Thursday, February 24, 2011
Axiata mengumumkan dividen pertama 10 sen sesaham
Axiata Group Bhd. (Axiata) mengumumkan dividen pertamanya sebanyak 10 sen sesaham (satu peringkat) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim berkata, pengurusan modal yang cekap membolehkan Kumpulan mencatat aliran tunai bebas positif pada tahun lepas serta kunci kira-kira kukuh membolehkan kumpulan menawarkan gabungan pertumbuhan dan juga dividen.
''Pembayaran (dividen) sebanyak 32 peratus melebihi sasaran awal sebanyak 30 peratus.
''Dividen ini berdasarkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) normal Kumpulan adalah tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan (AGM) nanti,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat media mengenai prestasi kewangan Kumpulan berakhir 31 Disember 2010, di sini hari ini.
Kedudukan tunai akhir tahun Kumpulan meningkat sebanyak 3.1 kali dan mencecah RM6.3 bilion.
Manakala nisbah hutang kasar berbanding pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kini adalah 1.5 kali berbanding 2.3 kali setahun yang lalu.
Sementara itu, EBITDA Axiata melonjak sebanyak 30 peratus kepada RM7.1 bilion, PATAMI meningkat sebanyak tujuh peratus kepada RM1.8 bilion berikutan pelarasan perakaunan FRS 139.
Keuntungan sebelum cukainya meningkat kepada RM3.205 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 201 berbanding RM2.66 bilion sebelumnya.
Perolehan pula meningkat sebanyak 17.3 peratus kepada RM15.62 bilion berbanding RM13.31 bilion.
Jamaludin berkata, walaupun Kumpulan akan berhadapan persaingan sengit, ia menjangkakan prestasi kewangan lebih baik pada tahun ini dengan EBITDA kekal pada paras 45 peratus.
''Pada tahun lalu, pengurusan kos efektif telah berjaya menjimatkan lebih RM800 juta dan terdapat ruang untuk dibaiki bagi struktur kos.
''Penambahbaikan dapat dilihat bagi prestasi bagi XL (Indonesia), Celcom Axiata (Malaysia) dan Dialog (Sri Lanka) yang bertambah baik,'' jelasnya.
Asas pelanggan juga dijangka terus tumbuh dengan kukuh, terutama di pasaran pesat membangun seperti Bangladesh dan India, tambahnya.
Bergerak ke hadapan, Jamaludin berkata, data merupakan pemacu kepada pertumbuhan pada masa hadapan terutama di pasaran matang.
''Celcom dan XL telah menyaksikan sumbangan data kepada pertumbuhan perolehan berbanding setahun lalu dan akan terus tumbuh pada tahun 2011,'' katanya.
Kumpulan dijangka membelanjakan RM3.3 bilion bagi perbelanjaan modal (Capex) sebanyak RM3.3 bilion pada tahun ini.
Dari jumlah itu, RM1 bilion adalah untuk Celcom dan RM1.7 bilion bagi XL, selebihnya adalah kepada bahagian operasi yang lain.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment