Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr. Azhar Ismail berkata, permintaan luar negara terhadap industri koko negara ini meningkat terutamanya daripada negara-negara Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.
''Bagi menggalakkan eksport, beberapa persepsi negatif terhadap koko perlu ditangani," katanya pada sidang akhbar Rancangan Masakan Majalah Inspirasi Koko musim kelima di sini, hari ini.
Antara persepsi negatif itu ialah koko boleh menyebabkan kerosakan gigi dan kualiti coklat luar negara seperti dari Switzerland adalah lebih baik berbanding buatan Malaysia.
Pada tahun lalu, pendapatan eksport biji koko dan produk-produk koko dianggarkan berjumlah RM3.22 bilion dan nilai import pula sebanyak RM3 bilion.
Azhar berkata, industri koko tempatan perlu memberi tumpuan terhadap pasaran Eropah kerana terdapat pertumbuhan pasaran yang tinggi di benua tersebut selain disokong oleh bilangan penduduk ramai.
''Pasaran tempatan mengalami pertumbuhan antara dua hingga tiga peratus setahun manakala pertumbuhan pasaran Eropah pula antara lima hingga 15 peratus setahun . Oleh itu terdapat banyak peluang," ujarnya.
Sementara itu, Azhar meminta orang ramai agar membuang tanggapan-tanggapan negatif yang sering dikaitkan dengan produk-produk koko seperti kegemukan, sakit gigi, jerawat, kolestrol dan sebagainya.
"Sehubungan itu, LKM menerbitkan rancangan demonstrasi masakan berasaskan koko di televisyen atau dikenali sebagai 'Inspirasi Koko' yang akan ditayangkan di saluran RTM2 pada setiap hari Ahad selama 30 minit dalam tempoh 13 minggu.
"Program ini merupakan antara strategi jangka panjang yang dijalankan LKM untuk mendidik dan menyebar maklumat dan pengetahuan yang tepat tentang khasiat dan kebaikan semulajadi koko," katanya.
No comments:
Post a Comment