Monday, February 21, 2011
Bank Islam perkenal Debit-i Visa
Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) hari ini melancarkan kad pelbagai guna yang menggabungkan ciri-ciri mesin juruwang automatik (ATM) dan kad visa yang dinamakan Debit-i Visa Bank Islam.
Setiap individu yang berumur 15 tahun ke atas yang mempunyai akaun semasa atau akaun simpanan (CASA) dengan Bank Islam dan berkeupayaan penuh untuk menguruskan akaun mereka, layak memohon kad tersebut.
Pengurus Besar Perbankan Pengguna Bank Islam, Khairul Kamarudin berkata, melalui kad Debit-i ini, pelanggan Bank Islam dapat menikmati kemudahan transaksi tanpa tunai atau sebarang kesulitan di mana-mana sahaja terutamanya di tempat kad Debit-i ini diterima.
Katanya, jumlah peniaga yang terlibat menggunakan kad tersebut dianggarkan melebihi 24 juta di seluruh dunia.
''Ahli kad debit tersebut juga bakal menikmati rebat tunai sebanyak 0.5 peratus bagi belian runcit yang dilakukan dengan menggunakan kad Debit-i Visa Bank Islam.
''Rakyat Malaysia kini boleh mengakses deposit mereka dengan lebih baik di mana generasi muda dapat menikmati manfaat kad pembayaran yang berfungsi seperti kad kredit dan kad ATM,'' katanya.
Kad Debit-i Bank Islam ini membolehkan ahli kad mengeluarkan wang tunai di semua mesin ATM MEPS di Malaysia.
Tambah Khairul, bagi pengeluaran wang tunai di luar negara, ahli kad boleh melakukannya di mesin ATM yang memaparkan logo Visa Plus.
''Pelancaran kad Debit-i ini yang mana pembayaran ditolak secara automatik daripada CASA ahli kad debit berkenaan akan menambah baik portfolio khidmat pembayaran yang kami tawarkan kepada para pelanggan kami," ujarnya.
Menurut Khairul lagi, kad Debit-i Visa Bank Islam tersebut membolehkan ahli kad melaksanakan transaksi seperti pembayaran bil, makan di restoran, sumbangan amal, berbelanja secara dalam talian, pembelian petrol, transaksi Tabung Haji atau tempahan tiket dengan menggunakan dana mereka sendiri dan bukan secara kredit.
''Kad Debit-i ini menawarkan pelbagai faedah kerana tidak mengenakan syarat pada pendapatan individu dan tiada sebarang caj pembayaran lewat," tambahnya.
Selepas setiap transaksi, jumlah yang dipotong secara automatik daripada akaun ahli kad akan tertera dalam penyata akaun mereka dengan segera tanpa caj keuntungan untuk membolehkan pengurusan akaun yang lebih efektif oleh ahli kad.
Khairul memberitahu, kad Debit-i, Bank Islam turut menyokong inisiatif kerajaan untuk mempromosikan transaksi tanpa tunai melalui penggunaan kad Debit-i sebagai jaminan keselamatan dan kemudahan ahli kad.
''Kami yakin akan ada peningkatan yang ketara dalam jumlah transaksi tanpa tunai oleh ahli kad kami dengan pelancaran kad Debit-i Visa Bank Islam ini,'' katanya.
Dengan pelancaran kad Debit-i, Bank Islam menyasarkan untuk menjadi pengeluar kad debit berlandaskan syariah nombor satu di negara ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment