Saturday, March 5, 2011

Muka-muka baru bakal terajui GLC.


Beberapa muka baharu dijangka bakal menerajui syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan badan pengawas selia untuk memperkasakan lagi prestasi entiti-entiti terbabit.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin mengakui bahawa akan ada berlaku perubahan penstrukturan dalam GLC sambil menyifatkannya sebagai biasa yang dilakukan dari semasa ke semasa.

''Mana-mana organisasi yang telah lama diterajui oleh orang yang sama akan diganti dengan muka baharu, seiring dengan harapan kerajaan bahawa mereka akan membawa perubahan.

''Pelantikan baharu ini untuk memastikan perubahan dapat dilakukan dalam GLC ke arah prestasi yang lebih baik,'' katanya selepas merasmikan pelancaran Kuiz Pelaburan Permodalan Nasional Bhd. di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas spekulasi bakal berlakunya perubahan peneraju dalam GLC.

Baru-baru ini, kerajaan telah mengumumkan pelantikan Datuk Tajuddin Atan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd. sebagai menggantikan Yusli Mohamad Yusoff yang kontaknya tidak dilanjutkan.

Dipercayai beberapa peneraju dalam badan pengawas selia dan GLC bakal menamatkan kontrak pada tahun ini termasuk Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Zarinah Anwar, Presiden dan Ketua Eksekutif Tenaga Nasional Bhd., Datuk Seri Che Khalib Mohd. Noh.

Ditanya sama ada peneraju sedia ada bakal ditempatkan ke entiti baru, Awang Adek berkata, sukar untuk diulas kerana pelantikan baharu dan pelantikan semula bergantung kepada kelulusan pemegang kepentingan terbesar.

''Contohnya, kedudukan peneraju syarikat-syarikat GLC yang berada di bawah Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) akan ditentukan oleh Khazanah selaku pemiliknya dan barisan Lembaga Pengarah serta mendapat persetujuan Perdana Menteri,'' ujar beliau.

Mengulas prestasi semasa GLC, Awang Adek berkata, setakat ini kedudukan GLC adalah sangat baik dalam aspek keuntungan tetapi pada masa sama ada juga yang kurang memberangsangkan.

''Jadi, dalam isu aspek tempoh kontrak berakhir, seeloknya perubahan kepada muka baru dengan harapan dapat memacu GLC ke arah prestasi lebih baik,'' kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment