Wednesday, March 2, 2011

Sasar premium RM180 juta


Great Eastern Takaful Sdn. Bhd. (GET) menyasarkan produk terbaharunya, i-Early Payout CriticalCare Rider (i-EPCC) bakal mencerahkan lagi peluangnya menjadi antara tiga pengendali takaful terbesar menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Salihuddin Ahmad berkata: "Skim ini adalah yang pertama diperkenalkan dalam industri takaful di negara ini. Ia menjadi kelebihan yang mampu menarik masyarakat untuk melanggan i-EPCC.''

Beliau berkata, di bawah pelan itu, pembayaran pada kadar tertentu akan dibuat jika pelanggannya dikesan mempunyai penyakit kritikal pada peringkat awal.

Ini membolehkan pelanggan membelanjakan wang tersebut bagi tujuan pencegahan awal dan tidak perlu menunggu sehingga keadaan menjadi semakin kritikal untuk mendapatkan pembayaran, tambah Mohamad Salihuddin pada majlis pelancaran i-EPCC di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi GET, Elmie Aman Najas; Naib Presiden dan Ketua Agensi Pengagihan, Ariff Azhan Abd. Ghani dan Ketua Aktuarinya, Wong Kang Yuan.

Mohamad Salihuddin bagaimanapun berkata, mana-mana individu yang mahu menyertai produk tersebut mestilah terlebih dahulu melanggan i-Critical Illness Benefit Rider (i-CIBR) yang berada di bawah produk perlindungan nyawa, i-Great Damai.

"Setelah dua bulan beroperasi, sejumlah 80 peratus pelanggan i-Great Damai melanggan i-CIBR. Daripada peratusan itu, kami mahu separuh daripadanya melanggan i-EPCC," katanya.

Katanya, pengenalan produk tersebut merupakan salah satu usaha GET menjana pendapatan premiumnya yang dianggarkan berjumlah RM180 juta pada tahun ini.

Jelas Kang Yuan, sasaran RM180 juta itu bakal meletakkan GET antara tiga pengendali takaful terbesar dalam negara berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kami yakin mencapai sasaran itu dengan adanya penambahan beberapa ciri terbaru ke atas produk serta meningkatkan bilangan ejen.

"Ketika ini GET sudah mempunyai 5,000 ejen. Kami mahu menambah seramai 3,000 ejen lagi menjadi 8,000 ejen menjelang akhir tahun," kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment