Thursday, September 30, 2010

DUIT RAYA UNTUK MENGEKALKAN KEPIMPINAN


TDM Bhd. (TDM) menjelaskan pemberian elaun 'Duit Raya' kepada enam Pengarah dan Pengerusinya adalah mengikut kemampuan syarikat dan bertujuan menarik dan mengekalkan bakat kepimpinan sedia ada dalam syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badrul Hisham Mahari berkata, pembayaran elaun tersebut berdasarkan empat faktor berkaitan pembayaran pampasan, ketelusan, jumlah kos agensi (Ahli Lembaga Pengarah) dan pertumbuhan kekayaan pemegang saham.

"Seperti keseluruhan pihak pengurusan syarikat, Ahli Lembaga Pengarah juga mesti diberikan pampasan. Biarpun penggunaan istilah dan keadaan semasa (musim perayaan) ketika pemberian diumumkan, ia perlulah dilihat dalam konteks domain syarikat semata-mata.

"Keputusan ini adalah sesuatu yang wajar memandangkan peningkatan pengeluaran dan keuntungan syarikat, hutang yang berjaya dilangsaikan dan penambahan 25,000 hektar tanah di milik syarikat termasuk di Kalimantan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Hadir pada sidang akhbar itu ialah Pengerusinya, Datuk Roslan Awang Chik dan Pengurus Akaun, Amir Mohd. Hafiz Amir Khalid.

Laporan media hari ini melaporkan, tujuh daripada sembilan resolusi yang dibawa dalam mesyuarat semalam telah diluluskan termasuklah resolusi pemberian elaun 'duit raya' kepada enam ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusinya yang berjumlah RM58,000.

Dalam resolusi itu, 99.6 peratus daripada pemegang saham menyokong resolusi tersebut.

Jelas Badrul Hisham lagi, pemberian elaun itu selaras dengan pengukuhan keuntungan dan prestasi syarikat dalam tempoh sepuluh tahun.

Dalam pada itu Roslan Awang berkata, pemberian duit raya itu bukan merupakan kewajipan yang perlu dilakukan setiap tahun tetapi ia hanya diberika

Tuesday, September 28, 2010

PENIAGA DISERU MENJADI AHLI PERDASAMA


Para peniaga dari pelbagai bidang di Wilayah Persekutuan diseru menjadi ahli Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama).


Menurut Setiausaha Perdasama Cawangan Wilayah Persekutuan, Ir. Mohamed Hassan KB Hamzah, mereka perlu bergabung dalam satu persatuan supaya suara mereka mudah didengar.


"Dengan menjadi ahli Perdasama, kebajikan mereka dijaga," kata beliau kepada Minda Niaga di pejabat Perdasama di Wangsa Maju petang ini.


Sehubungan dengan itu, beliau berkata yuran menjadi ahli amat murah iaitu bagi usahawan yang ada syarikat persendirian ialah sebanyak RM30 setahun dan bagi usahawan yang ada syarikat sdn berhad ialah sebanyak RM50 setahun.


"Kami akan membantu ahli supaya mereka mudah mendapat pinjaman dari mana-mana institusi kewangan bagi mereka yang menghadapi masalah kewangan," katanya lagi.


Katanya, bila bersendirian susah bank mahu tolong usahawan. Sebaliknya, katanya lagi, melalui persatuan mudah persatuan memberi surat sokongan kepada mana-mana institusi kewangan.


Ikutilah rencana penuh mengenai Perdasama dalam keluaran sulung Minda Niaga bulan Oktober ini.

Monday, September 27, 2010

SEGMEN PINJAMAN PERIBADI RM22 BILION


Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) menyasarkan segmen pinjaman peribadi mencecah sehingga RM22 bilion bagi tahun ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, sehingga Ogos lalu, jumlah pinjaman peribadi yang telah diluluskan adalah sebanyak RM14 bilion.

"Seiring itu, kita menyasarkan peningkatan jumlah peminjam dalam segmen pinjaman peribadi kepada sejuta orang sehingga hujung tahun.

"Setakat ini, daripada 1.5 juta pelanggan kami, 900,000 daripadanya melakukan pinjaman peribadi ketika ini," katanya selepas merasmikan cawangan baru Bank Rakyat kawasan Selayang di Menara Korporat KIP di sini semalam.

Turut hadir ialah pengurus cawangan Mohd. Shaifuddin Abdullah dan Penolong Pengurus Besar Operasi, Baharom Embi.

Jelas Kamaruzaman, nilai pinjaman yang diluluskan sehingga Ogos sudah melepasi peruntukan tahunan bagi segmen pinjaman peribadi yang ditetapkan.

Ditanya mengenai pertumbuhan prestasi syarikat ini, beliau menjangkakan pertumbuhan dua angka berbanding tahun lalu.

Separuh tahun pertama sehingga 30 Jun lalu, keuntungan yang dicatatkan oleh Bank Rakyat adalah RM828.6 juta dan aset bernilai RM55.81 bilion. Pembukaan cawangan ini adalah bagi menggantikan operasi cawangan lama di Taman Desa Bakti.

Menurut Kamaruzaman, kos pembukaan dan pengubahsuaian cawangan itu bernilai RM1 juta.

Jelasnya, Bank Rakyat turut bercadang membuka lapan lagi cawangan baru di Petrajaya, Serian dan Limbang (Sarawak), Putatn, Semporna dan Kota Marudu (Sabah), Bentong (Pahang) dan Kerteh (Terengganu) tahun ini.

Sunday, September 26, 2010

ZYMTECH GUNA BIOTECHNOLOGY PERTAMA DI MALAYSIA


Zymtech Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat multi-level marketing (mlm) yang dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera. Ia merupakan sebuah mlm yang pertama di Malaysia menggunakan biotechnology di mana pati utama produknya ialah enzim.


Justru itu Zymtech telah mengeluarkan empat produk yang boleh menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk kencing manis, darah tinggi dan kanser. Ia menggunakan buah-buahan dan sayur-sayuran yang dicampur dengan ginseng.


Sabtu lalu, Zymtech mengadakan majlis meraikan ahli-ahlinya yang kini meningkat 3,000 orang ahli di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Turut hadir di majlis itu ialah Pengerusi Eksekutif Zymtech, Datuk Harun Idris dan pengarah urusannya, Datuk Najib Kamaruddin.


Menyerikan lagi majlis itu ialah duta Zymtech, Datuk Dr. Sheikh Muzafar yang merupakan angkasawan Malaysia yang pertama. Sepanjang ucapannya selama setengah jam, Dr. Sheikh Muzafar menceritakan pengalamannya berada di angkasa. Beliau juga menjelaskan kenapa memilih Zymtech sebagai duta produknya kerana ia menggunakan biotechnology.


Selain itu, emcee majlis, Rahmat Mega turut menyanyi dua buah lagu yang pernah popular pada tahun 90an dahulu.

Friday, September 24, 2010

SP SETIA CAPAI JUALAN RM1.95 BILION


SP Setia Bhd. (SP Setia) berjaya mencapai jualan sebanyak RM1.95 bilion sehingga 31 Ogos lalu, sekali gus yakin mampu melepasi sasaran jualan 2010 yang diunjurkan RM2 bilion dalam tempoh dua bulan lagi.

Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, nilai jualan 10 bulan pertama telah melebihi nilai jualan tertinggi iaitu RM1.65 bilion yang direkodkan pada 2009, peningkatan sebanyak 18 peratus.

Menurutnya, SP Setia mencatatkan pengukuhan jualan sejak awal dengan sejumlah RM590 juta diperoleh pada suku ketiga dan jualan kumulatif sembilan bulan sebanyak RM1.8 bilion.

Projek-projek kediaman yang menyumbang penjualan SP Setia ialah Setia Alam dan Setia Eco-Park di Shah Alam, SetiaWalk di Pusat Bandar Puchong, Setia Sky Residences, dekat Jalan Tun Razak, Bukit Indah, Setia Indah, Setia Tropika dan Setia Eco Gardens in Johor Bahru, Setia Pearl Island dan Setia Vista di Pulau Pinang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Tan Sri Liew Kee Sin berkata, hasil proaktif syarikat itu yang menyasarkan penguasaan pasaran dalam kediaman mewah dan sektor bersepadu komersial serta tumpuan kepada segmen kediaman bertanah telah membuahkan hasil.

''Meskipun semasa keadaan ekonomi tidak menentu, SP Setia meneruskan pelaburan besar dalam memperbaiki keperluan dan infrastruktur bagi semua pembangunannya.

''Ini termasuk pelaburan pasar raya Tesco di Bukit Indah, Johor, pusat komersial Setia City Connect di Setia Tropika dan Setia City Mall di Shah Alam,'' tambahnya.

Jelasnya, pelaburan itu membuktikan janji SP Setia yang akan terus meningkatkan nilai kepada para pembeli kediamannya, tanpa mengira situasi ekonomi.

Hasilnya, kata beliau, hartanah yang dibangunkan oleh syarikat itu telah menyaksikan peningkatan harta ketara.

Thursday, September 23, 2010

NILAI EKSPORT KOKO MENINGKAT RM3.5 BILION


Nilai eksport koko Malaysia dijangka meningkat kepada RM3.5 bilion pada tahun ini berbanding RM3.22 bilion pada 2009 berikutan pertumbuhan pasaran, khususnya di Eropah.

Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr. Azhar Ismail berkata, permintaan luar negara terhadap industri koko negara ini meningkat terutamanya daripada negara-negara Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.

''Bagi menggalakkan eksport, beberapa persepsi negatif terhadap koko perlu ditangani," katanya pada sidang akhbar Rancangan Masakan Majalah Inspirasi Koko musim kelima di sini, hari ini.

Antara persepsi negatif itu ialah koko boleh menyebabkan kerosakan gigi dan kualiti coklat luar negara seperti dari Switzerland adalah lebih baik berbanding buatan Malaysia.

Pada tahun lalu, pendapatan eksport biji koko dan produk-produk koko dianggarkan berjumlah RM3.22 bilion dan nilai import pula sebanyak RM3 bilion.

Azhar berkata, industri koko tempatan perlu memberi tumpuan terhadap pasaran Eropah kerana terdapat pertumbuhan pasaran yang tinggi di benua tersebut selain disokong oleh bilangan penduduk ramai.

''Pasaran tempatan mengalami pertumbuhan antara dua hingga tiga peratus setahun manakala pertumbuhan pasaran Eropah pula antara lima hingga 15 peratus setahun . Oleh itu terdapat banyak peluang," ujarnya.

Sementara itu, Azhar meminta orang ramai agar membuang tanggapan-tanggapan negatif yang sering dikaitkan dengan produk-produk koko seperti kegemukan, sakit gigi, jerawat, kolestrol dan sebagainya.

"Sehubungan itu, LKM menerbitkan rancangan demonstrasi masakan berasaskan koko di televisyen atau dikenali sebagai 'Inspirasi Koko' yang akan ditayangkan di saluran RTM2 pada setiap hari Ahad selama 30 minit dalam tempoh 13 minggu.

"Program ini merupakan antara strategi jangka panjang yang dijalankan LKM untuk mendidik dan menyebar maklumat dan pengetahuan yang tepat tentang khasiat dan kebaikan semulajadi koko," katanya.

Wednesday, September 22, 2010

TARIF ELEKTRIK DIJANGKA KEKAL


Tarif elektrik dijangka kekal pada kadar semasa memandangkan tiada sebarang penilaian dilakukan untuk menaikkan kadar tersebut setakat ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, tarif elektrik masa kini masih boleh dikekalkan kerana nilai dolar Amerika Syarikat (AS) dalam pasaran juga telah jatuh.

"Kejatuhan nilai dolar AS sedikit sebanyak telah memberikan kelebihan kepada negara kerana kos perbelanjaan penjanaan tenaga elektrik yang selama ini dijalankan menggunakan mata wang tersebut dapat dikurangkan.

"Jika kos perbelanjaan penjanaan tenaga elektrik dapat dikurangkan, bermakna tiada sebab untuk menaikkan tarif sedia ada dan saya jangka ia akan dikekalkan buat masa ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Majlis Mesra Aidilfitri TNB di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie serta Naib Presiden (Hal Ehwal Korporat) TNB, Adelina Iskandar.

Menurut Khalib, pengekalan tarif itu turut bergantung kepada beberapa faktor seperti keadaan serta harga pasaran semasa arang batu yang menjadi bahan bakar sesetengah loji penjana kuasa elektrik.

Katanya, buat masa ini, kedudukan ringgit yang semakin kukuh di pasaran berbanding dolar AS menyebabkan kos untuk membeli arang batu berkurangan.

"Segala urusan pembelian arang baru dilakukan menggunakan dolar AS dan kejatuhan nilai mata wang tersebut telah menjimatkan kita untuk membeli sumber tersebut," katanya.

Bagaimanapun, katanya, tarif elektrik itu boleh berubah pada masa depan kerana faktor perubahan dalam harga arang baru dan nilai mata wang.

Beliau berkata, walaupun harga arang batu meningkat pada masa akan datang, selagi nilai ringgit kukuh, kos perbelanjaan pembelian arang batu masih dapat ditampung.

"Jika kita dapat mengekalkan serta mengukuhkan lagi nilai ringgit dan dalam masa yang sama nilai dolar AS pula merudum, kita tidak akan menghadapi masalah untuk menampung perbelanjaan penjanaan tenaga elektrik dan mungkin tarif sedia ada dapat dikekalkan,'' katanya.

Tuesday, September 21, 2010

NAJIB HADIRI HARI TERBUKA ETP


Datuk Seri Najib Tun Razak semalam meluangkan masa kira-kira sejam menghadiri Hari Terbuka Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Perdana Menteri yang tiba pada pukul 3 petang berkesempatan melawat kesemua 12 ruang pameran makmal Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk melihat dengan dekat pelan-pelan transformasi yang dirangka bagi melonjakkan ekonomi negara.

Makmal berkenaan terdiri daripada makmal berkaitan Minyak, Gas dan Tenaga, Minyak sawit, Perkhidmatan Kewangan, Pelancongan, Perkhidmatan Perniagaan, Elektrik dan Infrastruktur, Pertanian dan akhir sekali Greater Kuala Lumpur.

Di setiap ruang pameran berkenaan, Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira lima minit untuk mendengar penerangan ringkas mengenai keputusan setiap makmal.

Kehadiran beliau yang diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala menarik perhatian pengunjung hari terbuka yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman atau merakamkan gambar kenangan.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K. Devamany.

Selepas hari terbuka di sini, Pemandu akan menganjurkan acara yang sama di Hotel Sheraton, Kuching, Sarawak pada 4 Oktober ini diikuti di Hotel Magellan Sutera Harbour, Kota Kinabalu, Sabah pada 7 Oktober.

ETP merupakan sebahagian daripada agenda komprehensif ekonomi merangkumi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), Model Ekonomi Baru (MEB) dan prinsip-prinsip 1Malaysia iaitu 'Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan'.

Sementara itu, NKEA pula merupakan pemacu aktiviti ekonomi yang mempunyai potensi untuk terus menyumbang kepada satu amaun yang dapat mengkuantifikasikan pertumbuhan ekonomi negara.

Kajian yang dilakukan 12 makmal berkenaan disertai lebih 500 peserta daripada 200 syarikat swasta, agensi kerajaan, badan perundangan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ia merupakan susulan kepada bengkel membabitkan ribuan rakyat yang bersidang pada Mei lalu yang mencapai kata sepakat mengenai sektor-sektor utama kepada pertumbuhan ekonomi.


Sunday, September 19, 2010

MAS DI TEMPAT KETUJUH DI SELURUH DUNIA


Kedudukan Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) naik satu tangga untuk bertapak di tempat ketujuh dalam senarai tinjauan pendapat umum mengenai Pelancongan 2010 bagi kategori 10 syarikat penerbangan terbaik di seluruh dunia yang dijalankan oleh majalah pelancongan bagi Asia, Smart Travel Asia.

Tinjauan pendapat itu direkodkan di kalangan pengguna perkhidmatan udara pada purata 13.56 kali sejak 12 bulan lepas, dengan 60 peratus daripadanya berpengkalan di Asia, 20 peratus di Eropah manakala 20 peratus lagi di Amerika.

MAS menduduki tempat kelima dalam kategori 10 Perkhidmatan Kabin Terbaik dan tempat keenam dalam kategori 10 Kelas Bisnes Terbaik.

Pengurus Besar Kanan, Pejabat Pengarah Urusan MAS, Muzzaffar Othman dalam satu kenyataan hari ini berkata, pasaran Asia merupakan sasaran utama syarikat penerbangan itu dan pihaknya amat gembira kerana menerima pengiktirafan tersebut.

Beliau berkata, ini kerana 60 peratus daripada mereka yang dirujuk pendapat itu adalah di kalangan pengguna di Asia dan ia pasti akan membakar semangat syarikat itu bagi mengukuhkan lagi komitmen mereka untuk memberikan perkhidmatan bertaraf lima bintang kepada pelanggan.

"Kami berada di landasan yang betul dalam usaha mengukuhkan pertumbuhan dan sedang menantikan penghantaran pesawat baru kami mulai tahun ini sehingga 2014. Pesawat B737-800s akan tiba mulai Oktober ini.

"Dengan ini kami akan menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia dan kedua di dunia menerima pesawat yang mendapat julukan sebagai 'Boeing Sky Interior'.

Ini bermakna pelanggan kami akan dapat menikmati produk dan perkhidmatan lebih baik oleh syarikat kami," katanya.

Muzzaffar berkata, MAS sentiasa mencari jalan untuk menambah baik pengalaman penerbangan yang boleh ditawarkan bagi pelanggannya dan salah daripadanya ialah menerusi pengenalan aplikasi MHmobile.

Menurutnya, menerusi aplikasi ini para pelanggan bukan sahaja boleh membeli tiket dan check-in penerbangan mereka menerusi telefon bimbit, malah ia turut membenarkan mereka memeriksa mata yang terkumpul dalam ganjaran Enrich mereka.

Sementara itu, Editor Smart Travel Asia, Vijay Verghese berkata, keputusan pendapat ramai itu merupakan pencapaian yang amat cemerlang buat MAS kerana ia terpilih daripada lebih 100 syarikat pengangkutan yang beroperasi.

"Semua keputusan pendapat umum itu jelas menggambarkan syarikat penerbangan ini memiliki profil jenama yang positif secara global dan bukan hanya bertumpu di peringkat serantau," katanya. - BERNAMA

Saturday, September 18, 2010

TINDAKAN PEMBANGKANG TAKUTKAN PELABUR


Tindakan pembangkang yang sering memburuk-burukkan nama negara menyebabkan ramai pelabur asing takut untuk datang ke Malaysia, dan ia mengakibatkan pelaburan langsung asing (FDI) merosot sehingga 81 peratus bagi tahun 2008 dan 2009, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata walaupun tindakan pembangkang itu ditujukan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi pihak luar akan melihatnya sebagai keburukan negara.

Beliau berkata kesannya ia menjejaskan minat pelabur-pelabur untuk datang ke Malaysia dan apabila ia berlaku, pembangkang kemudiannya akan menyalahkan kerajaan yang mereka dakwa tidak cekap.

"Sedangkan masalah itu mereka yang usahakan dan kemudian dia tuduh kerajaan yang salah. Bagaimanapun, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk menarik ketibaan pelabur luar ke dalam negara," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Ketua Pemuda Umno Bahagian Pendang Akrom Abdul Hamid di Pendang semalam.

Katanya kerajaan melakukan beberapa tindakan untuk mengatasi masalah itu dan ia memperlihatkan hasil yang positif tahun ini selepas melalui tempoh yang agak teruk tahun lepas.

"Pada 2009, jumlah keseluruhan FDI adalah RM5.66 bilion tetapi tiga bulan pertama tahun ini negara sudah menerima FDI RM5.6 bilion, satu jumlah yang hampir dengan pelaburan sepanjang tahun lepas," katanya.

Sementara itu Mukhriz berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan kaum dalam negara perlu sensitif dalam mengutarakan pandangan atau cadangan untuk kepentingan kaum mereka bagi mengelak daripada menyentuh kepentingan kaum-kaum lain.

"Teguran atau cadangan boleh diberikan tetapi ia perlu dibuat dengan keikhlasan. Kalau nak beri cadangan jangan sampai ia menjejaskan kaum-kaum lain kerana ia boleh menyebabkan masalah lain," katanya.

Friday, September 17, 2010

RAKYAT MALAYSIA BELANJA RM3.4 BILION SETAHUN UNTUK KECANTIKAN


Benarkah rakyat Malaysia sanggup berbelanja lebih untuk kelihatan cantik? Jika tidak masakan rakyat negara diunjur berbelanja AS$1.1 bilion (kira-kira RM3.42 bilion) pada tahun ini bagi membeli produk kosmetik dan kecantikan.

Menurut penganjur pameran kecantikan terbesar Asia Tenggara, Beauty 10 Expo, Mak Weng Kit berkata, jualan runcit industri kosmetik dan kecantikan diramal meningkat lebih tinggi berbanding AS$850 juta (RM2.64 bilion) yang dicatat empat tahun lalu.

"Angka itu hanyalah bagi jualan runcit produk kosmetik tidak termasuk produk penjagaan kulit, rambut dan penjagaan kesihatan yang turut mencatat peningkatan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Mak, jualan produk penjagaan kulit menyumbang 20 peratus kepada jualan keseluruhan industri kecantikan .

Sektor penjagaan dan perhiasan kuku juga semakin berkembang dengan menyumbang 15 peratus kepada keseluruhan jualan industri.

"Perniagaan penjagaan kuku dan perhiasan kuku masih baharu di negara ini tetapi ia semakin diminati dan berkembang.

Berdasarkan perkembangan ini, ia menunjukkan orang Malaysia tidak kedekut untuk berbelanja demi kecantikan,"kata beliau lagi.

Pendapat beliau disokong oleh Pengurus Jenama dan Pemasaran East One Sdn.Bhd, pengedar tunggal produk kecantikan kuku Amerika, O.P.I, Jane Lee.

"Semua orang mahu kelihatan cantik terutamanya wanita. Perniagaan penjagaan kuku dan perhiasan mempunyai banyak ruang lagi untuk dikembangkan di negara ini," katanya.

Menurut Lee, pelanggannya terdiri daripada remaja belasan tahun sehingga wanita berusia bersedia untuk mengeluarkan belanja bagi menjaga dan menghias kuku mereka.

Sementara itu pakar solekan Akademi A Cut Above, Fabien Wong, rakyat Malaysia semakin mengambil berat tentang fesyen, solekan dan gaya rambut walaupun masih ketinggalan berbanding negara-negara Asia lain yang lebih "berani" bergaya seperti Singapura, Jepun dan Hong Kong.

Thursday, September 16, 2010

MYDIN SASAR JUALAN RM3 BILION


Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) menyasarkan purata jualan tahunan syarikat meningkat kepada RM3 bilion berikutan pembukaan 14 lagi cawangan pasar raya Mydin di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun lagi.

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin, angka jualan itu dijangka akan meningkat sekali ganda berbanding purata jualan tahun lalu sebanyak RM1.5 bilion.

“Kita jangkakan apabila kesemua 14 cawangan baru pasar raya Mydin ini dibuka dalam tempoh tiga tahun lagi, jualan purata akan meningkat kepada RM3 bilion setahun.

“Kami telah membeli 14 bidang tanah bernilai RM165 juta di seluruh negara dan terbaru akan membuka cawangan ke- 56 dan 57 Ipoh, Perak iaitu di Manjoi dan Meru Raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran sambutan Hari Malaysia dan Rumah Terbuka Aidilfitri Pasar Raya Besar Mydin Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Ayer Keroh, di sini malam tadi.

Dalam perkembangan sama, Ameer Ali berkata, pendapatan jualan pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini meningkat sebanyak RM5 juta berbanding tahun lalu.

“Tahun lalu, sepanjang bulan puasa, Mydin memperoleh jualan sebanyak RM60 juta dan meningkat kepada RM65 juta pada tahun ini,” katanya.

Wednesday, September 15, 2010

CRADLE FUND LULUS 30 GERAN


Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle Fund), penyedia pembiayaan dana teknologi komersial dijangka menepati sasarannya untuk meluluskan sehingga 30 geran pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazrin Hassan berkata, pihaknya menerima maklum balas menggalakkan sejak pemberian dana modal pengkomersialan di bawah program pelaburan CIP 500 dibuka pada November tahun lalu.

Sehingga hari ini, Cradle Fund menerima lebih 110 permohonan.

''Bagaimanapun, kami percaya masih banyak syarikat-syarikat layak belum menerima maklumat mengenai CIP 500.

''Justeru, kami akan mengambil pendekatan untuk meningkatkan maklumat mengenai program ini,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Cradle Fund menawarkan dua jenis geran bersyarat pra-permulaan iaitu CIP Catalyst dab U-CIP Catalyst dan awal/pengkomersilan (CIP 500).

Geran pra-permulaan menawarkan dana sehingga RM150,000 kepada kumpulan individu bagi membangunkan idea teknologi inovatif mereka dalam bentuk prototaip atau konsep nyata.

Sementara geran awal/pengkomersialan pula menawarkan sehingga RM500,00 untuk membantu usahawan tempatan memulakan syarikat dengan teknologi inovatif.

Pada Jun lalu, Cradle Fund telah meluluskan lima geran dan mengesahkan enam lagi syarikat bakal menerima kelulusan peringkat kedua.

Enam syarikat itu ialah Fexsoft Sdn. Bhd., Fonpackets Sdn. Bhd., Southpaw Sdn. Bhd., Serious Software Sdn. Bhd., Yellow Elevator Sdn. Bhd. dan Auto Discounts Sdn. Bhd..

Nazrin menambah, Cradle Fund mewujudkan CIP 500 sebagai pendekatan bantuan jangka sederhana untuk mengurangkan jurang penjanaan dana di peringkat komersial di Malaysia.

''Dengan pendekatan asas lain, kami perlu bekerja lebih keras lagi untuk dana komersial ini dan pada jangka panjang, ia juga akan membantu meluaskan aliran dana pengkomersialan bagi lebih ramai usahawan tekno,'' ujarnya.

Jelasnya, kumpulan penganalisisnya sentiasa mencari jalan dengan idea-idea produk yang akan menjana minat di kalangan sasaran pasaran serta memiliki keunikan dan pengukuhan untuk bersaing, sekali gus akan menarik rundingan akan datang dan penjanaan modal kerjasama.

Bersama sokongan pengkomersialan yang diperlukan, CIP 500 menyediakan dana bagi produk pembangunan, percubaan, rekaan dan pembungkusan, perbelanjaan pemasaran, penyelidikan Internet Protokol dan pendapatan.

Selain itu, faedah pekerja, penyewaan dan utiliti, pembelian perkakasan dan perisian, latihan, pelan pemulihan perniagaan serta teknologi perlesenan dan pengambilan alih.

Tambah beliau, Program CIP 500 masih lagi menerima permohonan dan sebarang maklumat mengenainya boleh didapati di laman web www.cradle.com.my.

Tuesday, September 14, 2010

MALAYSIA TETAP JADI TUMPUAN PELABUR


Malaysia akan terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik sama ada ringgit diantarabangsakan ataupun tidak, demikian menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Kerajaan .. dari apa yang saya dengar belum lagi memutuskan mengenai perkara ini," kata beliau selepas merasmikan "The Ship", ibu pejabat kumpulan syarikat PKT di sini Selasa.

"Kita juga mesti faham, dunia sukakan regim liberal seperti kebebasan berucap atau ekspresi dan juga urus niaga mata wang. Jadi, kita kena teliti betul-betul," kata Mustapa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata minggu lepas yang kerajaan mungkin mempertimbang membenarkan ringgit diniagakan di luar pesisir, 12 tahun selepas ia dihentikan di tengah-tengah krisis kewangan.

Ringgit pada masa ini diniagakan pada paras tinggi 13 tahun pada 3.10 berbanding dolar AS.

"Ringgit kita mengukuh seiring dengan asas-asas ekonomi yang menggalakkan dan ini tidak menyebabkan sebarang kesan teruk kepada perdagangan dan pelaburan ke Malaysia," kata Mustapa.

Ditanya sama ada ringgit yang kukuh akan menjejaskan pengeksport, menteri itu berkata, pergerakan ringgit bergantung kepada kekuatan pasaran dengan kerajaan tidak campur tangan dalam pasaran tukaran asing.

Diminta memberikan maklumat terbaru berhubung pelaburan negara, beliau berkata untuk tempoh tujuh bulan pertama 2010, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan pelaburan bernilai RM16.6 bilion, dengan pelaburan asing RM9.6 bilion dan pelaburan domestik RM7 bilion.

Tahun lepas, MIDA meluluskan pelaburan sejumlah RM32.6 bilion, di mana RM10.5 bilion ialah pelaburan langsung domestik dan RM22.1 bilion ialah daripada pelabur asing.

Monday, September 13, 2010

BANK NEGARA JANGAN SEKAT ORANG MUDA BELI RUMAH


Bank Negara disaran supaya tidak mengambil sebarang keputusan yang boleh menyekat peluang bumiputera khususnya generasi muda untuk memiliki rumah sendiri.

Sehubungan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan Bank Negara wajar mengkaji semula cadangannya yang mahu bank-bank tempatan mengurangkan pinjaman perumahan daripada 90 peratus kepada 80 peratus.

Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, sepatutnya Bank Negara menggalakkan pemberian pinjaman perumahan sehingga 100 peratus.

''Ini kerana golongan muda khususnya yang baru tamat belajar masih tidak berkemampuan disebabkan gaji yang rendah tetapi ingin memiliki rumah sendiri,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Biro Ekonomi Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan mahu Bank Negara menangguhkan cadangan menurunkan nisbah pinjaman berbanding nilai (LVR) pajakan sesuatu hartanah kepada 80 peratus.

Dr. Maamor berkata, pinjaman penuh ini sebagai usaha kerajaan untuk menggalakkan setiap rakyat memiliki rumah sendiri.

''Secara tidak langsung ini akan menggalakkan perkembangan industri perumahan di negara ini menjadi lebih rancak,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, adalah tidak adil jika Bank Negara meneruskan kajian itu sebaliknya mencari kaedah lain yang mengambil kira semua kepentingan rakyat.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhd. Razak Idris berkata, Bank Negara sepatutnya lebih memikirkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam soal pinjaman perumahan supaya dapat memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah sendiri.

''Jika pinjaman perumahan sehingga 80 peratus sudah tentu akan membebankan lagi rakyat kerana pendapatan juga perlu diagihkan untuk keperluan lain,'' katanya.

Muhd. Razak berkata, jika Bank Negara melaksanakan kajian ini sudah pasti akan menambahkan lagi tekanan kepada rakyat yang berpendapatan rendah.

Sehubungan itu, katanya, Bank Negara perlu memikirkan kaedah lain yang tidak menghalang kemampuan golongan bumiputera membeli rumah.

Sunday, September 12, 2010

KERAJAAN PERLU BERHATI-HATI


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap kerajaan berhati-hati terhadap cadangan untuk memperdagangkan semula ringgit di luar pesisir.

Beliau berkata, cadangan tersebut ada bahayanya kerana penyangak mata wang sentiasa mengambil kesempatan dalam usaha meningkatkan jumlah dagangan mereka setiap hari.

Untuk makluman, beliau berkata, pada masa ini jumlah dagangan yang dibuat oleh penyangak mata wang sehari adalah AS$4 trilion (RM12.44 bilion) dan ia menyamai dengan jumlah keseluruhan hasil pengeluaran kilang di Jerman bagi tempoh setahun.

‘‘Saya amat berharap supaya kerajaan lebih berhati-hati. Buat kajian betul-betul sebelum membuat keputusan sama ada mahu memperdagangkan semula ringgit di luar pesisir atau sebaliknya.

‘‘Ini kerana ia amat berkaitan dengan bahaya yang dicetuskan oleh penyangak-penyangak mata wang di seluruh dunia yang tidak habis-habis mahu mencuri wang daripada rakyat,’’ katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di The Mines dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan bersikap terbuka terhadap cadangan untuk menjadikan ringgit yang baru-baru ini mencecah paras tertinggi dalam tempoh 13 tahun didagangkan luar pesisir semula.

‘‘Kami boleh sesuaikan, dan jika kami fikir langkah itu dapat membantu ekonomi, sudah tentu kami akan menyemak semula kedudukan ini," kata Najib ketika ditanya sama ada ringgit akan didagangkan luar pesisir semula.

Najib berkata demikian dalam wawancara dengan Martin Soong yang disiarkan menerusi CNBC Asia, semalam.

Pada tahun 1997 iaitu ketika Malaysia masih di bawah pemerintahan Dr. Mahathir pernah menjadi mangsa kepada penyangak mata wang George Soros hingga mengakibatkan berlaku krisis ekonomi.

Dr. Mahathir berkata, semua pihak harus sedar walaupun jumlah dagangan oleh penyangak mata wang mencecah AS$4 trilion, ia langsung tidak membawa sebarang faedah kepada negara atau rakyat.

‘‘Adakah aktiviti mereka dapat mewujudkan peluang pekerjaan, perniagaan atau perdagangan. Jawapannya, tidak. Meskipun jumlahnya amat besar ia langsung tidak memberi kebaikan kepada masyarakat.

‘‘Jika saya dilantik sebagai Presiden dunia sudah tentu golongan ini akan dikenakan tindakan paling tegas,’’ ujarnya.

Friday, September 10, 2010

LAKSANAKAN JIHAD BISNES


Syarikat-syarikat milik orang Islam sewajarnya melaksanakan jihad bisnes untuk memastikan perniagaan yang diusahakan dapat terus diwarisi oleh generasi akan datang.

Tokoh Korporat, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, pelaksanaan jihad bisnes juga akan meningkatkan pegangan syarikat-syarikat tersebut dalam senarai jenama-jenama besar korporat dunia.

Menurut beliau, berdasarkan rekod lebih 90 peratus perniagaan orang Islam adalah syarikat milik keluarga, namun daripada jumlah itu hanya 10 peratus yang diwarisi sehingga kepada generasi ketiga.

''Situasi ini berbeza dengan perniagaan keluarga di Barat, Jepun dan Korea, yang mana syarikatnya berkembang sehingga menjadi organisasi antarabangsa,'' katanya.

Jelas beliau, mengambil kira perkembangan perniagaan semasa yang semakin kompleks, syarikat-syarikat milik Islam memerlukan usahawan yang memiliki pemikiran futuristik.

Ini penting bagi menyediakan laluan perubahan bagaimana melaksanakan perniagaan, tambahnya.

Muhammad Ali berkata, model-model perniagaan tersebut sudah ada, cuma terpulang kepada pemilik perniagaan untuk mengguna pakai atau meniru amalan terbaik menjalankan perniagaan sedia ada.

Bekas peneraju Johor Corporation itu berkata, beliau mengasaskan jihad bisnes untuk meningkat nilai tambah dan kekayaan sebagai jambatan ekonomi masyarakat Malaysia melalui mengembangkan saiz perniagaan bagi manfaat semua kaum di negara ini.

Beliau yang turut memperkenalkan Wakaf Korporat menyifatkan amalan perniagaan itu telah memainkan peranan signifikan semasa zaman kegemilangan Islam dahulu.

Menurutnya, agenda perniagaan apabila digandingkan dengan pembaharuan institusi menerusi konsep wakaf korporat diyakini dapat dijadikan benteng utama kekuatan ekonomi masyarakat Islam.

Menerusinya, ia mampu mencapai matlamat keseimbangan kuasa ekonomi supaya lebih adil dan tidak ekstrem atau berat sebelah dan eksklusif serta memihak hanya kepada yang berada, berpengaruh dan kaya-raya.

''Bagaimanapun, konsep perniagaan ini sudah tentu dan bukan eksklusif untuk peniaga Islam sahaja,'' ujar beliau.

Institusi wakaf korporat harus diperluaskan sehingga berjaya menerajui beberapa perniagaan strategik.

Tambahnya, menerusi institusi wakaf ketirisan dan kebocoran hak milik dapat diatasi dan pegangan hak milik akan dapat dilangsungkan turun-temurun di samping menambah nilai harta kekayaan untuk kepentingan besar jangka panjang bangsa dan umat.


Thursday, September 9, 2010

ECER TARIK PELABUR CHINA


Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menjangka dapat menarik pelabur-pelabur China ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), khususnya untuk melabur dalam industri minyak dan gas, pertanian, pelancongan, pembuatan dan pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jebasingam Issace John, berkata ECERDC menawarkan insentif fiskal dan bukan fiskal untuk merangsang pelaburan dalam pelancongan, minyak, gas dan petrokimia, pembuatan, pertanian dan pendidikan dalam wilayah ekonomi itu.

ECERDC akan mempermudah pelabur-pelabur yang berminat untuk melabur dalam pelbagai industri yang ada untuk mereka melabur," katanya kepada pemberita di sini selepas mengadakan pertemuan dengan Wang Xiaochun, Timbalan Ketua Pengarah Suruhanjaya Sains, Industri, Perdagangan dan Teknologi Maklumat Perbandaran Shenzhen, semalam.

Pertemuan itu diadakan sempena dengan Pameran Antarabangsa Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa China (CIFIT 2010) di Xiamen, yang bermula esok dan berakhir pada 11 September.

Perwakilan ECERDC diketuai oleh Ahli Majlis, Tan Sri Lee Shin Cheng, yang juga Pengerusi Eksekutif IOI Group.

Jebasingam berkata ECER yang meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor mempunyai prasarana yang baik, tanah yang banyak, sumber alam yang kaya serta modal insan yang berkualiti.

"Dengan lokasi strategik dan sokongan kukuh daripada kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan, ECER bersedia menjadi gerbang perdagangan dan industri utama.

"Ia juga menawarkan kepada pelabur laluan ke pasaran yang luas dan berkembang di Timur Jauh dan Asia Pasifik, dengan jumlah penduduk seramai empat bilion dan KDNK tergabung sebanyak AS$17 trilion (RM52.7 trilion)," katanya.

Projek-projek ECER yang akan diperkenal semasa CIFIT 2010 termasuklah projek-projek pelancongan iaitu Pelancongan Pesisir Tanah Besar Pantai Sepat, Pelancongan Pesisir Tanah Besar Teluk Bidara, Pelancongan Pesisir Tanah Besar Cherating, Pelancongan Pesisir Tanah Besar Pantai Penarik dan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu.

Jebasingam berkata, ECERDC juga menyasarkan untuk menarik minat pelabur terhadap Taman Polimer Kertih, Kompleks Perindustrian Petroleum PETRONAS (PPIC), Kompleks Petrokimia Bersepadu Gebeng (GIPC) dan Taman Industri Minyak dan Gas Tanjung Agas.

Projek-projek pembuatan yang akan dipromosikan ialah Taman Perindustrian Automotif Pekan-Peramu, Taman Halal Gambang, Taman Halal Pasir Mas, Kelompok Perindustrian Minyak Sawit dan Bandaraya Pelabuhan Kuantan.

Projek-projek pertanian yang terbuka kepada pelabur di wilayah ini termasuklah taman pengeluaran ayam di Kelantan dan Pahang, pengeluaran ternakan di Terengganu dan Pahang, ladang nenas bersepadu Rompin, serta taman herba dan bioteknologi di Pahang dan Kelantan.

Dari segi pendidikan, Taman Ilmu di Terengganu dan Pusat ICT Terengganu akan diperkenalkan semasa CIFIT 2010.

Tuesday, September 7, 2010

BUBARKAN MAKMAL RASIONALISASI SUBSIDI


Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mencadangkan kerajaan membubarkan Makmal Rasionalisasi Subsidi (MRS) yang disifatkannya hanya mengundang kepada peningkatan masalah rakyat di negara ini terutamanya dari segi kenaikan kos hidup yang tidak serata dengan pendapatan.

Beliau berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana banyak cadangan yang dikemukakan oleh MRS sebelum ini didapati tidak masuk akal kerana ia hanya melibatkan unjuran berasaskan indikator pendapatan perkapita serta indeks harga pengguna (IHP).

Menurutnya, kedua-dua indikator tersebut bersifat palsu kerana pendapatan perkapita dan IHP tidak menjamin kekuatan kuasa beli rakyat apabila wujud jurang pendapatan yang semakin besar antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah di kalangan rakyat di negara ini.

"Meskipun jurang pendapatan di negara ini tidak begitu melebar seperti di negara-negara lain, akan tetapi jurang itu semakin meluas dan IHP juga tidak mampu mencerminkan peningkatan inflasi yang dirasai rakyat.

"Tindakan kerajaan beberapa tahun lalu menaikkan harga petrol dan tol secara mengejut didapati telah menjejaskan perbelanjaan golongan berpendapatan sederhana rendah dan rendah. Ditambah dengan kewujudan MRS yang telah menjejaskan lagi usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat di negara ini.

"Justeru saya berharap kerajaan dapat membubarkan sahaja MRS ini kerana ia hanya menguntungkan kerajaan bukannya rakyat. Kita tidak perlu makmal pun untuk membuat keputusan mengurangkan subsidi seperti mana yang dicadangkan oleh MRS ini,'' katanya menerusi laman blognya, www.drkhir.com.

Tambah Mohamad Khir, MRS jika diteliti mempunyai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) mereka sendiri untuk dicapai bagi menentukan kejayaan serta keberkesanan peranan mereka dalam mengurangkan bebanan subsidi kerajaan.

Maka, beliau menjangkakan bahawa MRS ini sudah pastinya akan berusaha mengurangkan bebanan subsidi kerajaan tanpa mempedulikan masalah rakyat agar KPInya dicapai.

Dalam masa yang sama, beliau memberikan contoh cadangan makmal ini seperti pembelian petrol menggunakan Mykad dan pemberian subsidi terhad menggunakan sistem tertentu yang dilihat tidak munasabah untuk menangani isu kenaikan harga bahan bakar itu.

Kerajaan tidak menerima cadangan MRS itu sebaliknya menggunakan cadangan orang ramai dengan memberi pilihan kepada pengguna sama ada mahu petrol subsidi atau petrol harga pasaran.

"Alhamdulillah, mereka yang mampu secara sukarela menggunakan petrol RON 97 yang tidak disubsidikan. Justeru, apa perlunya MRS ini jika hanya menambah bebanan dan tekanan kepada kerajaan dan Barisan Nasional (BN).

"Adalah lebih masuk akal jika kerajaan menubuhkan Makmal Menurunkan Kos Sara Hidup Rakyat atau Makmal Mengurangkan Bebanan Hidup Rakyat. Barulah nampak rakyat diutamakan," tegasnya lagi.

WESTPORT CATAT PEROLEHAN RM900 JUTA


Westports Malaysia dijangka mencatat perolehan hampir RM900 juta tahun ini, dipacu oleh aktiviti perniagaan cergas berikutan pemulihan senario ekonomi global.

Tahun lepas Westports mencatat perolehan kira-kira RM700 juta.

Faktor lain yang akan mendorong pendapatan, termasuk daya pemprosesan, tindakan berterusan untuk meningkatkan kecekapan, pelanggan sedia ada serta pelanggan baharu dan utama, yang melihat Westports sebagai hab yang memenuhi keperluan perkhidmatan pelabuhan masing-masing yang lebih baik, kata Pengarah Eksekutifnya, Ruben Emir Gnanalingam.

"Tahun terbaik kami ialah 2008 di mana kami mencapai sasaran perolehan RM950 juta. Walaupun jumlah perniagaan meningkat ketara susulan itu, angkanya tidak setanding dengan pencapaian tinggi 2008 akibat krisis ekonomi global, dengan ramai pelanggan meminta rebat," kata Ruben dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.

Westport dijangka mengendalikan kontena kira-kira 5.4 juta TEU (bersamaan unit dua puluh kaki) tahun ini, atau kira-kira 30 peratus lebih tinggi berbanding 2009.

Bagi enam bulan pertama tahun ini, beliau berkata, pelabuhan itu mencapai sasaran lebih daripada 2.6 juta TEU.

"Kami mempunyai pelanggan baharu yang masuk menerusi Singapura, seperti United Arab Shipping Corp., yang telah menukar habnya dari negara bandar raya itu.

"Ini telah menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan kami manakala pelanggan sedia ada turut memberi sokongan secara berterusan," katanya.

Kata beliau, strategi pasaran Westport sentiasa berasaskan kepada produktiviti dan tempoh masa pemprosesan.

"Kami mempunyai rekod dunia bagi tempoh masa pemprosesan dan purata kami lebih tinggi berbanding pelabuhan lain. Ini telah meletakkan kami secara strategik untuk menyediakan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan dan juga merupakan faktor kenapa mereka datang kepada kami," katanya.

Ruben berkata, Westports merancang melabur antara RM3 bilion dan RM4 bilion sepanjang 15 tahun akan datang untuk peluasannya, termasuk dermaga, kemudahan dan peralatan.

Katanya, syarikat itu akan menggunakan dana yang dijananya sendiri dan keuntungan daripada program penerbitan nota jangka sederhana (MTN) sukuk musyarakah sebanyak RM800 juta, yang diperuntukkan pada 2008.

Ditanya kenapa syarikat itu meneruskan pembiayaan sukuk, beliau berkata: "Pembiayaan Islam memberikan urus niaga yang lebih baik dan terdapat penglibatan bersama berkongsi risiko dan faedah,".

Menurut Ruben, Westports juga memulakan projek penebusan tanah secara besar-besaran di premis pelabuhannya, untuk membina dermaga tambahan sepanjang dua kilometer.

Syarikat itu juga sedang mengkaji untuk membina satu lagi dermaga sepanjang 300 meter dan limbungan sama dengannya.

"Kami mengharapkan untuk membina dermaga 300 meter setiap tahun bagi tiga atau empat tahun lagi," katanya.

Kata beliau, apabila pelabuhan itu mencapai sasaran 50 peratus kapasiti tahun itu, syarikat akan memulakan rancangan perkembangan selanjutnya.

Pada Julai tahun ini, kata beliau, pelabuhan itu mencapai kapasiti kira-kira 55 peratus, yang mendorong untuk peluasannya sekarang.

Westports tidak menolak untuk disenaraikan sebagai syarikat awam bagi mengumpul dana yang diperlukan jika ia bercadang mengambil alih pelabuhan baharu di India.

Westport sekarang sedang mencari peluang untuk mengambil alih pelabuhan di India dan ini memerlukan dana.

Ruben berkata, Westports juga akan mengkaji keperluan teknologi lebih baharu bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti, yang merupakan ciri utama pelaburan maju, yang pastinya merupakan industri yang sangat kompetitif.

Monday, September 6, 2010

NAZA SELEPAS KETIADAAN TAN SRI NASIMUDDIN


Ramai yang meragui kelangsungan hidup Kumpulan Naza (Naza) selepas pemergian pengasas, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin pada 2008. Tidak kurang yang mengatakan empayar itu tidak mungkin mampu bertahan lama.

Tidak dinafikan bahawa anggapan sedemikian mungkin kerana tidak ramai yang benar-benar mengenali anak-anak Nasimuddin yang kini menjadi penggerak utama entiti itu.

Ketika terdapat telahan bahawa kumpulan itu bakal mundur kebelakang dan gagal mempertahankan kejayaan, Naza berjaya membuktikan perkara sebaliknya pula berlaku.

Kejayaan kumpulan itu menjadi pusat pengeluaran kereta Peugeot pemanduan sebelah kanan bagi pasaran Asia dan Afrika menjelang tahun 2012 dikatakan cukup membanggakan industri kenderaan tempatan.

Pemilihan Naza itu bakal menyaksikan Malaysia menjadi pengeluar pertama model Peugeot pemanduan sebelah kanan.

Keputusan Peugeot dilihat sebagai satu kemenangan dan kejayaan yang cukup bermakna oleh Pengerusi Bersama Kumpulan Naza dan Ketua Pegawai Eksekutif Nasim Sdn. Bhd., SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Tambahan pula, ia dicapai selepas Naza berjaya untuk memikat, syarikat dari Perancis itu melantik syarikat tempatan memasarkan jenama Peugeot.

Kejayaan itu menyerlahkan Nasarudin yang kini dikenali ramai bukan hanya di dunia permotoran tetapi juga perhotelan dan hartanah

Beliau juga menerajui sejumlah syarikat lain seperti Naza Kia, TTDI, Naza Diners Sdn. Bhd., Tutti Fruitti Frozen Yogurt, Naza Hotel Management, Crowne Plaza Los Angeles Harbor Hotel dan beberapa syarikat lain.

Peranan yang dimainkan oleh anak muda yang baru berusia 27 tahun ini, penting kerana kumpulan Naza kini bersaing dengan dengan Indonesia dan Vietnam bagi mengekalkan pengeluaran Kia di negara ini.

Nasarudin kini sedang berusaha untuk mengekalkan pengeluaran kenderaan Kia di negara ini walaupun berdepan dengan pelbagai tawaran menarik dari dua buah negara itu kepada prinsipal Kia di Korea.

Bagi anak muda ini, legasi perniagaan yang dimulakan oleh arwah bapanya yang membawa masuk jenama dari Korea itu tidak akan dilepaskan begitu sahaja tetapi sebaliknya akan mempertahankan dengan apa cara sekalipun.

Berbekalkan pengiktirafan menjadi pengedar tertinggi Kia di ASEAN untuk beberapa tahun, Naza percaya ia akan menjadi pilihan berbanding dua buah negara itu yang menawarkan pelbagai insentif menarik.

Ketika sibuk menangani kemelut Kia, Nasarudin berjaya mengimbangi tumpuan kepada jenama-jenama lain terutamanya Peugeot kerana kerana kerja-kerja penyelidikan terhadap pembangunan model itu di negara ini telah pun bermula.

Malah pengurusan tertinggi syarikat dikatakan akan terbang ke Perancis dalam bulan ini bagi membincangkan secara teliti mengenai projek tersebut.

Dalam kerjasama dengan Peugeot, syarikat asing itu pada dasarnya, bersetuju bekerjasama dengan Nasim bagi mengeluarkan kereta sedan segmen C yang diberi nama kod T73 dan akan dipasang di kilang Naza di Gurun.

Persetujuan itu melibatkan pengeluaran 70,000 buah T73 di Gurun untuk tempoh lima tahun akan datang dengan 60 peratus daripadanya akan dieksport ke negara-negara pemanduan sebelah kanan di Asia dan Afrika.

Bagaimanapun, persoalan model yang akan dikeluarkan itu, hanya akan diumumkan pada tahun depan, begitu juga tentang penggunaan enjin 2.0 liter atau 1.6 liter turbo.

Pada masa ini, Naza dan Peugeot menyasarkan untuk mengeksport 40 peratus model berkenaan di Asia dan Afrika manakala selebihnya untuk pasaran tempatan pada tahun pertama.

Perjanjian persefahaman itu bukan hanya menunjukkan kepercayaan Peugeot terhadap keupayaan syarikat bumiputera mengeluarkan kenderaan mereka untuk pasaran Asia tetapi kualiti pengeluaran, tenaga kerja dan kekuatan pasaran vendor tempatan.

Pasaran kenderaan Peugeot berkembang dengan baik di negara ini dan merupakan kenderaan Eropah kedua terlaris dalam tempoh dua tahun lepas.

Bagi pemerhati industri, mereka melihat keupayaan dan keberanian anak muda ini merupakan sesuatu yang luar biasa apatah lagi berjaya memujuk 'orang putih' untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan.

Bukan senang untuk mempengaruhi orang asing khususnya yang memiliki rekod serta jenama kukuh di dunia bagi bekerjasama dengan syarikat kecil keupayaannya.

Dengan evolusi yang dilalui Naza, ia mampu memperlihatkan kejayaan yang membanggakan pada masa depan.

Sehingga kini, ia berjaya mengembangkan jenama Kia sehingga mempunyai 44 pengedar dengan 27 buah cawangan berserta 81 pusat servis di seluruh negara manakala Peugeot pula memiliki 13 buah cawangan dengan tujuh pengedar dan 14 buah pusat servis di seluruh negara.

Selain memikul tanggungjawab yang jauh lebih berat berbanding usianya mengkagumkan, Nasarudin juga membawa bersama harapan 4,000 kakitangan syarikat agar perancangan yang digariskan mampu menjadi kenyataan.

Melalui kekuatan yang telah terbina melalui kerjasama untuk membangunkan jenama Kia dan Peugeot di dunia sebelah sini, Kumpulan Naza mampu pergi lebih jauh.

Friday, September 3, 2010

KURANGKAN GUNA BEG PLASTIK


Para peniaga khususnya pemilik pasar raya besar mampu menjimatkan kos sehingga jutaan ringgit setahun jika mereka menghentikan penggunaan beg plastik dalam urusan jual beli.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, paling penting, langkah tersebut dapat membantu menyelamatkan alam sekitar.

Katanya, ini kerana Malaysia merupakan pengguna beg plastik konvensional yang tinggi iaitu lapan bilion setahun dan para peniaga merupakan kumpulan pengguna terbesar beg plastik tersebut.

“Pasar raya besar seperti Mydin misalnya memperuntukkan sehingga RM1.2 juta setahun untuk memberi beg plastik percuma kepada pengguna.

“Tetapi jika para peniaga boleh untuk tidak menggunakan beg plastik maka ia bukan sahaja menguntungkan alam sekitar tetapi secara tak langsung menjimatkan mereka daripada membeli beg plastik,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen penggunaan beg plastik oxo-biogradable di pasar raya Mydin di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (SMI), Chua Tiam Wee, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Ameer Ali Mydin dan aktivis alam sekitar yang juga pelakon terkenal, Maya Karin.

Beg plastik oxo-biogradable merupakan beg plastik boleh urai yang mampu reput dan lupus dalam tempoh masa enam bulan hingga setahun berbanding beg plastik konvensional yang mempunyai jangka hayat sehingga 500 tahun.

Ismail berkata, biarpun pihaknya tidak menguatkuasakan undang-undang mengharamkan penggunaan beg plastik namun usaha berterusan memberi kesedaran kepada orang ramai akan dilaksanakan.

Thursday, September 2, 2010

KILANG BUAT E BOOK TIDAK BAHAYA


!

PAS hanya merekakan cerita kerana melihat program E-Book mendapat sambutan dan menyentuh hati rakyat, termasuk penyokong PAS yang anak mereka turut menerima E-Book.

Kebimbangan PAS bahawa sebahagian penyokongnya mula tertarik dengan dasar kerajaan negeri menyebabkan mereka cuba membuat tuduhan liar untuk mencemarkan imej kerajaan dan Menteri Besar.

Yang nyata, Top IT Industries Sdn Bhd, kilang pemasangan e-Book untuk pelajar sekolah di negeri ini, diakui selamat dan tidak mendatangkan bahaya kepada pekerjanya.

MB menjelaskan fakta-fakta salah yang dibuat oleh PAS mengenai kilang Top IT.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan, perkara itu disahkan oleh juruperunding dan pembinaan kilang itu mengikut peraturan yang ditetapkan.

Kilang itu hanya mengalami keretakan biasa pada dinding yang tidak mendatangkan bahaya kepada pekerja, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Ahamad Nawawi pada Khamis lepas bahawa kilang anak syarikat kerajaan negeri berharga RM12 juta itu tidak selamat kerana retak selain tidak ada sijil layak menduduki (CF).

Menteri Besar berkata: "Sekarang CF sudah tidak dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan lagi tetapi oleh juruperunding dan mereka menyatakan bangunan itu selamat untuk digunakan".

Beliau menegaskan bahawa kilang berkenaan hanya berharga RM7.9 juta dan bukannya RM12juta seperti didakwa.

Oleh yang demikian, katanya kerajaan negeri menyerahkan kepada pengurusan kilang itu untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan itu.

Menteri Besar berkata beliau juga telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri memanggil pihak daripada Jabatan Audit yang dipercayai mendedahkan beberapa maklumat mengenai syarikat itu kepada pembangkang.

"Saya tidak faham mengapa Jabatan Audit telah memberi laporan berkenaan kepada pihak pembangkang jika ada berlaku perkara sedemikian. Apa tujuan Audit berbuat demikian seolah-olah hendak sabotaj kerajaan negeri dalam perkara ini?.

"Sepatutnya Audit memberi laporan terlebih dahulu kepada kerajaan sebelum mendedahkan kepada pihak lain jika ada sebarang perkara yang tidak kena berlaku," tegasnya.

Teganuku pada entri 31 Ogos 2010 (kelmarin) meminta pihak pengurusan Top IT bukan sekadar menafikan dakwaan pembangkang kononnya bangunan kilang itu yang terletak di Gong Badak tidak selamat digunakan berikutan berlaku keretakan, tetapi menyaman pihak yangh membuat dakwaan jika ia tidak benar.

Ini termasuk Dr Syed Azman yang membuat tuduhan berkenaan.

Pengerusi Top IT, Mohd Shafaruddin Mustaffa pada 30 Ogos 2010 menegaskan tuduhan bahawa bangunan itu akan runtuh adalah tidak berasas.

Ini kerana pihak perunding yang dilantik sebelum ini memberi jaminan kilang tersebut boleh beroperasi.

(dipetik dari teganuku.blogspot.com)

Wednesday, September 1, 2010

SPNB PERKENAL BELI RUMAH TANPA DEPOSIT


Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) akan memperkenalkan skim pembelian rumah tanpa bayaran pendahuluan sebelum akhir tahun ini dalam usaha merangsang lagi jualan rumah mampu milik yang dibinanya.

Pengerusinya, Datuk Ir. Idris Haron berkata, cadangan itu perlu memandangkan soal bayaran pendahuluan merupakan penghalang utama pemilikan rumah sendiri, khususnya di kalangan golongan muda dan pasangan yang baru kahwin.

Beliau berkata, ia juga sejajar dengan misi utama SPNB yang kini menggandakan usaha menjual 15,000 buah rumah mampu milik yang telah siap dibina di seluruh negara.

''Setakat ini, kami sedang mengenal pasti beberapa institusi kewangan yang bersetuju untuk menyediakan pakej pembelian sedemikian.

''Bagaimanapun, ia tidak seperti pakej pinjaman perumahan 100 peratus sedia ada," katanya.

SPNB ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 sebagai sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (Mof Inc.) yang bertujuan menyediakan rumah mampu milik berkualiti kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan Objektif Perumahan Negara.

Sehubungan itu, Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, cadangan tersebut akan dibentangkan kepada Lembaga Pengarah SPNB bagi mendapatkan kelulusan tidak lama lagi.

''Sudah sampai masanya, syarikat perumahan seperti kami menyediakan kemudahan yang membolehkan lebih ramai rakyat negara ini memiliki rumah sendiri," katanya.

Ditanya mengenai 15,000 unit rumah mampu milik yang belum terjual sehingga kini, beliau berkata, rumah yang berharga antara RM40,000 hingga RM99,000 itu berasaskan konsep bina dulu, jual kemudian.

''Kami menyahut seruan kerajaan yang mahu syarikat perumahan mengamalkan konsep bina dulu, jual kemudian bagi mengelakkan rumah tidak siap tetapi pembeli terpaksa terus membayar pinjaman perumahan.

''Sebab itulah, kami kini mempertingkatkan usaha promosi di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai di seluruh negara," katanya.