Thursday, February 24, 2011
NAZA tubuh kolej automotif
Kumpulan Naza (Naza) dan HELP International Corporation Bhd. (HELP) merancang menubuhkan kolej automotif bagi melahirkan tenaga kerja dalam sektor automotif di negara ini dan rantau Asia Tenggara.
Kolej tersebut akan menawarkan pelbagai kursus kejuruteraan automotif seperti reka bentuk kereta, enjin, teknologi hijau serta pengurusan perniagaan dan pemasaran.
Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, kolej tersebut akan dibina di tiga lokasi iaitu Kuala Lumpur, Gurun (Kedah) dan di Iskandar Malaysia, Johor.
Menurutnya, penubuhan kolej itu dapat meningkatkan bilangan tenaga mahir sektor automotif di negara ini dan siswazah kolej berkenaan boleh bekerja dengan Naza.
"Bagaimanapun siswazah tersebut tidak terikat dengan Naza dan bebas mencari pekerjaan sendiri," katanya pada majlis menandatangani kerjasama antara kedua-dua pihak di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengasas dan Presiden HELP, Datuk Dr. Paul Chan; Pengarah Perancangan Korporat HELP, Adam Chan; Pengarah Perancangan Strategik dan Hubungan Korporat HELP, Lim Hock Chye; Pengarah Urusan Naza TTDI, SM Faliq SM Nasimuddin dan Penolong Pengurus Besar Kewangan Korporat Naza, Ahmed Fairuz.
Katanya, keduia-dua pihak akan melabur sebanyak RM25 juta untuk tempoh lima tahun bagi menaiktaraf beberapa kampus terutamanya di Johor yang belum disiapkan.
Kampus di Kuala Lumpur dan Gurun sedia untuk digunakan dan pengambilan pertama yang membabitkan 300 pelajar akan dilakukan pada suku tahun keempat 2011.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment