Wednesday, February 23, 2011

MFA sasar peningkatan francais berdaftar.


Persatuan Francais Malaysia (MFA) menjangkakan pertumbuhan dua digit bagi bilangan francais berdaftar dengannya pada tahun ini.

Setiausaha Agungnya, Hasma Ahmad berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, MFA telah memperkenalkan beberapa program dan strategi terbaharu serta menjalin kerjasama dengan beberapa institusi kerajaan dan swasta.

Menurutnya, hari ini MFA telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysia Productivity Corp. (MPC) bagi memperkenalkan program Platform Jaringan Perniagaan (BNP) yang bakal melahirkan lebih ramai francaisor bertaraf lima bintang.

''MPC berperanan menyediakan program pendedahan yang sistematik kepada francaisor yang menerapkan elemen pembangunan secara berkumpulan.

''Program ini juga menjadi penanda aras prestasi yang penting kepada sesebuah syarikat yang akan dijadikan rujukan untuk proses penambahbaikan pada masa depan,'' katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Pemangku Pengarah MFA, Abdul Malik Abdullah, Ketua Pengarah MPC, Mohd Razali Hussain dan Pengarah Kanan MPC, Shahuren Ismail.

Hasma berkata, bagi merancakkan perkembangan industri francais tahun ini, MFA telah menggariskan empat strategi utama iaitu perubahan ke arah francaisi, penjenamaan, francaisi berganda dan francaisi mikro.

Katanya, perubahan ke arah francaisi bermaksud menggalakkan lebih banyak syarikat yang mengamalkan sistem francais tetapi tidak mendaftarkan diri sebagai francaisi untuk mendapat insentif yang lebih baik.

Francaisi berganda pula adalah proses pemberian kebenaran kepada francaisor untuk mengendalikan lebih daripada satu cawangan bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Manakala francaisi mikro adalah sistem yang paling mudah dan murah untuk dikembangkan dan secara tidak langsung mampu melahirkan lebih ramai usahawan muda, katanya.

Beliau berkata, francaisi mikro semakin diminati apabila syarikat besar mula membuka cawangan kecil secara francais seperti Carrefour, Mydin dan beberapa lagi perniagaan yang diusahakan syarikat tempatan.

''Ia tidak memerlukan modal yang terlalu besar dan ini mampu memberi peluang kepada graduan menganggur untuk menjana pendapatan sendiri.

''Jika pihak francaisi menyediakan cara yang sistematik kepada francaisor maka sistem ini dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk berkembang tahun ini,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment