Tuesday, March 1, 2011

Industri keluli bertambah baik.


Industri besi dan keluli negara dijangka berkembang pesat tahun ini berikutan sokongan daripada projek yang diumumkan kerajaan dan pemulihan ekonomi negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pengusaha dalam industri tersebut akan mendapat kesan positif daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang sedang rancak berjalan tahun ini.

Menurutnya, perlaksanaan projek-projek ETP contohnya seperti Projek Transit Aliran Pantas (MRT) yang akan bermula Julai depan akan meningkatkan permintaan terhadap produk besi dan keluli.

''Saya jangka industri besi dan keluli akan bertambah baik tahun ini setelah mengalami kesukaran pada tahun 2009.

''Bagi tahun lalu, eksport industri tersebut meningkat 15.5 peratus kepada RM26.9 bilion manakala import meningkat 26.7 peratus kepada RM50.3 bilion berbanding tahun 2009,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas sesi dialog antara MITI dengan 10 persatuan industri logam, di sini hari ini.

Pada sesi dialog tersebut, persatuan industri logam membangkitkan tiga isu utama iaitu keseimbangan sektor huluan dan hiliran, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China dan piawaian logam negara.

Mustapa berkata, ketika ini sektor hiliran dalam industri itu kurang diberi perhatian dan tidak berkembang dengan baik sejak beberapa tahun sebelum ini.

Katanya, MITI akan mengkaji semula masalah tersebut dan cuba untuk merangka dasar baharu dalam sektor hiliran supaya ia dapat ditingkatkan serta seimbang dengan sektor huluan industri besi dan keluli.

''Isu FTA dengan China merupakan antara cabaran yang besar dihadapi industri ini berikutan perbezaan harga yang ketara bagi bahan mentah antara China dengan Amerika Syarikat.

''Perkara ini juga dibangkitkan oleh beberapa negara ASEAN yang lain. MITI akan mengadakan perbincangan dengan China dalam masa terdekat bagi mencari jalan terbaik untuk kedua-dua pihak,'' jelasnya.

Katanya lagi, perdagangan Malaysia dengan China dalam industri ini juga menyusut 7.1 peratus tahun lalu berikutan persaingan yang kuat dengan pengeluar tempatan di China.

''China mengeluarkan lebih 600 juta tan bahan mentah besi setahun dan ini menyukarkan pengusaha Malaysia berkembang di sana,'' ujarnya.

Sementara itu, MITI juga sedang merangka kertas kerja baharu berkenaan hasrat untuk menghasilkan sendiri bijih besi bagi pasaran tempatan dan eksport.

Mustapa berkata, ketika ini negara terpaksa mengimport bijih besi dan hanya aktiviti memprosesnya sahaja dilakukan dalam negara.

''Kita mempunyai sumber bijih besi yang banyak dan tidak diterokai lagi. Oleh itu, perancangan telah dibuat untuk menjayakannya bagi menjana ekonomi tempatan.

''Perkara ini masih di peringkat perbincangan dan akan diumumkan kelak jika semua perkara sudah diselesaikan,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment