Tuesday, September 14, 2010

MALAYSIA TETAP JADI TUMPUAN PELABUR


Malaysia akan terus menjadi destinasi pelaburan yang menarik sama ada ringgit diantarabangsakan ataupun tidak, demikian menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Kerajaan .. dari apa yang saya dengar belum lagi memutuskan mengenai perkara ini," kata beliau selepas merasmikan "The Ship", ibu pejabat kumpulan syarikat PKT di sini Selasa.

"Kita juga mesti faham, dunia sukakan regim liberal seperti kebebasan berucap atau ekspresi dan juga urus niaga mata wang. Jadi, kita kena teliti betul-betul," kata Mustapa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata minggu lepas yang kerajaan mungkin mempertimbang membenarkan ringgit diniagakan di luar pesisir, 12 tahun selepas ia dihentikan di tengah-tengah krisis kewangan.

Ringgit pada masa ini diniagakan pada paras tinggi 13 tahun pada 3.10 berbanding dolar AS.

"Ringgit kita mengukuh seiring dengan asas-asas ekonomi yang menggalakkan dan ini tidak menyebabkan sebarang kesan teruk kepada perdagangan dan pelaburan ke Malaysia," kata Mustapa.

Ditanya sama ada ringgit yang kukuh akan menjejaskan pengeksport, menteri itu berkata, pergerakan ringgit bergantung kepada kekuatan pasaran dengan kerajaan tidak campur tangan dalam pasaran tukaran asing.

Diminta memberikan maklumat terbaru berhubung pelaburan negara, beliau berkata untuk tempoh tujuh bulan pertama 2010, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan pelaburan bernilai RM16.6 bilion, dengan pelaburan asing RM9.6 bilion dan pelaburan domestik RM7 bilion.

Tahun lepas, MIDA meluluskan pelaburan sejumlah RM32.6 bilion, di mana RM10.5 bilion ialah pelaburan langsung domestik dan RM22.1 bilion ialah daripada pelabur asing.

No comments:

Post a Comment