Sunday, March 20, 2011
Bloomberg terus fokus
Bukan mudah untuk bersaing dengan 650 syarikat dari seluruh pelosok dunia tetapi ia bukan ancaman jika Bloomberg terus memberikan yang terbaik, kata Presiden Bloomberg LP, Daniel L. Doctoroff.
Menurut peneraju penyedia perkhidmatan maklumat dan berita kewangan dunia, Doctoroff, pihaknya tidak pernah melihat persaingan sebgai ancaman.
‘‘Bloomberg terus fokus terhadap apa yang perlu dilakukan oleh syarikat itu untuk memastikan ia masih berada dalam radar persaingan tersebut.
‘‘Kami tidak boleh terlalu memikirkan kepada persaingan sebaliknya apa yang lebih penting kita perlu memberi keutamaan apa yang harus dilakukan untuk memastikan perkhidmatan dan produk adalah lebih baik,’’ kata beliau yang merupakan bekas Datuk Bandar New York.
Doctoroff menegaskan, apa yang penting perkhidmatan dan produk yang ditawarkan mampu memenuhi jangkaan pelanggan.
‘‘Kami percaya dengan melakukan strategi tersebut, kami sentiasa meningkatkan produk dan perkhidmatan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini.
Doctoroff yang menerajui Bloomberg sejak 2008 berkata, keutamaannya adalah kekal menyediakan produk lebih nilai dengan harga kompetitif kepada para pelanggan sedia ada dan pelanggan berpotensi di seluruh dunia.
Sebagai contohnya, Bloomberg telah melancarkan platform Maklumat Kerajaan di Amerika Syarikat dan platform perkhidmatan kewangan Islam di Kuala Lumpur, baru-baru ini dalam usaha meningkatkan nilai dalam produk dan perkhidmatannya.
‘‘Kita merancang untuk meluaskan platform Maklumat Kerajaan di negara-negara lain, selain melancarkan pasaran perundangan tidak lama lagi,” kata beliau yang merupakan ahli perniagaan yang berjaya dan pernah berkhidmat dengan gergasi kewangan Lehman Brothers yang kini muflis akibat krisis kewangan.
Bloomberg kini menguasai satu pertiga daripada AS$24 bilion (RM72.48 bilion) pasaran data kewangan global dengan asas langganan sebanyak 300,000 bagi terminal perniagaan yang menjadi penyumbang utama kepada perolehannya.
Doctoroff mengunjurkan untuk meningkatkan pendapatan Bloomberg kepada AS$10 bilion (RM302 bilion) menjelang 2014 berbanding AS$7 bilion (RM21.14 bilion) sekarang melalui peningkatan nilai perkhidmatannya.
Ketika diminta mengulas tentang dakwaan kononnya Amerika Syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan krisis ekonomi dunia, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Perundangan Pasaran-Pasaran Modal berkata, adalah tidak adil untuk saling menuding jari kepada mana-mana pihak.
Ini kerana, semua negara terdedah kepada pelbagai riskiko ekonomi dan Amerika Syarikat juga tidak dapat lari daripada risiko tersebut.
Ditanya sama ada dunia perlu melakukan reformasi untuk memastikan kestabilan kewangan, Doctoroff berkata: ‘‘Asas landasan bagi pembaharuan telah pun dilaksanakan.
Bagaimanapun, masih terlalu banyak perbezaan risiko yang masih belum dikenali dunia dan memerlukan banyak kajian sebelum membuat undang-undang baru.
‘‘Kami sendiri pun tidak tahu bagaimana undang-undang pasaran modal akan dilaksanakan. Sebenarnya masih banyak pembaharuan kewangan yang tidak jelas,” tambah beliau lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment