Sunday, September 12, 2010

KERAJAAN PERLU BERHATI-HATI


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap kerajaan berhati-hati terhadap cadangan untuk memperdagangkan semula ringgit di luar pesisir.

Beliau berkata, cadangan tersebut ada bahayanya kerana penyangak mata wang sentiasa mengambil kesempatan dalam usaha meningkatkan jumlah dagangan mereka setiap hari.

Untuk makluman, beliau berkata, pada masa ini jumlah dagangan yang dibuat oleh penyangak mata wang sehari adalah AS$4 trilion (RM12.44 bilion) dan ia menyamai dengan jumlah keseluruhan hasil pengeluaran kilang di Jerman bagi tempoh setahun.

‘‘Saya amat berharap supaya kerajaan lebih berhati-hati. Buat kajian betul-betul sebelum membuat keputusan sama ada mahu memperdagangkan semula ringgit di luar pesisir atau sebaliknya.

‘‘Ini kerana ia amat berkaitan dengan bahaya yang dicetuskan oleh penyangak-penyangak mata wang di seluruh dunia yang tidak habis-habis mahu mencuri wang daripada rakyat,’’ katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di The Mines dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan bersikap terbuka terhadap cadangan untuk menjadikan ringgit yang baru-baru ini mencecah paras tertinggi dalam tempoh 13 tahun didagangkan luar pesisir semula.

‘‘Kami boleh sesuaikan, dan jika kami fikir langkah itu dapat membantu ekonomi, sudah tentu kami akan menyemak semula kedudukan ini," kata Najib ketika ditanya sama ada ringgit akan didagangkan luar pesisir semula.

Najib berkata demikian dalam wawancara dengan Martin Soong yang disiarkan menerusi CNBC Asia, semalam.

Pada tahun 1997 iaitu ketika Malaysia masih di bawah pemerintahan Dr. Mahathir pernah menjadi mangsa kepada penyangak mata wang George Soros hingga mengakibatkan berlaku krisis ekonomi.

Dr. Mahathir berkata, semua pihak harus sedar walaupun jumlah dagangan oleh penyangak mata wang mencecah AS$4 trilion, ia langsung tidak membawa sebarang faedah kepada negara atau rakyat.

‘‘Adakah aktiviti mereka dapat mewujudkan peluang pekerjaan, perniagaan atau perdagangan. Jawapannya, tidak. Meskipun jumlahnya amat besar ia langsung tidak memberi kebaikan kepada masyarakat.

‘‘Jika saya dilantik sebagai Presiden dunia sudah tentu golongan ini akan dikenakan tindakan paling tegas,’’ ujarnya.

No comments:

Post a Comment