Sunday, February 27, 2011
ASM rancang lancar 2 dana pelaburan tahun ini
ASM Investment Services Bhd. (ASM Investment) merancang melancarkan dua dana pelaburan pada separuh kedua tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Mohamed Zaki Nik Yusoff berkata, dua dana tersebut, iaitu dana pelaburan korporat dan dana pelaburan luar negara, masih dalam peringkat kajian.
"Dengan adanya dua dana tersebut, kita menjangka dapat menarik pelaburan berjumlah RM150 juta pada tahun ini berbanding hanya RM40 juta tahun lalu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Penghargaan Pelabur di Pejabat ASM Investment Wilayah Johor di Taman Molek, di sini baru-baru ini.
Turut hadir adalah Ketua ASM Investment Zon Selatan, Yaacob Mahmud dan Pengurus ASM Investment Wilayah Johor, Norsyah Nizam A. Aziz.
ASM Investment merupakan syarikat milik penuh Amanah Saham Mara Bhd. (ASMB) yang merupakan pelopor dalam pembangunan industri saham amanah tempatan.
Nik Mohamed Zaki berkata, pihaknya optimis untuk menubuhkan dana pelaburan di luar negara yang mana potensi pelaburannya besar lebih besar.
Katanya, sebagai permulaan, pihaknya lebih cenderung untuk melakukannya di negara-negara Asia seperti Indonesia dan Thailand sebelum ia diperluaskan ke Eropah.
Sehingga kini, ASM Investment mempunyai seramai 75,000 pelanggan di seluruh negara.
Pada majlis sama, pihaknya turut menyampaikan pampasan takaful kepada dua waris pelabur sebanyak RM75,578 dan membayar zakat serta tazkiah kepada Persatuan Kebajikan Darul Hanan berjumlah RM10,000.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment