliau berkata, pada tahun ini Bank Rakyat berhasrat untuk menambah lapan lagi cawangan sedia ada yang berjumlah 127 buah dengan membabitkan pelaburan sebanyak RM1 juta setiap sebuah.
Bank Rakyat juga merekodkan kenaikan pendapatan kasar sebanyak 24.3 peratus kepada RM4.70 bilion manakala pendapatan bersih selepas agihan keuntungan kepada pendeposit sebanyak RM3.05 bilion berbanding RM2.61 bilion tahun sebelumnya.
Pendapatan sumber pembiaya melonjak kepada RM4.04 bilion, yang mana 92 peratus atau RM3.71 bilion disumbangkan oleh perbankan pelanggan dan bakinya sejumlah RM323.9 juta melalui perbankan komersial.
Pendapatan berasaskan yuran juga bertambah sebanyak RM92.3 juta.
Jumlah aset meningkat sebanyak 22.3 peratus atau RM11.27 bilion kepada RM61.91 bilion berbanding RM50.64 bilion pada tempoh sebelumnya.
Jumlah deposit Bank Rakyat naik kepada RM52.49 bilion bagi tahun lalu dan kedudukan kecairan kekal kukuh pada kadar 27.3 peratus berbanding 25.2 pada 2009.
Dana pemegang saham Bank Rakyat juga meningkat kepada RM5.95 juta dengan bilangan anggota seramai 758,356 orang.
NAZA tubuh kolej automotif
Kumpulan Naza (Naza) dan HELP International Corporation Bhd. (HELP) merancang menubuhkan kolej automotif bagi melahirkan tenaga kerja dalam sektor automotif di negara ini dan rantau Asia Tenggara.
Kolej tersebut akan menawarkan pelbagai kursus kejuruteraan automotif seperti reka bentuk kereta, enjin, teknologi hijau serta pengurusan perniagaan dan pemasaran.
Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, kolej tersebut akan dibina di tiga lokasi iaitu Kuala Lumpur, Gurun (Kedah) dan di Iskandar Malaysia, Johor.
Menurutnya, penubuhan kolej itu dapat meningkatkan bilangan tenaga mahir sektor automotif di negara ini dan siswazah kolej berkenaan boleh bekerja dengan Naza.
"Bagaimanapun siswazah tersebut tidak terikat dengan Naza dan bebas mencari pekerjaan sendiri," katanya pada majlis menandatangani kerjasama antara kedua-dua pihak di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengasas dan Presiden HELP, Datuk Dr. Paul Chan; Pengarah Perancangan Korporat HELP, Adam Chan; Pengarah Perancangan Strategik dan Hubungan Korporat HELP, Lim Hock Chye; Pengarah Urusan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin dan Penolong Pengurus Besar Kewangan Korporat Naza, Ahmed Fairuz.
Katanya, keduia-dua pihak akan melabur sebanyak RM25 juta untuk tempoh lima tahun bagi menaiktaraf beberapa kampus terutamanya di Johor yang belum disiapkan.
Kampus di Kuala Lumpur dan Gurun sedia untuk digunakan dan pengambilan pertama yang membabitkan 300 pelajar akan dilakukan pada suku tahun keempat 2011.
ETCM catat pertumbuhan optimis
Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM), pengedar dan pemasang tunggal kenderaan Nissan di Malaysia, optimis tentang prospek pertumbuhan dengan pelaksanaan rancangan perniagaan jangka panjangnya.
"Di sebalik persaingan sengit di pasaran, kami telah berjaya memenuhi jurang pada segmen D (segmen keluarga besar) dan mengembangkan kehadiran serantau kami, terutamanya di pasaran baru muncul.
"Kami berada pada kedudukan yang selesa tahun ini," kata Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr Ang Bon Beng kepada Bernama.
Beliau berkata, 2010 adalah tahun yang baik bagi syarikat itu, dengan catatan RM3.5 bilion dalam perolehan dan RM322.7 juta untuk keuntungan sebelum cukai dengan segmen perniagaan Nissan sebagai penjana utama.
Beliau berkata, jualan pada separuh kedua 2010 adalah lebih lemah daripada enam bulan pertama, menunjukkan kerumitan untuk berubah dari gabungan jualan kenderaan komersial yang lebih tinggi kepada model penumpang yang kukuh.
"Prestasi keseluruhan kami menunjukkan pendekatan berdisiplin kami untuk melaksanakan pelan perniagaan jangka panjang walaupun ketika jumlah dagangan keseluruhan industri meningkat," Bon Beng.
Beliau berkata, 2011 akan menjadi tahun yang cemerlang dengan pengenalan model baharu bagi ETCM, berikutan pasaran yang lebih rancak.
"Berdasarkan tempahan tertunggak pada suku keempat 2010 dan trafik bilik pameran yang tinggi, ETCM terus berada pada kedudukan selesa untuk mengambil peluang daripada kedua-dua trend ekonomi tempatan dan serantau," katanya.
Beliau berkata, Vietnam, Kemboja dan Laos, ketiga-tiga negara itu akan menyumbang kurang daripada 10 peratus kepada volum syarikat pada 2011.
"Kami berharap mendapat keuntungan yang lebih tinggi menjelang akhir tahun dan meningkatkan jumlah dagangan sebaik sahaja kilang kami di Danang siap dibina pada 2012," katanya.
Mengenai model ETCM yang paling laris, Bon Beng berkata pada akhir tahun lepas, Grand Livina dan Sylphy adalah model yang paling banyak terjual, mewakili separuh daripada semua kereta Nissan yang terjual di negara ini.
Tetapi pada Januari 2011, Nissan Teana baharu menguasai 28 peratus pasaran dan kini, walaupun selepas Tahun Baru Cina, ia masih mencatatkan tempahan rekod setiap bulan, katanya.
Nissan Teana dilancarkan pada 23 November tahun lepas dan penjualan terbanyaknya direkodkan pada awal 2011.
Mengenai cabaran, Bon Beng berkata, terdapat banyak risiko yang tidak diambil kira.
"Malaysia adalah pasaran yang kecil dan terdapat risiko inflasi. Tetapi semua orang memberikan pandangan baik, dan apabila semua orang mempertahankan hujah yang sama, ia adalah senario yang sesuai untuk kejutan negatif.
"Kami bersedia untuk perubahan!" katanya.
Axiata mengumumkan dividen pertama 10 sen sesaham
Axiata Group Bhd. (Axiata) mengumumkan dividen pertamanya sebanyak 10 sen sesaham (satu peringkat) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim berkata, pengurusan modal yang cekap membolehkan Kumpulan mencatat aliran tunai bebas positif pada tahun lepas serta kunci kira-kira kukuh membolehkan kumpulan menawarkan gabungan pertumbuhan dan juga dividen.
''Pembayaran (dividen) sebanyak 32 peratus melebihi sasaran awal sebanyak 30 peratus.
''Dividen ini berdasarkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) normal Kumpulan adalah tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan (AGM) nanti,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat media mengenai prestasi kewangan Kumpulan berakhir 31 Disember 2010, di sini hari ini.
Kedudukan tunai akhir tahun Kumpulan meningkat sebanyak 3.1 kali dan mencecah RM6.3 bilion.
Manakala nisbah hutang kasar berbanding pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kini adalah 1.5 kali berbanding 2.3 kali setahun yang lalu.
Sementara itu, EBITDA Axiata melonjak sebanyak 30 peratus kepada RM7.1 bilion, PATAMI meningkat sebanyak tujuh peratus kepada RM1.8 bilion berikutan pelarasan perakaunan FRS 139.
Keuntungan sebelum cukainya meningkat kepada RM3.205 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 201 berbanding RM2.66 bilion sebelumnya.
Perolehan pula meningkat sebanyak 17.3 peratus kepada RM15.62 bilion berbanding RM13.31 bilion.
Jamaludin berkata, walaupun Kumpulan akan berhadapan persaingan sengit, ia menjangkakan prestasi kewangan lebih baik pada tahun ini dengan EBITDA kekal pada paras 45 peratus.
''Pada tahun lalu, pengurusan kos efektif telah berjaya menjimatkan lebih RM800 juta dan terdapat ruang untuk dibaiki bagi struktur kos.
''Penambahbaikan dapat dilihat bagi prestasi bagi XL (Indonesia), Celcom Axiata (Malaysia) dan Dialog (Sri Lanka) yang bertambah baik,'' jelasnya.
Asas pelanggan juga dijangka terus tumbuh dengan kukuh, terutama di pasaran pesat membangun seperti Bangladesh dan India, tambahnya.
Bergerak ke hadapan, Jamaludin berkata, data merupakan pemacu kepada pertumbuhan pada masa hadapan terutama di pasaran matang.
''Celcom dan XL telah menyaksikan sumbangan data kepada pertumbuhan perolehan berbanding setahun lalu dan akan terus tumbuh pada tahun 2011,'' katanya.
Kumpulan dijangka membelanjakan RM3.3 bilion bagi perbelanjaan modal (Capex) sebanyak RM3.3 bilion pada tahun ini.
Dari jumlah itu, RM1 bilion adalah untuk Celcom dan RM1.7 bilion bagi XL, selebihnya adalah kepada bahagian operasi yang lain.
PLUS dinyah senarai Bursa Malaysia
PLUS Expressways Bhd. (PLUS) dijangka dinyah senarai daripada Busra Malaysia akhir September ini apabila para pemegang sahamnya bersetuju untuk menjual kepentingan syarikat itu kepada konsortium Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan UEM Group Bhd. (UEM).
Pengerusi PLUS, Tan Sri Mohd. Sheriff Kassim berkata, urus niaga itu akan diselesaikan menjelang akhir September manakala pembayaran kepada pemegang saham akan dibuat mulai awal bulan berkenaan.
"Kami menerima persetujuan daripada pemegang saham untuk membenarkan pengambilan alih kepentingan PLUS oleh konsortium berkenaan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat itu di sini.
EGM yang berlangsung selama kira-kira lima jam itu menyaksikan 'drama' apabila segelintir pemegang saham minoriti bertindak keluar dewan kerana tidak bersetuju dengan proses pengundian.
Mereka juga dikatakan menuduh proses pengundian dijalankan secara tidak adil.
Bagaimanapun dakwaan itu disangkal oleh Mohd. Sheriff dan Pengarah Bebas Kanan Bukan Eksekutif, Tan Sri K. Ravindran yang mengatakan prosiding pengundian dijalankan secara telus dan disahkan oleh jawatankuasa undang-undang.
"Mereka menuduh Ravi (K. Ravindran) mengganggu prosiding pengundian tetapi apa yang berlaku sebenarnya terdapat pemegang saham yang mencadangkan proses pengundian dilakukan secara pembuangan undi dan bukannya mengangkat tangan.
"EGM ini adalah sah mengikut undang-undang," katanya.
Mesyuarat yang diadakan di Menara Korporat Persada PLUS milik syarikat pengendali lebuh raya terbesar Asia Tenggara itu menyaksikan 99 peratus pemegang saham yang layak mengundi dan hadir ke EGM tersebut bersetuju untuk menjual kepentingan syarikat itu kepada KWSP dan UEM.
Menurut Mohd. Sheriff, kira-kira 32 peratus pemegang saham minoriti layak mengundi hari ini namun hanya 21 peratus sahaja yang hadir.
Sembilan puluh sembilan peratus persetujuan itu mewakili 1.067 bilion saham manakala pemegang saham terbesar PLUS yang memiliki kira-kira 68 peratus kepentingan di dalam syarikat itu, Khazanah Nasional Bhd., UEM Group Bhd. dan KWSP tidak layak untuk mengundi.
KWSP dan UEM bercadang untuk mengambil alih kepentingan dan liabiliti PLUS pada harga tawaran RM4.60 atau RM23 bilion secara keseluruhan.
Pengambil alihan PLUS akan dikendalikan oleh satu entiti pelaburan khas, yang mana 51 peratus pegangan syarikat akan dimiliki oleh UEM sementara 49 peratus lagi dipegang oleh KWSP.
Dalam pada itu, Ravindran berkata, proses pengundian yang dijalankan hari ini dilakukan selepas ahli lembaga pengarah bebas mendapati cadangan oleh UEM dan KWSP adalah adil dan perlu dibentangkan kepada semua pemegang saham.
"Kami tidak menjual PLUS, kami cuma menerima kertas cadangan mengenai pengambilan alih ini dan melakukan penilaian secara bebas.
"Kami tidak boleh memandang sebelah mata mengenai cadangan ini sebab itulah ia dibentangkan kepada para pemegang saham untuk mendapatkan persetujuan, " jelas beliau.
PLUS turut melantik penasihat bebas yang terdiri daripada Kumpulan AmInvestment Bank dan Goldman Sachs (Malaysia) Sdn. Bhd., mendapati tawaran oleh KWSP dan UEM adalah munasabah.
Kejatuhan Bursa Asia
Kebanyakan pasaran saham Asia mengekalkan momentum kejatuhan dan minyak mentah kekal berada paras hampir tertinggi dua tahun ekoran krisis di Libya.
Pasaran saham Tokyo jatuh 0.80 peratus atau 85.60 mata untuk ditutup pada paras 10,579.10 mata dan Hong Kong menyusut 0.36 peratus atau 83.91 mata kepada paras 22,906.90 mata.
Manakala Sydney menyusut 0.22 peratus atau 10.8 mata untuk ditutup pada paras 4,845.9 dan Seoul jatuh sebanyak 0.42 peratus atau 8.29 mata kepada 1,961.63 mata.
Namun, Shanghai meningkat 0.25 peratus atau 7.11 mata kerana aktiviti mengambil untung.
Singapura ditutup rendah 0.57 peratus atau 17.27 mata kepada 3, 001.85, Jakarta menyusut 0.67 peratus atau 23.02 mata kepada 3,474.12 mata dan Kuala Lumpur mencatatkan penurunan sebanyak 0.17 peratus atau 2.52 mata pada paras 1,511.11.
Saham-saham perlombongan menyaksikan peningkatan disebabkan kenaikan harga emas ekoran pedagang bertukar kepada logam bernilai kerana kebimbangan terhadap inflasi dan ketegangan di Afrika Utara dan Timur Tengah.
Krisis politik yang melanda Maghribi, Yemen, Bahrain dan Iran dilihat menjadi punca kebimbangan kekurangan bekalan minyak mentah.
Ia telah menyebabkan harga minyak mentah melonjak ke paras tertinggi sejak dua tahun dengan Brent North Sea mencatatkan peningkatan sebanyak AS$0.69 (RM2.09) kepada AS$106.47 (RM322.60) walaupun ia jatuh sedikit berbanding AS$108 (RM327.24) yang direkodkan di Eropah semalam.
Kontrak utama untuk minyak berkualiti tinggi New York Light Sweet untuk penghantaran April berada pada paras AS$95.53 (RM289.45).
Sementara itu, pasaran saham Amerika Syarikat turut mengalami kejatuhan apabila Dow Jones Industrial Average jatuh 1.44 peratus dan Nasdaq menyusut 2.74 peratus semalam.
SSM : Laporan Bank Dunia tidak tepat
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak berpuas hati dengan laporan yang dikeluarkan Bank Dunia mengenai proses pendaftaran syarikat di negara ini pada tahun lalu.
Laporan yang dikeluarkan bank berkenaan tidak menggambarkan situasi sebenar di Malaysia dan telah menjejaskan penarafan status negara dalam perkhidmatan berkenaan.
Malaysia diletakkan pada kedudukan 116 dunia bagi perkhidmatan berkenaan, peningkatan tiga anak tangga berbanding tahun 2009 namun jika penelitian lebih telus dibuat sepatutnya negara berada pada kedudukan yang lebih baik.
Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Azmi Ariffin berkata, ada beberapa perkara dalam laporan tersebut tidak tepat dan boleh menjejaskan imej negara.
Menurutnya, laporan berkenaan menyatakan bahawa proses pendaftaran syarikat di Malaysia mengambil masa selama 17 hari sedangkan perkhidmatan yang ditawarkan SSM sejak April tahun lalu sepantas sehari sahaja.
“Proses pendaftaran hanya memakan masa sehari dan ia boleh dilakukan melalui proses di kaunter kami dan dalam talian menerusi sistem Identiti Korporat Malaysia (MyCoID),’’ katanya kepada pemberita selepas Kempen Kesedaran SSM di sini hari ini.
Turut hadir sebagai ahli panel ialah wakil dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), SME Corp., Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Azmi berkata, Bank Dunia memperolehi data melalui tinjuan mereka ke atas pemilik syarikat di negara ini dan bukannya melalui SSM.
Katanya, kebanyakan setiausaha syarikat tidak menggunakan sistem terbaharu SSM yang hanya memakan masa sehari itu tetapi lebih gemar menggunakan cara lama iaitu datang secara berperingkat ke kaunter pendaftaran.
“Mereka tidak hadir dengan dokumen lengkap pada hari pertama sebaliknya akan hadir pada hari berikutnya untuk menghantar dokumen seterusnya dan ini yang menyebabkan proses menjadi lama.
“Apabila ditanya oleh wakil Bank Dunia, mereka akan memberi maklum balas negatif sedangkan mereka tidak mahu atau tidak tahu menggunakan sistem pantas yang disediakan SSM.
“Bermula April tahun lepas sehingga Januari lalu hanya 24 peratus iaitu 1,020 pendaftaran syarikat dibuat menggunakan sistem sehari dan selebihnya mengunakan cara lama,’’ jelasnya.
Beliau berkata, semua pihak perlu mengambil berat perkara ini kerana ia melibatkan imej negara dan boleh mempengaruhi kemasukan pelabur asing.
Katanya, jika pihak yang berkaitan memberi kerjasama dan peka terhadap perkembangan sistem terbaharu SSM, maka mereka dapat membantu negara mencapai penarafan yang lebih baik pada masa depan.
Tambah beliau lagi, SSM juga telah melancarkan fasa kedua sistem MyCoID yang membolehkan semua maklumat yang didaftarkan melalui sistem tersebut akan disalurkan secara automatik kepada KWSP, SME Corp., LHDN, Perkeso dan HRDF.
“Hanya satu ID diperlukan untuk sebarang urusan dengan kelima-lima organisasi berkenaan dan ini dapat menjimatkan sama pelanggan,’’ ujarnya.
Sejak April tahun lalu, segala proses pencarian nama dan kelulusan, penyerahan dokumen pendaftaran, mematikan memorandum dan Artikel Syarikat (MA) dan pembelian barangan pra pensyarikatan boleh dibuat pada hari yang sama.
Hanya RM100 dikenakan untuk pendaftaran tersebut dan sijil pensyarikatan akan diberikan pada hari yang sama jika borang pendaftaran dihantar sebelum 12 pukul tengah hari.
Wednesday, February 23, 2011
MFA sasar peningkatan francais berdaftar.
Persatuan Francais Malaysia (MFA) menjangkakan pertumbuhan dua digit bagi bilangan francais berdaftar dengannya pada tahun ini.
Setiausaha Agungnya, Hasma Ahmad berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, MFA telah memperkenalkan beberapa program dan strategi terbaharu serta menjalin kerjasama dengan beberapa institusi kerajaan dan swasta.
Menurutnya, hari ini MFA telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysia Productivity Corp. (MPC) bagi memperkenalkan program Platform Jaringan Perniagaan (BNP) yang bakal melahirkan lebih ramai francaisor bertaraf lima bintang.
''MPC berperanan menyediakan program pendedahan yang sistematik kepada francaisor yang menerapkan elemen pembangunan secara berkumpulan.
''Program ini juga menjadi penanda aras prestasi yang penting kepada sesebuah syarikat yang akan dijadikan rujukan untuk proses penambahbaikan pada masa depan,'' katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir Pemangku Pengarah MFA, Abdul Malik Abdullah, Ketua Pengarah MPC, Mohd Razali Hussain dan Pengarah Kanan MPC, Shahuren Ismail.
Hasma berkata, bagi merancakkan perkembangan industri francais tahun ini, MFA telah menggariskan empat strategi utama iaitu perubahan ke arah francaisi, penjenamaan, francaisi berganda dan francaisi mikro.
Katanya, perubahan ke arah francaisi bermaksud menggalakkan lebih banyak syarikat yang mengamalkan sistem francais tetapi tidak mendaftarkan diri sebagai francaisi untuk mendapat insentif yang lebih baik.
Francaisi berganda pula adalah proses pemberian kebenaran kepada francaisor untuk mengendalikan lebih daripada satu cawangan bagi meningkatkan pendapatan mereka.
Manakala francaisi mikro adalah sistem yang paling mudah dan murah untuk dikembangkan dan secara tidak langsung mampu melahirkan lebih ramai usahawan muda, katanya.
Beliau berkata, francaisi mikro semakin diminati apabila syarikat besar mula membuka cawangan kecil secara francais seperti Carrefour, Mydin dan beberapa lagi perniagaan yang diusahakan syarikat tempatan.
''Ia tidak memerlukan modal yang terlalu besar dan ini mampu memberi peluang kepada graduan menganggur untuk menjana pendapatan sendiri.
''Jika pihak francaisi menyediakan cara yang sistematik kepada francaisor maka sistem ini dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk berkembang tahun ini,'' jelasnya.
EGM PLUS di ambang kejayaan.
Mesyuarat agung luar biasa PLUS Expressways Bhd. (PLUS) esok berada diambang 'kejayaan' di mana para pemegang saham minoriti dijangka mengundi menerima bidaan UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Persekutuan (KWSP) untuk mengambil alih kesemua aset dan liabiliti PLUS.
Para penganalisis dan ahli perbankan berulang kali berkata, harga RM4.60 adalah munasabah dan menyeru para pemegang saham untuk menerima tawaran itu.
Para pemegang saham minoriti seperti Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Lembaga Tabung Haji dan Permodalan Nasional Bhd. kemungkinan mengundi menerima tawaran itu.
Keputusan untuk menjadikan PLUS syarikat persendirian dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau mengumumkan bajet negara 2011 pada tahun lepas di mana beliau turut membekukan kesemua kenaikan tol empat lebuh raya yang dimiliki PLUS bagi tempoh lima tahun akan datang.
Langkah kerajaan itu bertujuan membuka laluan bagi pengurangan kadar tol dan ini akhirnya memberi kesan kepada paras keuntungan yang biasa dinikmati PLUS sejak beberapa tahun lepas.
Para pemerhati industri berkata, kerajaan kelihatan menyuraikan model ekonomi lama - tanpa membayar ganti rugi kepada pemegang konsesi dan membekukan kenaikan tol yang ditukar kepada lanjutan tempoh konsesi lebih panjang.
Sebelum ini, kerajaan telah membayar pengendali ganti rugi tunai dan seterusnya melanjutkan tempoh konsesi masing-masing sebagai pertukaran bagi membolehkan mereka mengekalkan kadar tol sedia ada.
Para pemerhati berkata, bahawa model sebelum ini tidak mampan bagi tempoh jangka panjang berikutan pengawalan dasar fiskal.
Mereka berkata, perundingan semula konsesi dengan PLUS adalah usaha berterusan kerajaan, yang telah turut merundingkan semula dengan pemegang konsesi yang lain bagi meringankan bebanan pengguna jalan raya.
Jumaat lalu, tol di plaza tol Petaling Jaya Selatan 2 (PJS2) di sepanjang Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE) dekat Kampung Medan di Petaling Jaya telah dikurangkan kepada RM1 daripada RM1.60 sebelum ini.
Sementara itu, MTD Capital mencadangkan pembekuan tol pada dua daripada lebuh rayanya tanpa ganti rugi dan konsesi tol di lebuh raya ketiga milik MTD akan dihapuskan pada Mei, iaitu lebih awal daripada tarikh tamatnya pada 2018.
Dengan kecenderungan kerajaan menyemak semula konsesi tol yang dilihat berat sebelah, terutama kepada kerajaan dan para pengguna, persoalan paling utama pada fikiran para pemegang saham minoriti PLUS ialah sama ada harga tawaran RM4.60 merupakan cerminan asas saham itu.
Ramai penganalisis dan syarikat pelaburan menyeru para pemegang saham minoriti untuk mendapatkan tunai kerana harga tawaran RM4.60 menyaksikan mereka menerima keuntungan lumayan.
Penganalisis Hoy Ken Mak dari AmResarch berkata, tawaran RM4.60 disifatkan sebagai adil dan berada bawah nilai berpatutan RM4.72.
Ken Mak berkata, PLUS adalah stok dagangan yang baik tetapi perlu berhati-hati kerana penghasilan 4.0 hingga 5.0 peratus tidak lagi lumayan dan sumbangan daripada usahasama seberang laut tidak lagi signifikan.
Bernard Ching dari ECM Libra menasihati para pelabur supaya mengeluarkan keuntungan berikutan ketidaktentuan berterusan pengambilalihan itu, tempoh matang yang panjang untuk menyelesaikan proses tersebut dan peluang kos di tengah-tengah rali pasaran semasa.
Pergolakan politik Timur Tengah dan Afrika Utara akibat kejatuhan saham dunia
Pasaran saham dunia termasuk Malaysia diramal terus mengalami kejatuhan sekiranya pergolakan politik yang berlaku di Timur Tengah dan Afrika Utara 'berjangkit' di negara-negara berhampiran yang lain.
Krisis itu telah menyaksikan kejatuhan pasaran saham Asia semalam termasuk Tokyo sebanyak 35.38 mata, Singapura (51.48 mata), Jakarta (46.54 mata), Manila (53.37 mata), Hong Kong (494.61 mata), China (76.73 mata) dan Kuala Lumpur (12.22 mata).
Malah, pasaran saham Eropah juga menerima tempias dengan UK's FTSE 100 susut 1.1 peratus, Germany's DAX jatuh 0.6 peratus dan France CAC 40 pula merudum 1.4 peratus.
Para penganalisis ekonomi tempatan membayangkan keadaan akan lebih terjejas sekiranya ia membabitkan lebih banyak negara pengeluar utama minyak dunia.
Ketidaktentuan pasaran saham itu berlaku disebabkan fenomena yang bermula daripada kenaikan inflasi ekoran peningkatan harga makanan dan diburukkan lagi oleh ketegangan yang berlaku di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Ketua Penyelidik Jupiter Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, pergolakan yang berterusan itu menyukarkan ramalan sama ada pasaran akan terjejas dalam tempoh singkat atau jangka panjang.
Beliau menyifatkan kejatuhan pasaran saham dunia akibat panik di kalangan pelabur.
''Kalau pergolakan yang berlaku dapat diselesaikan, kejatuhan pasaran saham mungkin sementara tetapi jika berlarutan dan terus berjangkit di negara-negara lain, ia akan memberi kesan negatif jangka panjang.
''Sekiranya, berlarutan dan membabitkan banyak lagi pergolakan di negara-negara pengeluar minyak ia akan memberi kesan serta-merta kerana membabitkan pembekalan emas hitam itu.
''Keadaan sekarang sukar diramalkan kerana kejadian-kejadian di luar jangkaan ini tidak terdapat dalam mana-mana data ekonomi, ia berlaku secara tiba-tiba,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejatuhan saham-saham utama serantau hari ini.
Tambahnya, seperti di Libya, kebanyakan firma-firma syarikat minyak telah mula mengeluarkan pekerja-pekerja mereka, sekali gus memberikan gambaran negatif akan keadaan di sana.
Jelas beliau, yang paling membimbangkan adalah sekiranya pergolakan yang berlaku menjejaskan pembekalan emas hitam dan mengakibatkan harga emas hitam itu terus melonjak.
Kenaikan harga minyak akan memburukkan lagi keadaan terutama di negara-negara yang mengalami kenaikan kadar inflasi.
''Jika berterusan negara terbabit kemungkinan terpaksa mengambil dana asing,'' ujarnya.
Ketua Ekonomi dan Perancangan Strategik Bank Islam Malaysia Bhd., Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata, trend kejatuhan pasaran saham dunia yang berlaku ketika ini sukar diramalkan selagi pergolakan yang berlaku tidak dapat ditangani segera.
Menurutnya, kemelut itu telah menyebabkan harga pasaran minyak dunia tidak stabil, secara langsung menyumbang kepada kenaikan harga komoditi lain.
"Percayalah krisis ini akan mengakibatkan tekanan dalam inflasi dunia,'' ujar beliau.
Sementara itu, tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam menyifatkan kejatuhan beberapa pasaran saham utama dunia berpunca daripada kerisauan kebanyakan pihak terhadap kenaikan harga minyak dunia.
''Ia sekali gus menganggu operasi perniagaan dan akhirnya memberi impak kepada pasaran saham.
''Bagaimanapun, jika keadaan politik kembali stabil, saya yakin pasaran saham akan kembali seperti biasa," katanya.
Tambahnya, meskipun kebanyakan pelabur panik tetapi pada masa sama ia memberikan faedah kepada pembeli saham kerana harga saham kini lebih rendah.
Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (Pribumi), Huda Ikhwan turut menyifatkan kejatuhan pasaran saham di beberapa negara dunia tidak memberi kesan yang teruk.
Beliau tidak menolak kemungkinan trend kejatuhan itu mungkin berlaku dalam tempoh yang singkat, antara seminggu atau dua minggu lagi.
Selain itu, Huda menambah, sentimen dunia terhadap pasaran Amerika Syarikat semakin bertambah sejak akhir-akhir ini, turut memberi tekanan pasaran saham di negara-negara serantau.
''Di sebalik kejatuhan pasaran saham di negara-negara dunia hari ini, prestasi pasaran saham di Amerika Syarikat pula terus meningkat,'' katanya.
Monday, February 21, 2011
Bank Islam perkenal Debit-i Visa
Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) hari ini melancarkan kad pelbagai guna yang menggabungkan ciri-ciri mesin juruwang automatik (ATM) dan kad visa yang dinamakan Debit-i Visa Bank Islam.
Setiap individu yang berumur 15 tahun ke atas yang mempunyai akaun semasa atau akaun simpanan (CASA) dengan Bank Islam dan berkeupayaan penuh untuk menguruskan akaun mereka, layak memohon kad tersebut.
Pengurus Besar Perbankan Pengguna Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, melalui kad Debit-i ini, pelanggan Bank Islam dapat menikmati kemudahan transaksi tanpa tunai atau sebarang kesulitan di mana-mana sahaja terutamanya di tempat kad Debit-i ini diterima.
Katanya, jumlah peniaga yang terlibat menggunakan kad tersebut dianggarkan melebihi 24 juta di seluruh dunia.
''Ahli kad debit tersebut juga bakal menikmati rebat tunai sebanyak 0.5 peratus bagi belian runcit yang dilakukan dengan menggunakan kad Debit-i Visa Bank Islam.
''Rakyat Malaysia kini boleh mengakses deposit mereka dengan lebih baik di mana generasi muda dapat menikmati manfaat kad pembayaran yang berfungsi seperti kad kredit dan kad ATM,'' katanya.
Kad Debit-i Bank Islam ini membolehkan ahli kad mengeluarkan wang tunai di semua mesin ATM MEPS di Malaysia.
Tambah Khairul, bagi pengeluaran wang tunai di luar negara, ahli kad boleh melakukannya di mesin ATM yang memaparkan logo Visa Plus.
''Pelancaran kad Debit-i ini yang mana pembayaran ditolak secara automatik daripada CASA ahli kad debit berkenaan akan menambah baik portfolio khidmat pembayaran yang kami tawarkan kepada para pelanggan kami," ujarnya.
Menurut Khairul lagi, kad Debit-i Visa Bank Islam tersebut membolehkan ahli kad melaksanakan transaksi seperti pembayaran bil, makan di restoran, sumbangan amal, berbelanja secara dalam talian, pembelian petrol, transaksi Tabung Haji atau tempahan tiket dengan menggunakan dana mereka sendiri dan bukan secara kredit.
''Kad Debit-i ini menawarkan pelbagai faedah kerana tidak mengenakan syarat pada pendapatan individu dan tiada sebarang caj pembayaran lewat," tambahnya.
Selepas setiap transaksi, jumlah yang dipotong secara automatik daripada akaun ahli kad akan tertera dalam penyata akaun mereka dengan segera tanpa caj keuntungan untuk membolehkan pengurusan akaun yang lebih efektif oleh ahli kad.
Khairul memberitahu, kad Debit-i, Bank Islam turut menyokong inisiatif kerajaan untuk mempromosikan transaksi tanpa tunai melalui penggunaan kad Debit-i sebagai jaminan keselamatan dan kemudahan ahli kad.
''Kami yakin akan ada peningkatan yang ketara dalam jumlah transaksi tanpa tunai oleh ahli kad kami dengan pelancaran kad Debit-i Visa Bank Islam ini,'' katanya.
Dengan pelancaran kad Debit-i, Bank Islam menyasarkan untuk menjadi pengeluar kad debit berlandaskan syariah nombor satu di negara ini.
Tunjuk perasaan Libya tingkatkan harga minyak
Minyak Brent naik melebihi AS$2 (RM6.06) berikutan tunjuk perasaan yang berlaku di Libya, negara ahli Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
Kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak telah mengakibatkan kenaikan harga komoditi itu selepas berlaku tunjuk perasaan di negara-negara pengeluar minyak di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Al Jazeera melaporkan kekacauan yang berlaku di Libya telah menyebabkan medan minyak Nafoora menghentikan pengeluarannya.
Minyak Brent bagi penghantaran April naik sebanyak AS$1.73 (RM5.24) kepada AS$104.24 (RM315.84) setong, selepas berada sekitar AS$104.60 (RM316.93), kenaikan tertinggi dalam tempoh dua setengah tahun.
Penghantaran minyak mentah Amerika Syarikat pada bulan Mac juga bertambah AS$1.40 (RM3.15) kepada AS$87.60 (RM265.42) setong.
Libya mengeksport sekitar 1.1 juta tong sehari dan Ahad lalu, puak pemimpinnya mengancam untuk mengurangkan bekalan dalam tempoh 24 jam sekiranya protes anti-kerajaan berterusan.
''Memang terdapat kebimbangan akan berlaku gangguan di bekalan minyak di Libya,'' menurut pengurus risiko Mitsubishi Corp.
''Pasaran minyak dengan mudah naik sebanyak AS$10 dalam tempoh terdekat sekitar AS$10 (RM30.3) jika pergolakan berterusan,'' menurut Pengarah Tinjauan Ekonomi Asia, David Cohen.
Libya menghasilkan 1.58 juta tong pada Januari, menurut undian Reuters. Ia memegang rizab minyak terbesar di Afrika dan merupakan pengeksport minyak ke-12 terbesar pada 2009, menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat.
Brent secara teknikal kekal neutral sekiranya ia berada di antara AS$101.50 (RM307.54) dan AS$104.50 (RM316.63), menurut penganalisis pasaran Reuters, Wang Tao.
Terbitan sukuk global dijangka melepasi RM106 billion
Terbitan sukuk global pada tahun ini dijangka melepasi AS$35 bilion (RM106.05 bilion) yang dicatatkan pada 2007, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.
Menurut beliau, Malaysia masih kekal sebagai peneraju dalam industri kewangan Islam dengan penguasaan pasaran sebanyak 62 peratus, diikuti Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Indonesia dan Bahrain.
''Daripada kelulusan yang diberikan oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti (SC), kami optimis jumlah terbitan sukuk pada 2011 akan melebihi daripada 2007,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan platform kewangan Islam komprehensif Bloomberg dan indeks sukuk ringgit Malaysia bersama Persatuan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) di sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Dr. Zeti berkata, terbitan sukuk pada 2010 juga meningkat sebanyak 20 peratus berbanding 2009, sekali gus menunjukkan keyakinan tinggi para pelabur dan penerbit.
''2011 dijangka menjadi tempoh yang menarik untuk industri kewangan Islam,'' ujarnya.
Sehingga 16 Februari lalu, kerajaan menerbitkan sukuk berjumlah RM81.5 bilion dan jumlah yang dijangka matang adalah banyak RM45 bilion.
Dr. Zeti menambah, pada tahun lalu, satu lagi evolusi dengan penerbitan empat sukuk mata wang asing berjumlah AS$3 bilion (RM9.09 bilion).
Trend itu akan memberi kelebihan daripada Indeks Syariah Berdaulat Bursa Malaysia AIBIM Bloomberg (BMSSI) yang dibangunkan oleh AIBIM, Bursa Malaysia dan Bloomberg, sebagai satu penambahan dalam platform kewangan Islam.
''Kerjasama ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran sukuk dunia,'' tambah beliau.
Malah, katanya, kerjasama itu dijangka menyaksikan Indeks Sukuk Korporat dalam ringgit tidak lama lagi.
Tambah beliau, bank pusat dan Bloomberg kini sedang meluaskan inisiatif bagi membangunkan Indeks Sukuk Mata Wang Asing.
Jelas Dr. Zeti, liberalisasi dalam pasaran kewangan tempatan dijangka menarik lebih banyak terbitan Sukuk Mata Wang Asing oleh entiti berdaulat, pelbagai institusi dan syarikat-syarikat multinasional.
Menurut beliau, Malaysian Electronic Clearing Corporation (MyClear) yang menjalankan sistem penyelesaian kasar masa sebenar dan sistem jaminan depositori, juga mengambil inisiatif untuk mempromosi transaksi kewangan merentas sempadan.
MyClear akan menjadi platform penyelesaian pelbagai hala utama yang memberi kemudahan bagi dagangan transaksi sukuk.
''Pelaksanaan inisiatif ini dijadualkan selesai pada separuh kedua 2011, menawarkan akses kecekapan kos bagi pelabur asing untuk melabur dalam sekuriti Malaysia menerusi MyClear.
''Pada masa sama, ia membolehkan pelabur tempatan untuk melabur dalam institusi deposit sekuriti pusat serantau dan antarabangsa,'' katanya.
Usaha SPNB membantu golongan muda dan pasangan baru kahwin memiliki rumah
Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) telah mengenal pasti beberapa buah institusi kewangan tempatan yang akan menyediakan pakej pinjaman bagi bayaran pendahuluan pinjaman perumahan.
Pengerusi SPNB, Datuk Ir. Idris Haron berkata, institusi kewangan terbabit kini dalam proses menyediakan terma dan syarat, termasuk kadar faedah yang berpatutan bagi pakej pinjaman tersebut.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan nama institusi kewangan terbabit buat masa ini.
''Usaha SPNB ini akan membantu golongan muda atau pasangan baru kahwin yang ingin memiliki rumah sendiri tetapi tidak ada wang tunai bagi menjelaskan bayaran pendahuluan pinjaman perumahan.
''Ia merupakan skim pembelian rumah tanpa bayaran pendahuluan yang diperkenalkan oleh SPNB sejak tahun lalu bagi merangsangkan
jualan kira-kira 11,000 buah rumah mampu milik yang telah siap dibina di seluruh negara," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
SPNB yang ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (Mof Inc.).
Rumah mampu milik yang seluas antara 800 hingga 1,000 kaki persegi itu dijual pada harga antara RM80,000 hingga RM120,000 untuk kos rendah manakala RM120,000 ke atas bagi kos sederhana.
Rumah tiga bilik tidur itu dilengkapi dengan dua bilik air.
Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengakui bahawa melalui usaha itu para pembeli akan mempunyai dua pakej pinjaman yang berbeza iaitu bayaran pendahuluan dan pinjaman perumahan.
''Kalau dilihat secara kasar, memanglah usaha itu akan membebankan para pembeli tetapi sebenarnya tidak jika diteliti berdasarkan harga jualan rumah kami.
''Walaupun bayaran bulanannya mungkin lebih tinggi sedikit berbanding dengan menyewa tetapi ia berbaloi bagi mereka yang ingin memiliki rumah sendiri," katanya.
BHIC merekodkan pendapatan berjumlah RM650 juta tahun lalu
Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) merekodkan pendapatan berjumlah RM650 juta bagi tahun kewangan 2010 berakhir 31 Disember 2010 berbanding pendapatan berjumlah RM544 juta untuk tahun sebelumnya.
Menurut satu kenyataan, peningkatan pendapatan itu disumbangkan oleh projek penyelenggaraan kapal tentera laut serta kontrak melaksanakan perkhidmatan sokongan dalaman bagi kapal selam.
Bagi tempoh yang sama, BHIC turut mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai kepada RM80 juta berbanding RM77 juta.
Pengarah Urusan BHIC, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor berkata, pihaknya gembira dengan pencapaian keseluruhan tahun 2010 walaupun menghadapi situasi mencabar, khususnya pada suku terakhir tahun lalu.
Tambahnya, dengan pemeteraian kerjasama Perbuatan Penggantian (Deeds of Novation) bulan lalu, beliau yakin BHIC telah membuka peluangnya untuk meningkatkan lagi perolehan daripada penyewaan kapal miliknya pada masa akan datang.
"Ini ditambah dengan kejayaan syarikat usaha sama kami, BYO Marine Sdn. Bhd. yang memperolehi kontrak bernilai RM130.7 juta bagi membina 10 kapal laut pemintas berkelajuan tinggi dan Contraves Advanced Devices Sdn. Bhd. yang mengeluarkan peralatan elektronik," katanya.
Ahmad Ramli berkata, BHIC juga menyambut baik rancangan kerajaan untuk menganugerahkan projek membangunkan enam kapal laut pejuang Littoral kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS), anak syarikat BHIC.
Sementara itu, BHIC telah mengumumkan empat muka baru bagi melicinkan lagi operasinya bagi tahun 2011.
Antaranya ialah David William Berry sebagai Pengarah Eksekutif Komersial, Anuar Murad (Pengarah Pertahanan dan Keselamatan), Ee Teck Chee (Penasihat Teknikal dan Risiko) dan Datuk Yahya Hashim (Pengarah Operasi BNS).
Air Asia promosi 1 juta tiket murah
AirAsia Bhd. (AirAsia) akan memulakan promosi Jualan Hebat (Big Sale) pada 22 Februari ini dengan tawaran terendah bagi sejuta tempat duduk untuk destinasi domestik dan antarabangsa.
Promosi tersebut bermula pada kadar serendah RM5 ke pelbagai destinasi laluan mereka.
Tempoh tempahan adalah dari 22 Februari hingga 27 Februari untuk penerbangan antara 13 September 2011 hingga 29 Februari 2012.
Promosi tersebut boleh didapati di www.airasia.com.
Selain laman web, promosi juga terdapat melalui mobile.airasia.com, aplikasi Blackberry AirAsia , aplikasi talian telefon android AirAsia serta aplikasi iPhone AirAsia.
Ketua Rantau Komersialnya, Kathleen Tan berkata, 'Big Sale' itu merupakan tanda penghargaan kepada pelanggan yang telah memberikan sokongan sejak tiga tahun lalu.
''Tawaran terhebat adalah tambang serendah RM5 ditawarkan ke pelbagai destinasi menarik dengan satu juta tempat duduk telah diperuntukkan untuk promosi itu.
''Promosi kami sering dinantikan oleh orang ramai. Melalui promosi Mind Blowing Fare dan kempen tempat duduk percuma pada 2010,
AirAsia telah mendapat sambutan menggalakkan dalam tempoh 24 jam.
''Berdasarkan beberapa maklum balas diterima daripada pelanggan yang menginginkan promosi sedemikian dan yakin bakal menerima sambutan memberangsangkan pada kali ini,'' katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
AirAsia turut melancarkan 'Bargain Hunters 101' yang merupakan senarai semakan sendiri pelanggan bagaimana untuk menempah pesawat secara efektif.
Bargain Hunters 101 boleh didapati di Facebook AirAsia dengan pelanggan hanya perlu 'Like' untuk memiliki kelebihan itu.
Keuntungan Maybank sebelum cukai sebanyak RM2.97 bilion
Malayan Banking Bhd. (Maybank) mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.97 bilion pada separuh pertama 31 berakhir Disember 2010, meningkat 16 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Keuntungan bersih dan kepentingan minoriti (PATAMI) juga meningkat kepada RM2.15 bilion berbanding RM1.88 bilion sebelumnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, prestasi positif itu didorong oleh peningkatan perolehan bagi semua segmen perniagaan kumpulan itu.
Operasi Bank Internasional Indonesia (BII) menjadi peneraju kepada pertumbuhan pinjaman dengan peningkatan tahunan sebanyak 27.3 peratus diikuti Maybank Islamic (23.5 peratus), operasi Singapura (17.8 peratus), lain-lain operasi antarabangsa (20.9 peratus) dan Perkhidmatan Kewangan Komuniti (10.1 peratus).
"Prestasi enam bulan pertama ini sangat menggalakkan dan menunjukkan momentum hasil daripada perubahan inisiatif yang diperkenalkan sejak awal tahun kewangan," katanya semasa mengumumkan keputusan kewangan kumpulan perbankan tersebut di sini hari ini.
Perolehan Maybank bagi separuh pertama tahun kewangan 2011 turut berkembang 5.1 peratus disumbang oleh pertumbuhan perolehan serta Perkhidmatan Kewangan Komuniti sebanyak 6.1 peratus, perbankan korporat (11.8 peratus), operasi Singapura (8.3 peratus) dan BII (16 peratus).
Manakala pinjaman kumpulan juga tumbuh 12.5 peratus disumbang oleh pinjaman pengguna Perkhidmatan Kewangan Komuniti sebanyak 12.3 peratus, pemulihan di dalam Pinjaman Korporat Domestik (4.8 peratus), Singapura (17.8 peratus) dan BII (27.3 peratus).
Kumpulan perbankan terbesar di Malaysia itu juga kata Abdul Wahid, merekod pertumbuhan kukuh bagi pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mana ia boleh didapati di setiap rangkaian cawangan buat masa ini berbanding dahulu yang hanya terdapat di pusat-pusat perniagaan sahaja.
"Selain sumbangan PKS, penubuhan Maybank Syariah Indonesia dan juga cadangan pengambil alihan Kim Eng Holdings menjadi testimoni kepada prestasi positif kumpulan," katanya.
Bagi prestasi suku kedua tahun kewangan 2011, Maybank merekod pertumbuhan keuntungan sebelum cukai 11.2 peratus kepada RM1.56 bilion berbanding RM1.4 bilion suku sebelumnya.
PATAMI suku kedua juga meningkat 9.4 peratus berbanding RM1.03 bilion yang dicatat pada suku pertama.
Keuntungan sebelum cukai dan PATAMI bagi suku kedua tahun kewangan ini adalah lebih tinggi iaitu masing-masing sebanyak 11.6 peratus dan 13.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun kewangan lalu.
Sunday, February 20, 2011
Bursa tempatan dijangka tinggi minggu ini
Bursa tempatan dijangka diniagakan tinggi minggu ini, disokong oleh angka pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan tahun lepas, selain sentimen positif dalam pasaran Asia, kata penganalisis.
Berikutan ketegangan semasa di Timur Tengah, mereka berkata, pelabur akan melihat Asia sebagai enjin pertumbuhan utama dunia.
"Pasaran dijangka lebih berdaya tahan dengan potensi peningkatan dan melangkau ke paras 1,550 mata dalam tempoh terdekat, kata Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr. Nazri Khan kepada Bernama.
Pasaran ditutup tinggi minggu ini kepada 1,517.56.
"Meskipun kebimbangan mengenai inflasi semakin meningkat, kami masih melihat tema - Asia sebagai enjin pertumbuhan utama dunia - secara umumnya kukuh dalam tempoh sederhana," katanya.
Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk tahun lepas berkembang 7.2 peratus berbanding penguncupan 1.7 peratus pada 2009 manakala pertumbuhan suku keempat menyederhana kepada 4.8 peratus berbanding 5.3 peratus pada suku ketiga.
Ia merupakan kadar pertumbuhan tahunan terpantas sejak 2000, yang tidak ragu-ragu lagi akan menggalakkan pelabur mengumpul saham.
"Kami yakin pelabur institusi sudah mula membeli, dengan banyak saham mencatat keputusan pendapatan yang positif bagi tempoh suku keempat," katanya.
Bayangan bahawa kadar faedah akan dinaikkan dan kitaran pelaburan yang meningkat, dilihat sebagai pemangkin asas yang penting dalam jangka terdekat.
"Sudah ada tanda-tanda yang menunjukkan pelaburan yang semakin rancak dan penggabungan korporat sudah bermula dengan pelaburan langsung asing dan penggabungan dan pengambilalihan masing-masing meningkat lebih 400 peratus dan 300 peratus pada 2010 - kadar pertumbuhan paling pantas di Asia Pasifik," katanya.
Pada Jumaat, FBM KLCI meningkat mengatasi paras psikologi 1,500 mata, hasil daripada keuntungan ketara dalam kebanyakan syarikat berkaitan indeks.
Mengikut asas mingguan, FBM KLCI meningkat 23.04 mata kepada 1,517.56 berbanding 1,494.52.
Indeks Emas meningkat 155.77 kepada 10,508.58 daripada 10,352.81 dan Indeks FBM70 Index menokok 239.60 mata kepada 11,442.27 berbanding 11,202.67, namun Indeks FBM Ace susut 50.57 mata kepada 4,455.59 berbanding 4,506.16.
Indeks Kewangan meningkat 201.53 mata kepada 13,720.64 daripada 13,519.11, Indeks Perusahaan menokok 21.67 mata kepada 2,857.56 daripada 2,835.89 manakala Indeks Perladangan menambah 70.52 mata kepada 7,880.01 berbanding 7,809.49.
Jumlah dagangan bagi minggu yang baru berakhir susut kepada 7.09 bilion saham bernilai RM7.637 bilion berbanding 12.51 bilion saham bernilai RM13.55 bilion pada minggu dagangan yang pendek minggu lalu.
Jumlah dagangan di pasaran utama berkurangan kepada 1.238 bilion saham bernilai RM441.856 juta berbanding 9.99 bilion saham bernilai RM13.08.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 29.105 juta saham bernilai RM5.434 juta berbanding 1.582 bilion saham bernilai RM235.71 juta.
Waran susut kepada 104.507 juta unit bernilai RM19.004 juta berbanding 845.51 juta unit bernilai RM213.92 juta.
Mengembangkan perniagaan menerusi aktiviti pengambil alihan
Syarikat-syarikat di negara ini menunjukkan minat untuk mengembangkan perniagaan menerusi aktiviti pengambilan alih.
Menurut Laporan Perniagaan Antarabangsa Grand Thornton, sejumlah 33 peratus syarikat bersetuju bahawa mereka mempunyai perancangan untuk melakukan pengambilan alih berbanding rekod yang dicatatkan tahun lalu iaitu 19 peratus sahaja.
Pengurus Bersama SJ Grant Thornton, Datuk N.K Jasani berkata, situasi ini didorong oleh pemulihan ekonomi dan kemudahan akses terhadap pembiayaan.
"Syarikat-syarikat sekali lagi melihat kepada aktiviti pengambilan alih sebagai salah satu cara untuk mengembangkan perolehan disebabkan pertukaran corak pemikiran daripada pelan perniagaan biasa kepada pertumbuhan strategik," katanya di dalam satu kenyataan di sini.
Laporan tersebut menunjukkan kebanyakan perniagaan merancang untuk membiayai pertumbuhan perniagaan dalam tempoh tiga tahun dengan mengekalkan perolehan (50 peratus) dan pembiayaan menerusi bank (45 peratus).
Manakala sebahagian lagi merancang untuk melakukan penyenaraian awam (14 peratus) dan melalui ekuiti persendirian (11 peratus).
Trend ini turut dilihat di seluruh dunia apabila Laporan Perniagaan Antarabangsa Grand Thornton tahun ini menunjukkan 34 peratus koresponden mempunyai rancangan untuk melakukan pengambilan alih dalam tempoh tiga tahun akan datang berbanding lapan peratus tahun lalu.
Thursday, February 17, 2011
PENCAPAIAN FERRARI MENGGALAKKAN
Pengeluar kereta mewah buatan Itali, Ferrari memperlihat pencapaian yang menggalakkan pada 2010 apabila merekodkan pendapatan bersih berjumlah 1.919 bilion euro (RM7.937 bilion), meningkat 7.9 peratus berbanding tahun 2009.
Ferrari dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, berkata, pada sepanjang tahun lalu, pihaknya telah menghantar 6,573 buah kereta keluarannya kepada para pengedar jenama itu di seluruh dunia mewakili peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding 2009.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Luca Di Montezemolo, peningkatan itu adalah didorong permintaan dari negara kuasa ekonomi baharu sekitar Asia khususnya China selain pemulihan pasaran di Amerika Syarikat.
Beliau berkata, beberapa pencapaian yang dicapai itu mengatasi rekod pada 2008 yang sebelum ini dianggap sebagai tahun terbaik dalam sejarah Ferrari.
" Pulangan jualan juga mencecah 15.8 peratus, mewakili salah satu rekod terbaik syarikat ini.
"Malah, angka tersebut mengatasi pencapaian purata dalam industri automotif serta sektor barangan mewah," katanya semasa pembentangan prestasi Ferrari bagi tahun 2010.
Tegas beliau lagi, aliran tunainya juga meningkat sehingga 290 juta euro (RM1,198.97 bilion), sekali gus menunjukkan kemampuan syarikat yang hanya menggunakan sumber kewangan dalaman.
Montezemolo berkata, pihaknya telah membuat pelaburan ke atas model The California, model The 458 Italia dan model 599 GTO, kesemuanya berjaya memenangi beberapa anugerah serta peningkatan jualan.
Berdasarkan geografi, jualan kereta Ferrari di China berjumlah 300 buah kereta terjual, meningkat sebanyak 43.6 peratus. Jualan di pasaran Hong Kong dan Taiwan pula merekodkan 478 buah kereta iaitu meningkat sebanyak 23.8 peratus berbanding 2009.
Pasaran di Timur Tengah pula merekodkan jualan sebanyak 349 buah kereta. Ini menjadikan pasaran Asia merupakan penyumbang keempat terbesar kepada jualan Ferrari ke seluruh dunia.
Jualan di AS juga meningkat sebanyak 12.7 peratus kepada 1,576 buah kereta. Pasaran Amerika Utara (AS dan Kanada) menyumbang sebanyak 26 peratus jualan Ferrari di seluruh dunia.
Sementara pasaran Eropah merekodkan pertumbuhan jualan sebanyak lima peratus di mana jualan di United Kingdom sahaja telah meningkat 58 buah kereta kepada 467 buah kereta selain dibantu perkembangan pasaran Eropah Timur.
Sehingga kini, syarikat itu mempunyai 40 gedung jualannya di seluruh dunia.
Tambah beliau lagi, kemudahan internet sendiri telah membantu peningkatan pasaran Ferrari termasuk melalui laman sesawang rasminya, Twitter serta Facebook yang mencapai tiga juta ahli dalam tempoh yang singkat.
BANK MUAMALAT UNTUNG RM143.7 JUTA
Bank Muamalat Malaysia Bhd., mengumumkan kenaikan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM143.7 juta bagi sembilan pertama yang berakhir 31 Disember lalu.
Bank Muamalat dalam kenyataannya di sini berkata, PBT yang direkodkan itu merupakan kenaikan 34.4 peratus dari apa yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu iaitu dari RM106.9 juta.
Bagi tahun kewangan lalu, Bank Muamalat merekodkan RM142.1 juta untuk tempoh 15 bulan berakhir 31 Mac 2010, yang merupakan sejarah tertinggi bagi bank tersebut.
''Berikutan itu, perolehan bersih bank untuk sembilan bulan pertama sebanyak RM99.3 juta berbanding RM75.8 juta pada tahun sebelumnya,'' kata Bank Muamalat di sini.
Turut mencatatkan kenaikan ialah perolehan yang diagihkan sebanyak RM571.8 juta sehingga Disember lalu berbanding RM423.3 juta pada tahun 2009, meningkat 35.1 peratus.
Menurut Bank Muamalat, jumlah pembiayaan sehingga 31 Disember lalu meningkat RM6.9 bilion, naik RM6.6 bilion berbanding Disember 2009.
Bagaimanapun, jumlah deposit pelanggan kekal kukuh pada RM13.7 bilion, sama seperti yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Bagi suku berakhir Disember lalu, Bank Muamalat merekodkan PBT sebanyak RM41.6 juta dan perolehan bersih RM27.5 juta.
EKUITI BUMIPUTRA KURANG LAPAN PERATUS
Pegangan ekuiti Bumiputera dalam pasaran modal kini mencecah 22 peratus berbanding sasaran kerajaan 30 peratus, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed Khamis.
Katanya peningkatan pegangan itu dicapai antaranya berikutan sumbangan melalui pengagihan unit saham khas Bumiputera melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang dilaksanakan oleh kementerian itu.
Bagi tahun lepas sahaja, beliau berkata, daripada 18 IPO atau 1.6 bilion unit saham khas Bumiputera, sebanyak 1.5 bilion unit atau 91.6 peratus telah berjaya diperuntukkan kepada para pelabur Bumiputera.
Namun, katanya kementerian akan mengkaji semula keberkesanan instrumen ini kerana walau pun sudah lama dilaksanakan, pegangan baru mencecah 22 peratus.
"Kita sedang melihat cara lebih berkesan untuk tingkatkan penyertaan Bumiputera di dalam syarikat-syarikat di Malaysia," katanya kepada media di luar Sesi Taklimat Unit Agenda Peneraju Bumiputera (Teraju) di Menara Usahawan di sini.
Yang turut hadir pada sesi taklimat itu adalah ketua pegawai eksekutif Teraju Husni Salleh dan wakil-wakil persatuan, dewan perniagaan, badan bukan kerajaan dan usahawan Bumiputera.
Ditanya bila jangkaan sasaran 30 peratus itu boleh dicapai, Menteri itu berkata Teraju akan mencari instrumen yang lebih berkesan dan menetapkan tempoh sasaran.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal bulan ini mengumumkan penubuhan Teraju bagi menyelaraskan isu-isu pembangunan ekonomi Bumiputera.
Menurut Mustapa selain meningkatkan pegangan ekuiti, Teraju turut ditugaskan untuk melihat kaedah bagi meningkatkan bilangan professional Bumiputera dan tenaga mahir di dalam syarikat awam.
"Kaedah yang berkesan turut dicari bagi meningkatkan pemilikan Bumiputera di dalam hartanah di bandar-bandar besar," kata Mustapa.
Subscribe to:
Posts (Atom)