Friday, September 3, 2010

KURANGKAN GUNA BEG PLASTIK


Para peniaga khususnya pemilik pasar raya besar mampu menjimatkan kos sehingga jutaan ringgit setahun jika mereka menghentikan penggunaan beg plastik dalam urusan jual beli.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, paling penting, langkah tersebut dapat membantu menyelamatkan alam sekitar.

Katanya, ini kerana Malaysia merupakan pengguna beg plastik konvensional yang tinggi iaitu lapan bilion setahun dan para peniaga merupakan kumpulan pengguna terbesar beg plastik tersebut.

“Pasar raya besar seperti Mydin misalnya memperuntukkan sehingga RM1.2 juta setahun untuk memberi beg plastik percuma kepada pengguna.

“Tetapi jika para peniaga boleh untuk tidak menggunakan beg plastik maka ia bukan sahaja menguntungkan alam sekitar tetapi secara tak langsung menjimatkan mereka daripada membeli beg plastik,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen penggunaan beg plastik oxo-biogradable di pasar raya Mydin di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (SMI), Chua Tiam Wee, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Ameer Ali Mydin dan aktivis alam sekitar yang juga pelakon terkenal, Maya Karin.

Beg plastik oxo-biogradable merupakan beg plastik boleh urai yang mampu reput dan lupus dalam tempoh masa enam bulan hingga setahun berbanding beg plastik konvensional yang mempunyai jangka hayat sehingga 500 tahun.

Ismail berkata, biarpun pihaknya tidak menguatkuasakan undang-undang mengharamkan penggunaan beg plastik namun usaha berterusan memberi kesedaran kepada orang ramai akan dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment