Wednesday, February 23, 2011
Pergolakan politik Timur Tengah dan Afrika Utara akibat kejatuhan saham dunia
Pasaran saham dunia termasuk Malaysia diramal terus mengalami kejatuhan sekiranya pergolakan politik yang berlaku di Timur Tengah dan Afrika Utara 'berjangkit' di negara-negara berhampiran yang lain.
Krisis itu telah menyaksikan kejatuhan pasaran saham Asia semalam termasuk Tokyo sebanyak 35.38 mata, Singapura (51.48 mata), Jakarta (46.54 mata), Manila (53.37 mata), Hong Kong (494.61 mata), China (76.73 mata) dan Kuala Lumpur (12.22 mata).
Malah, pasaran saham Eropah juga menerima tempias dengan UK's FTSE 100 susut 1.1 peratus, Germany's DAX jatuh 0.6 peratus dan France CAC 40 pula merudum 1.4 peratus.
Para penganalisis ekonomi tempatan membayangkan keadaan akan lebih terjejas sekiranya ia membabitkan lebih banyak negara pengeluar utama minyak dunia.
Ketidaktentuan pasaran saham itu berlaku disebabkan fenomena yang bermula daripada kenaikan inflasi ekoran peningkatan harga makanan dan diburukkan lagi oleh ketegangan yang berlaku di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Ketua Penyelidik Jupiter Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, pergolakan yang berterusan itu menyukarkan ramalan sama ada pasaran akan terjejas dalam tempoh singkat atau jangka panjang.
Beliau menyifatkan kejatuhan pasaran saham dunia akibat panik di kalangan pelabur.
''Kalau pergolakan yang berlaku dapat diselesaikan, kejatuhan pasaran saham mungkin sementara tetapi jika berlarutan dan terus berjangkit di negara-negara lain, ia akan memberi kesan negatif jangka panjang.
''Sekiranya, berlarutan dan membabitkan banyak lagi pergolakan di negara-negara pengeluar minyak ia akan memberi kesan serta-merta kerana membabitkan pembekalan emas hitam itu.
''Keadaan sekarang sukar diramalkan kerana kejadian-kejadian di luar jangkaan ini tidak terdapat dalam mana-mana data ekonomi, ia berlaku secara tiba-tiba,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejatuhan saham-saham utama serantau hari ini.
Tambahnya, seperti di Libya, kebanyakan firma-firma syarikat minyak telah mula mengeluarkan pekerja-pekerja mereka, sekali gus memberikan gambaran negatif akan keadaan di sana.
Jelas beliau, yang paling membimbangkan adalah sekiranya pergolakan yang berlaku menjejaskan pembekalan emas hitam dan mengakibatkan harga emas hitam itu terus melonjak.
Kenaikan harga minyak akan memburukkan lagi keadaan terutama di negara-negara yang mengalami kenaikan kadar inflasi.
''Jika berterusan negara terbabit kemungkinan terpaksa mengambil dana asing,'' ujarnya.
Ketua Ekonomi dan Perancangan Strategik Bank Islam Malaysia Bhd., Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkata, trend kejatuhan pasaran saham dunia yang berlaku ketika ini sukar diramalkan selagi pergolakan yang berlaku tidak dapat ditangani segera.
Menurutnya, kemelut itu telah menyebabkan harga pasaran minyak dunia tidak stabil, secara langsung menyumbang kepada kenaikan harga komoditi lain.
"Percayalah krisis ini akan mengakibatkan tekanan dalam inflasi dunia,'' ujar beliau.
Sementara itu, tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam menyifatkan kejatuhan beberapa pasaran saham utama dunia berpunca daripada kerisauan kebanyakan pihak terhadap kenaikan harga minyak dunia.
''Ia sekali gus menganggu operasi perniagaan dan akhirnya memberi impak kepada pasaran saham.
''Bagaimanapun, jika keadaan politik kembali stabil, saya yakin pasaran saham akan kembali seperti biasa," katanya.
Tambahnya, meskipun kebanyakan pelabur panik tetapi pada masa sama ia memberikan faedah kepada pembeli saham kerana harga saham kini lebih rendah.
Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (Pribumi), Huda Ikhwan turut menyifatkan kejatuhan pasaran saham di beberapa negara dunia tidak memberi kesan yang teruk.
Beliau tidak menolak kemungkinan trend kejatuhan itu mungkin berlaku dalam tempoh yang singkat, antara seminggu atau dua minggu lagi.
Selain itu, Huda menambah, sentimen dunia terhadap pasaran Amerika Syarikat semakin bertambah sejak akhir-akhir ini, turut memberi tekanan pasaran saham di negara-negara serantau.
''Di sebalik kejatuhan pasaran saham di negara-negara dunia hari ini, prestasi pasaran saham di Amerika Syarikat pula terus meningkat,'' katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment