Wednesday, February 23, 2011
EGM PLUS di ambang kejayaan.
Mesyuarat agung luar biasa PLUS Expressways Bhd. (PLUS) esok berada diambang 'kejayaan' di mana para pemegang saham minoriti dijangka mengundi menerima bidaan UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Persekutuan (KWSP) untuk mengambil alih kesemua aset dan liabiliti PLUS.
Para penganalisis dan ahli perbankan berulang kali berkata, harga RM4.60 adalah munasabah dan menyeru para pemegang saham untuk menerima tawaran itu.
Para pemegang saham minoriti seperti Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Lembaga Tabung Haji dan Permodalan Nasional Bhd. kemungkinan mengundi menerima tawaran itu.
Keputusan untuk menjadikan PLUS syarikat persendirian dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau mengumumkan bajet negara 2011 pada tahun lepas di mana beliau turut membekukan kesemua kenaikan tol empat lebuh raya yang dimiliki PLUS bagi tempoh lima tahun akan datang.
Langkah kerajaan itu bertujuan membuka laluan bagi pengurangan kadar tol dan ini akhirnya memberi kesan kepada paras keuntungan yang biasa dinikmati PLUS sejak beberapa tahun lepas.
Para pemerhati industri berkata, kerajaan kelihatan menyuraikan model ekonomi lama - tanpa membayar ganti rugi kepada pemegang konsesi dan membekukan kenaikan tol yang ditukar kepada lanjutan tempoh konsesi lebih panjang.
Sebelum ini, kerajaan telah membayar pengendali ganti rugi tunai dan seterusnya melanjutkan tempoh konsesi masing-masing sebagai pertukaran bagi membolehkan mereka mengekalkan kadar tol sedia ada.
Para pemerhati berkata, bahawa model sebelum ini tidak mampan bagi tempoh jangka panjang berikutan pengawalan dasar fiskal.
Mereka berkata, perundingan semula konsesi dengan PLUS adalah usaha berterusan kerajaan, yang telah turut merundingkan semula dengan pemegang konsesi yang lain bagi meringankan bebanan pengguna jalan raya.
Jumaat lalu, tol di plaza tol Petaling Jaya Selatan 2 (PJS2) di sepanjang Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE) dekat Kampung Medan di Petaling Jaya telah dikurangkan kepada RM1 daripada RM1.60 sebelum ini.
Sementara itu, MTD Capital mencadangkan pembekuan tol pada dua daripada lebuh rayanya tanpa ganti rugi dan konsesi tol di lebuh raya ketiga milik MTD akan dihapuskan pada Mei, iaitu lebih awal daripada tarikh tamatnya pada 2018.
Dengan kecenderungan kerajaan menyemak semula konsesi tol yang dilihat berat sebelah, terutama kepada kerajaan dan para pengguna, persoalan paling utama pada fikiran para pemegang saham minoriti PLUS ialah sama ada harga tawaran RM4.60 merupakan cerminan asas saham itu.
Ramai penganalisis dan syarikat pelaburan menyeru para pemegang saham minoriti untuk mendapatkan tunai kerana harga tawaran RM4.60 menyaksikan mereka menerima keuntungan lumayan.
Penganalisis Hoy Ken Mak dari AmResarch berkata, tawaran RM4.60 disifatkan sebagai adil dan berada bawah nilai berpatutan RM4.72.
Ken Mak berkata, PLUS adalah stok dagangan yang baik tetapi perlu berhati-hati kerana penghasilan 4.0 hingga 5.0 peratus tidak lagi lumayan dan sumbangan daripada usahasama seberang laut tidak lagi signifikan.
Bernard Ching dari ECM Libra menasihati para pelabur supaya mengeluarkan keuntungan berikutan ketidaktentuan berterusan pengambilalihan itu, tempoh matang yang panjang untuk menyelesaikan proses tersebut dan peluang kos di tengah-tengah rali pasaran semasa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment