Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, tarif elektrik masa kini masih boleh dikekalkan kerana nilai dolar Amerika Syarikat (AS) dalam pasaran juga telah jatuh.
"Kejatuhan nilai dolar AS sedikit sebanyak telah memberikan kelebihan kepada negara kerana kos perbelanjaan penjanaan tenaga elektrik yang selama ini dijalankan menggunakan mata wang tersebut dapat dikurangkan.
"Jika kos perbelanjaan penjanaan tenaga elektrik dapat dikurangkan, bermakna tiada sebab untuk menaikkan tarif sedia ada dan saya jangka ia akan dikekalkan buat masa ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Majlis Mesra Aidilfitri TNB di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie serta Naib Presiden (Hal Ehwal Korporat) TNB, Adelina Iskandar.
Menurut Khalib, pengekalan tarif itu turut bergantung kepada beberapa faktor seperti keadaan serta harga pasaran semasa arang batu yang menjadi bahan bakar sesetengah loji penjana kuasa elektrik.
Katanya, buat masa ini, kedudukan ringgit yang semakin kukuh di pasaran berbanding dolar AS menyebabkan kos untuk membeli arang batu berkurangan.
"Segala urusan pembelian arang baru dilakukan menggunakan dolar AS dan kejatuhan nilai mata wang tersebut telah menjimatkan kita untuk membeli sumber tersebut," katanya.
Bagaimanapun, katanya, tarif elektrik itu boleh berubah pada masa depan kerana faktor perubahan dalam harga arang baru dan nilai mata wang.
Beliau berkata, walaupun harga arang batu meningkat pada masa akan datang, selagi nilai ringgit kukuh, kos perbelanjaan pembelian arang batu masih dapat ditampung.
"Jika kita dapat mengekalkan serta mengukuhkan lagi nilai ringgit dan dalam masa yang sama nilai dolar AS pula merudum, kita tidak akan menghadapi masalah untuk menampung perbelanjaan penjanaan tenaga elektrik dan mungkin tarif sedia ada dapat dikekalkan,'' katanya.
No comments:
Post a Comment