Perdana Menteri yang tiba pada pukul 3 petang berkesempatan melawat kesemua 12 ruang pameran makmal Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk melihat dengan dekat pelan-pelan transformasi yang dirangka bagi melonjakkan ekonomi negara.
Makmal berkenaan terdiri daripada makmal berkaitan Minyak, Gas dan Tenaga, Minyak sawit, Perkhidmatan Kewangan, Pelancongan, Perkhidmatan Perniagaan, Elektrik dan Infrastruktur, Pertanian dan akhir sekali Greater Kuala Lumpur.
Di setiap ruang pameran berkenaan, Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira lima minit untuk mendengar penerangan ringkas mengenai keputusan setiap makmal.
Kehadiran beliau yang diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala menarik perhatian pengunjung hari terbuka yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman atau merakamkan gambar kenangan.
Turut mengiringi beliau ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K. Devamany.
Selepas hari terbuka di sini, Pemandu akan menganjurkan acara yang sama di Hotel Sheraton, Kuching, Sarawak pada 4 Oktober ini diikuti di Hotel Magellan Sutera Harbour, Kota Kinabalu, Sabah pada 7 Oktober.
ETP merupakan sebahagian daripada agenda komprehensif ekonomi merangkumi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), Model Ekonomi Baru (MEB) dan prinsip-prinsip 1Malaysia iaitu 'Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan'.
Sementara itu, NKEA pula merupakan pemacu aktiviti ekonomi yang mempunyai potensi untuk terus menyumbang kepada satu amaun yang dapat mengkuantifikasikan pertumbuhan ekonomi negara.
Kajian yang dilakukan 12 makmal berkenaan disertai lebih 500 peserta daripada 200 syarikat swasta, agensi kerajaan, badan perundangan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ia merupakan susulan kepada bengkel membabitkan ribuan rakyat yang bersidang pada Mei lalu yang mencapai kata sepakat mengenai sektor-sektor utama kepada pertumbuhan ekonomi.
No comments:
Post a Comment