Friday, September 10, 2010

LAKSANAKAN JIHAD BISNES


Syarikat-syarikat milik orang Islam sewajarnya melaksanakan jihad bisnes untuk memastikan perniagaan yang diusahakan dapat terus diwarisi oleh generasi akan datang.

Tokoh Korporat, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, pelaksanaan jihad bisnes juga akan meningkatkan pegangan syarikat-syarikat tersebut dalam senarai jenama-jenama besar korporat dunia.

Menurut beliau, berdasarkan rekod lebih 90 peratus perniagaan orang Islam adalah syarikat milik keluarga, namun daripada jumlah itu hanya 10 peratus yang diwarisi sehingga kepada generasi ketiga.

''Situasi ini berbeza dengan perniagaan keluarga di Barat, Jepun dan Korea, yang mana syarikatnya berkembang sehingga menjadi organisasi antarabangsa,'' katanya.

Jelas beliau, mengambil kira perkembangan perniagaan semasa yang semakin kompleks, syarikat-syarikat milik Islam memerlukan usahawan yang memiliki pemikiran futuristik.

Ini penting bagi menyediakan laluan perubahan bagaimana melaksanakan perniagaan, tambahnya.

Muhammad Ali berkata, model-model perniagaan tersebut sudah ada, cuma terpulang kepada pemilik perniagaan untuk mengguna pakai atau meniru amalan terbaik menjalankan perniagaan sedia ada.

Bekas peneraju Johor Corporation itu berkata, beliau mengasaskan jihad bisnes untuk meningkat nilai tambah dan kekayaan sebagai jambatan ekonomi masyarakat Malaysia melalui mengembangkan saiz perniagaan bagi manfaat semua kaum di negara ini.

Beliau yang turut memperkenalkan Wakaf Korporat menyifatkan amalan perniagaan itu telah memainkan peranan signifikan semasa zaman kegemilangan Islam dahulu.

Menurutnya, agenda perniagaan apabila digandingkan dengan pembaharuan institusi menerusi konsep wakaf korporat diyakini dapat dijadikan benteng utama kekuatan ekonomi masyarakat Islam.

Menerusinya, ia mampu mencapai matlamat keseimbangan kuasa ekonomi supaya lebih adil dan tidak ekstrem atau berat sebelah dan eksklusif serta memihak hanya kepada yang berada, berpengaruh dan kaya-raya.

''Bagaimanapun, konsep perniagaan ini sudah tentu dan bukan eksklusif untuk peniaga Islam sahaja,'' ujar beliau.

Institusi wakaf korporat harus diperluaskan sehingga berjaya menerajui beberapa perniagaan strategik.

Tambahnya, menerusi institusi wakaf ketirisan dan kebocoran hak milik dapat diatasi dan pegangan hak milik akan dapat dilangsungkan turun-temurun di samping menambah nilai harta kekayaan untuk kepentingan besar jangka panjang bangsa dan umat.


No comments:

Post a Comment