Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle Fund), penyedia pembiayaan dana teknologi komersial dijangka menepati sasarannya untuk meluluskan sehingga 30 geran pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazrin Hassan berkata, pihaknya menerima maklum balas menggalakkan sejak pemberian dana modal pengkomersialan di bawah program pelaburan CIP 500 dibuka pada November tahun lalu.
Sehingga hari ini, Cradle Fund menerima lebih 110 permohonan.
''Bagaimanapun, kami percaya masih banyak syarikat-syarikat layak belum menerima maklumat mengenai CIP 500.
''Justeru, kami akan mengambil pendekatan untuk meningkatkan maklumat mengenai program ini,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Cradle Fund menawarkan dua jenis geran bersyarat pra-permulaan iaitu CIP Catalyst dab U-CIP Catalyst dan awal/pengkomersilan (CIP 500).
Geran pra-permulaan menawarkan dana sehingga RM150,000 kepada kumpulan individu bagi membangunkan idea teknologi inovatif mereka dalam bentuk prototaip atau konsep nyata.
Sementara geran awal/pengkomersialan pula menawarkan sehingga RM500,00 untuk membantu usahawan tempatan memulakan syarikat dengan teknologi inovatif.
Pada Jun lalu, Cradle Fund telah meluluskan lima geran dan mengesahkan enam lagi syarikat bakal menerima kelulusan peringkat kedua.
Enam syarikat itu ialah Fexsoft Sdn. Bhd., Fonpackets Sdn. Bhd., Southpaw Sdn. Bhd., Serious Software Sdn. Bhd., Yellow Elevator Sdn. Bhd. dan Auto Discounts Sdn. Bhd..
Nazrin menambah, Cradle Fund mewujudkan CIP 500 sebagai pendekatan bantuan jangka sederhana untuk mengurangkan jurang penjanaan dana di peringkat komersial di Malaysia.
''Dengan pendekatan asas lain, kami perlu bekerja lebih keras lagi untuk dana komersial ini dan pada jangka panjang, ia juga akan membantu meluaskan aliran dana pengkomersialan bagi lebih ramai usahawan tekno,'' ujarnya.
Jelasnya, kumpulan penganalisisnya sentiasa mencari jalan dengan idea-idea produk yang akan menjana minat di kalangan sasaran pasaran serta memiliki keunikan dan pengukuhan untuk bersaing, sekali gus akan menarik rundingan akan datang dan penjanaan modal kerjasama.
Bersama sokongan pengkomersialan yang diperlukan, CIP 500 menyediakan dana bagi produk pembangunan, percubaan, rekaan dan pembungkusan, perbelanjaan pemasaran, penyelidikan Internet Protokol dan pendapatan.
Selain itu, faedah pekerja, penyewaan dan utiliti, pembelian perkakasan dan perisian, latihan, pelan pemulihan perniagaan serta teknologi perlesenan dan pengambilan alih.
Tambah beliau, Program CIP 500 masih lagi menerima permohonan dan sebarang maklumat mengenainya boleh didapati di laman web www.cradle.com.my.
No comments:
Post a Comment