Sehubungan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan Bank Negara wajar mengkaji semula cadangannya yang mahu bank-bank tempatan mengurangkan pinjaman perumahan daripada 90 peratus kepada 80 peratus.
Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, sepatutnya Bank Negara menggalakkan pemberian pinjaman perumahan sehingga 100 peratus.
''Ini kerana golongan muda khususnya yang baru tamat belajar masih tidak berkemampuan disebabkan gaji yang rendah tetapi ingin memiliki rumah sendiri,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Biro Ekonomi Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan mahu Bank Negara menangguhkan cadangan menurunkan nisbah pinjaman berbanding nilai (LVR) pajakan sesuatu hartanah kepada 80 peratus.
Dr. Maamor berkata, pinjaman penuh ini sebagai usaha kerajaan untuk menggalakkan setiap rakyat memiliki rumah sendiri.
''Secara tidak langsung ini akan menggalakkan perkembangan industri perumahan di negara ini menjadi lebih rancak,'' katanya.
Sehubungan itu, katanya, adalah tidak adil jika Bank Negara meneruskan kajian itu sebaliknya mencari kaedah lain yang mengambil kira semua kepentingan rakyat.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhd. Razak Idris berkata, Bank Negara sepatutnya lebih memikirkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam soal pinjaman perumahan supaya dapat memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah sendiri.
''Jika pinjaman perumahan sehingga 80 peratus sudah tentu akan membebankan lagi rakyat kerana pendapatan juga perlu diagihkan untuk keperluan lain,'' katanya.
Muhd. Razak berkata, jika Bank Negara melaksanakan kajian ini sudah pasti akan menambahkan lagi tekanan kepada rakyat yang berpendapatan rendah.
Sehubungan itu, katanya, Bank Negara perlu memikirkan kaedah lain yang tidak menghalang kemampuan golongan bumiputera membeli rumah.
No comments:
Post a Comment