Thursday, February 24, 2011
ETCM catat pertumbuhan optimis
Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM), pengedar dan pemasang tunggal kenderaan Nissan di Malaysia, optimis tentang prospek pertumbuhan dengan pelaksanaan rancangan perniagaan jangka panjangnya.
"Di sebalik persaingan sengit di pasaran, kami telah berjaya memenuhi jurang pada segmen D (segmen keluarga besar) dan mengembangkan kehadiran serantau kami, terutamanya di pasaran baru muncul.
"Kami berada pada kedudukan yang selesa tahun ini," kata Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr Ang Bon Beng kepada Bernama.
Beliau berkata, 2010 adalah tahun yang baik bagi syarikat itu, dengan catatan RM3.5 bilion dalam perolehan dan RM322.7 juta untuk keuntungan sebelum cukai dengan segmen perniagaan Nissan sebagai penjana utama.
Beliau berkata, jualan pada separuh kedua 2010 adalah lebih lemah daripada enam bulan pertama, menunjukkan kerumitan untuk berubah dari gabungan jualan kenderaan komersial yang lebih tinggi kepada model penumpang yang kukuh.
"Prestasi keseluruhan kami menunjukkan pendekatan berdisiplin kami untuk melaksanakan pelan perniagaan jangka panjang walaupun ketika jumlah dagangan keseluruhan industri meningkat," Bon Beng.
Beliau berkata, 2011 akan menjadi tahun yang cemerlang dengan pengenalan model baharu bagi ETCM, berikutan pasaran yang lebih rancak.
"Berdasarkan tempahan tertunggak pada suku keempat 2010 dan trafik bilik pameran yang tinggi, ETCM terus berada pada kedudukan selesa untuk mengambil peluang daripada kedua-dua trend ekonomi tempatan dan serantau," katanya.
Beliau berkata, Vietnam, Kemboja dan Laos, ketiga-tiga negara itu akan menyumbang kurang daripada 10 peratus kepada volum syarikat pada 2011.
"Kami berharap mendapat keuntungan yang lebih tinggi menjelang akhir tahun dan meningkatkan jumlah dagangan sebaik sahaja kilang kami di Danang siap dibina pada 2012," katanya.
Mengenai model ETCM yang paling laris, Bon Beng berkata pada akhir tahun lepas, Grand Livina dan Sylphy adalah model yang paling banyak terjual, mewakili separuh daripada semua kereta Nissan yang terjual di negara ini.
Tetapi pada Januari 2011, Nissan Teana baharu menguasai 28 peratus pasaran dan kini, walaupun selepas Tahun Baru Cina, ia masih mencatatkan tempahan rekod setiap bulan, katanya.
Nissan Teana dilancarkan pada 23 November tahun lepas dan penjualan terbanyaknya direkodkan pada awal 2011.
Mengenai cabaran, Bon Beng berkata, terdapat banyak risiko yang tidak diambil kira.
"Malaysia adalah pasaran yang kecil dan terdapat risiko inflasi. Tetapi semua orang memberikan pandangan baik, dan apabila semua orang mempertahankan hujah yang sama, ia adalah senario yang sesuai untuk kejutan negatif.
"Kami bersedia untuk perubahan!" katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment