Thursday, March 10, 2011

Syarikat Malaysia catat jualan RM49 juta di Dubai


Syarikat-syarikat makanan dan minuman yang terlibat dalam Pameran Gulfood 2011 yang berlangsung di Dubai berjaya memperoleh jualan sebanyak AS$16.2 juta (RM49 juta).

Nilai itu tidak termasuk jumlah potensi jualan sebanyak AS$28.5 juta (RM86.3 juta) yang masih dalam rundingan, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Sebanyak 54 syarikat tempatan dalam industri itu menyertai Gulfood, yang merupakan pameran makanan dan minuman terbesar di Asia.

Jumlah eksport makanan proses negara ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) meningkat sebanyak RM214 juta pada 2009 kepada RM227.3 juta pada 2010.

Dubai pula adalah antara rantau pengimport makanan dan minuman terbesar dengan nilai sebanyak AS$4.32 bilion (RM13.08 bilion) pada 2010, berbanding kepada AS$3.87 bilion (RM11.72 bilion) pada 2009.

Lebih daripada 75 peratus daripada makanan import dieksport semula ke Negara-Negara Kerjasama Teluk (GCC).

Sektor perkhidmatan makanannya dijangka tumbuh secara purata tiga hingga lima peratus setahun bagi tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Noharuddin Nordin berkata, pasaran makanan dan minuman GCC menawarkan peluang eksport yang begitu besar kepada Malaysia.

''Selepas melaksanakan promosi bertahun, produk-produk makanan dan minuman tempatan kini boleh didapati secara meluas di pasar-pasar raya di rantau itu, apatah lagi sijil halal negara turut diterima di sana,'' katanya.

UAE juga merupakan pusat bagi mengeksport semula bagi membekalkan kepada 1.8 juta penduduk di rantau itu termasuk Afrika, GCC, India, Iraq, Iran dan Pakistan.

Pada 2009, nilai eksport semula adalah sebanyak AS$32.78 bilion (RM99.3 bilion), yang mana menyediakan makanan berjumlah AS$603 juta (1.82 trilion).

No comments:

Post a Comment