Beliau berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana banyak cadangan yang dikemukakan oleh MRS sebelum ini didapati tidak masuk akal kerana ia hanya melibatkan unjuran berasaskan indikator pendapatan perkapita serta indeks harga pengguna (IHP).
Menurutnya, kedua-dua indikator tersebut bersifat palsu kerana pendapatan perkapita dan IHP tidak menjamin kekuatan kuasa beli rakyat apabila wujud jurang pendapatan yang semakin besar antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah di kalangan rakyat di negara ini.
"Meskipun jurang pendapatan di negara ini tidak begitu melebar seperti di negara-negara lain, akan tetapi jurang itu semakin meluas dan IHP juga tidak mampu mencerminkan peningkatan inflasi yang dirasai rakyat.
"Tindakan kerajaan beberapa tahun lalu menaikkan harga petrol dan tol secara mengejut didapati telah menjejaskan perbelanjaan golongan berpendapatan sederhana rendah dan rendah. Ditambah dengan kewujudan MRS yang telah menjejaskan lagi usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat di negara ini.
"Justeru saya berharap kerajaan dapat membubarkan sahaja MRS ini kerana ia hanya menguntungkan kerajaan bukannya rakyat. Kita tidak perlu makmal pun untuk membuat keputusan mengurangkan subsidi seperti mana yang dicadangkan oleh MRS ini,'' katanya menerusi laman blognya, www.drkhir.com.
Tambah Mohamad Khir, MRS jika diteliti mempunyai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) mereka sendiri untuk dicapai bagi menentukan kejayaan serta keberkesanan peranan mereka dalam mengurangkan bebanan subsidi kerajaan.
Maka, beliau menjangkakan bahawa MRS ini sudah pastinya akan berusaha mengurangkan bebanan subsidi kerajaan tanpa mempedulikan masalah rakyat agar KPInya dicapai.
Dalam masa yang sama, beliau memberikan contoh cadangan makmal ini seperti pembelian petrol menggunakan Mykad dan pemberian subsidi terhad menggunakan sistem tertentu yang dilihat tidak munasabah untuk menangani isu kenaikan harga bahan bakar itu.
Kerajaan tidak menerima cadangan MRS itu sebaliknya menggunakan cadangan orang ramai dengan memberi pilihan kepada pengguna sama ada mahu petrol subsidi atau petrol harga pasaran.
"Alhamdulillah, mereka yang mampu secara sukarela menggunakan petrol RON 97 yang tidak disubsidikan. Justeru, apa perlunya MRS ini jika hanya menambah bebanan dan tekanan kepada kerajaan dan Barisan Nasional (BN).
"Adalah lebih masuk akal jika kerajaan menubuhkan Makmal Menurunkan Kos Sara Hidup Rakyat atau Makmal Mengurangkan Bebanan Hidup Rakyat. Barulah nampak rakyat diutamakan," tegasnya lagi.
No comments:
Post a Comment