Thursday, February 24, 2011

PLUS dinyah senarai Bursa Malaysia


PLUS Expressways Bhd. (PLUS) dijangka dinyah senarai daripada Busra Malaysia akhir September ini apabila para pemegang sahamnya bersetuju untuk menjual kepentingan syarikat itu kepada konsortium Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan UEM Group Bhd. (UEM).

Pengerusi PLUS, Tan Sri Mohd. Sheriff Kassim berkata, urus niaga itu akan diselesaikan menjelang akhir September manakala pembayaran kepada pemegang saham akan dibuat mulai awal bulan berkenaan.

"Kami menerima persetujuan daripada pemegang saham untuk membenarkan pengambilan alih kepentingan PLUS oleh konsortium berkenaan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat itu di sini.

EGM yang berlangsung selama kira-kira lima jam itu menyaksikan 'drama' apabila segelintir pemegang saham minoriti bertindak keluar dewan kerana tidak bersetuju dengan proses pengundian.

Mereka juga dikatakan menuduh proses pengundian dijalankan secara tidak adil.

Bagaimanapun dakwaan itu disangkal oleh Mohd. Sheriff dan Pengarah Bebas Kanan Bukan Eksekutif, Tan Sri K. Ravindran yang mengatakan prosiding pengundian dijalankan secara telus dan disahkan oleh jawatankuasa undang-undang.

"Mereka menuduh Ravi (K. Ravindran) mengganggu prosiding pengundian tetapi apa yang berlaku sebenarnya terdapat pemegang saham yang mencadangkan proses pengundian dilakukan secara pembuangan undi dan bukannya mengangkat tangan.

"EGM ini adalah sah mengikut undang-undang," katanya.

Mesyuarat yang diadakan di Menara Korporat Persada PLUS milik syarikat pengendali lebuh raya terbesar Asia Tenggara itu menyaksikan 99 peratus pemegang saham yang layak mengundi dan hadir ke EGM tersebut bersetuju untuk menjual kepentingan syarikat itu kepada KWSP dan UEM.

Menurut Mohd. Sheriff, kira-kira 32 peratus pemegang saham minoriti layak mengundi hari ini namun hanya 21 peratus sahaja yang hadir.

Sembilan puluh sembilan peratus persetujuan itu mewakili 1.067 bilion saham manakala pemegang saham terbesar PLUS yang memiliki kira-kira 68 peratus kepentingan di dalam syarikat itu, Khazanah Nasional Bhd., UEM Group Bhd. dan KWSP tidak layak untuk mengundi.

KWSP dan UEM bercadang untuk mengambil alih kepentingan dan liabiliti PLUS pada harga tawaran RM4.60 atau RM23 bilion secara keseluruhan.

Pengambil alihan PLUS akan dikendalikan oleh satu entiti pelaburan khas, yang mana 51 peratus pegangan syarikat akan dimiliki oleh UEM sementara 49 peratus lagi dipegang oleh KWSP.

Dalam pada itu, Ravindran berkata, proses pengundian yang dijalankan hari ini dilakukan selepas ahli lembaga pengarah bebas mendapati cadangan oleh UEM dan KWSP adalah adil dan perlu dibentangkan kepada semua pemegang saham.

"Kami tidak menjual PLUS, kami cuma menerima kertas cadangan mengenai pengambilan alih ini dan melakukan penilaian secara bebas.

"Kami tidak boleh memandang sebelah mata mengenai cadangan ini sebab itulah ia dibentangkan kepada para pemegang saham untuk mendapatkan persetujuan, " jelas beliau.

PLUS turut melantik penasihat bebas yang terdiri daripada Kumpulan AmInvestment Bank dan Goldman Sachs (Malaysia) Sdn. Bhd., mendapati tawaran oleh KWSP dan UEM adalah munasabah.

No comments:

Post a Comment