Thursday, February 24, 2011
Keuntungan Air Asia melebihi RM1 bilion
AirAsia Bhd. mencatat keuntungan bersih tertinggi sepanjang penubuhannya sebanyak RM1.07 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Tony Fernandes yang gembira dengan keputusan itu menganggap ia adalah satu pencapaian yang sangat luar biasa.
"Kami sangat gembira, bukan sahaja kerana AirAsia mencatat keuntungan malah kami juga memecah rekod keuntungan melebihi RM1 bilion," katanya di dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau kekukuhan aliran tunai kumpulan iaitu RM1.5 bilion mengurangkan kadar gearan (nisbah hutang kepada ekuiti) kepada 1.75 kali berbanding 2.57 kali setahun lalu.
"Syarikat berada di posisi terbaik terutamanya dari segi kewangan yang mampu menyediakan asas kukuh kepada perluasan dan pertumbuhan pada 2011," tambah Fernandes.
Prestasi cemerlang sepanjang tahun disokong oleh keputusan kewangan kukuh pada suku keempat yang mana ia telah mencipta rekod-rekod baharu kepada kumpulan.
Antaranya, perolehan RM1.19 bilion pada suku tersebut, keuntungan bersih RM316.55 juta, faktor muatan yang meningkat kepada 82 peratus berbanding 79 peratus utnuk tempoh yang sama tahun lalu.
Selain itu, menurut Fernandes, sumbangan pendapatan sampingan juga meningkat, sejajar dengan pertumbuhan penumpang.
"Masih banyak lagi potensi di dalam pendapatan sampingan dan kami sentiasa mencari peluang untuk menambahnya," ujar beliau lagi.
Fernandes turut mengunjurkan prestasi tahun ini akan lebih baik berbanding sebelumnya.
"Kami yakin dengan prestasi syarikat terutama dengan pelan perluasan rangkaian laluan dan laluan utama disokong oleh penerimaan lapan pesawat Airbus, A320 dan pembukaan tiga hab di Kuching, Chiang Mai dan Medan, " katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment