Monday, February 21, 2011
Usaha SPNB membantu golongan muda dan pasangan baru kahwin memiliki rumah
Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) telah mengenal pasti beberapa buah institusi kewangan tempatan yang akan menyediakan pakej pinjaman bagi bayaran pendahuluan pinjaman perumahan.
Pengerusi SPNB, Datuk Ir. Idris Haron berkata, institusi kewangan terbabit kini dalam proses menyediakan terma dan syarat, termasuk kadar faedah yang berpatutan bagi pakej pinjaman tersebut.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan nama institusi kewangan terbabit buat masa ini.
''Usaha SPNB ini akan membantu golongan muda atau pasangan baru kahwin yang ingin memiliki rumah sendiri tetapi tidak ada wang tunai bagi menjelaskan bayaran pendahuluan pinjaman perumahan.
''Ia merupakan skim pembelian rumah tanpa bayaran pendahuluan yang diperkenalkan oleh SPNB sejak tahun lalu bagi merangsangkan
jualan kira-kira 11,000 buah rumah mampu milik yang telah siap dibina di seluruh negara," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
SPNB yang ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (Mof Inc.).
Rumah mampu milik yang seluas antara 800 hingga 1,000 kaki persegi itu dijual pada harga antara RM80,000 hingga RM120,000 untuk kos rendah manakala RM120,000 ke atas bagi kos sederhana.
Rumah tiga bilik tidur itu dilengkapi dengan dua bilik air.
Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengakui bahawa melalui usaha itu para pembeli akan mempunyai dua pakej pinjaman yang berbeza iaitu bayaran pendahuluan dan pinjaman perumahan.
''Kalau dilihat secara kasar, memanglah usaha itu akan membebankan para pembeli tetapi sebenarnya tidak jika diteliti berdasarkan harga jualan rumah kami.
''Walaupun bayaran bulanannya mungkin lebih tinggi sedikit berbanding dengan menyewa tetapi ia berbaloi bagi mereka yang ingin memiliki rumah sendiri," katanya.
Labels:
usaha spnb
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment