Tahun lepas Westports mencatat perolehan kira-kira RM700 juta.
Faktor lain yang akan mendorong pendapatan, termasuk daya pemprosesan, tindakan berterusan untuk meningkatkan kecekapan, pelanggan sedia ada serta pelanggan baharu dan utama, yang melihat Westports sebagai hab yang memenuhi keperluan perkhidmatan pelabuhan masing-masing yang lebih baik, kata Pengarah Eksekutifnya, Ruben Emir Gnanalingam.
"Tahun terbaik kami ialah 2008 di mana kami mencapai sasaran perolehan RM950 juta. Walaupun jumlah perniagaan meningkat ketara susulan itu, angkanya tidak setanding dengan pencapaian tinggi 2008 akibat krisis ekonomi global, dengan ramai pelanggan meminta rebat," kata Ruben dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.
Westport dijangka mengendalikan kontena kira-kira 5.4 juta TEU (bersamaan unit dua puluh kaki) tahun ini, atau kira-kira 30 peratus lebih tinggi berbanding 2009.
Bagi enam bulan pertama tahun ini, beliau berkata, pelabuhan itu mencapai sasaran lebih daripada 2.6 juta TEU.
"Kami mempunyai pelanggan baharu yang masuk menerusi Singapura, seperti United Arab Shipping Corp., yang telah menukar habnya dari negara bandar raya itu.
"Ini telah menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan kami manakala pelanggan sedia ada turut memberi sokongan secara berterusan," katanya.
Kata beliau, strategi pasaran Westport sentiasa berasaskan kepada produktiviti dan tempoh masa pemprosesan.
"Kami mempunyai rekod dunia bagi tempoh masa pemprosesan dan purata kami lebih tinggi berbanding pelabuhan lain. Ini telah meletakkan kami secara strategik untuk menyediakan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan dan juga merupakan faktor kenapa mereka datang kepada kami," katanya.
Ruben berkata, Westports merancang melabur antara RM3 bilion dan RM4 bilion sepanjang 15 tahun akan datang untuk peluasannya, termasuk dermaga, kemudahan dan peralatan.
Katanya, syarikat itu akan menggunakan dana yang dijananya sendiri dan keuntungan daripada program penerbitan nota jangka sederhana (MTN) sukuk musyarakah sebanyak RM800 juta, yang diperuntukkan pada 2008.
Ditanya kenapa syarikat itu meneruskan pembiayaan sukuk, beliau berkata: "Pembiayaan Islam memberikan urus niaga yang lebih baik dan terdapat penglibatan bersama berkongsi risiko dan faedah,".
Menurut Ruben, Westports juga memulakan projek penebusan tanah secara besar-besaran di premis pelabuhannya, untuk membina dermaga tambahan sepanjang dua kilometer.
Syarikat itu juga sedang mengkaji untuk membina satu lagi dermaga sepanjang 300 meter dan limbungan sama dengannya.
"Kami mengharapkan untuk membina dermaga 300 meter setiap tahun bagi tiga atau empat tahun lagi," katanya.
Kata beliau, apabila pelabuhan itu mencapai sasaran 50 peratus kapasiti tahun itu, syarikat akan memulakan rancangan perkembangan selanjutnya.
Pada Julai tahun ini, kata beliau, pelabuhan itu mencapai kapasiti kira-kira 55 peratus, yang mendorong untuk peluasannya sekarang.
Westports tidak menolak untuk disenaraikan sebagai syarikat awam bagi mengumpul dana yang diperlukan jika ia bercadang mengambil alih pelabuhan baharu di India.
Westport sekarang sedang mencari peluang untuk mengambil alih pelabuhan di India dan ini memerlukan dana.
No comments:
Post a Comment