Sunday, March 20, 2011
GM sedia bekerjasama dengan Naza
General Motors (GM) Thailand, pengeluar kenderaan Chevrolet bersedia bekerjasama dengan pengedar tunggal kenderaan itu di Malaysia, Naza Quest Sdn. Bhd., selain merancang meluaskan pasarannya di Malaysia.
Presiden GM Thailand dan Asia Tenggara, Martin Apfel berkata, memorandum persefahaman (MoU) yang dijalinkan oleh kedua-dua pihak berpotensi mengadakan pengeluaran secara bersama tetapi ia terpulang kepada Naza Quest untuk mencari alternatif.
"Kami masih menanti apa yang ingin ditawarkan oleh Naza Quest selain berbagai perkara lain yang perlu dipertimbangkan bagi memasang Chevrolet di Malaysia," katanya kepada media Malaysia yang melawat kilang GM di Rayong Thailand di sini.
Kilang GM di Thailand telah mengeluarkan 71,681 buah kenderaan pada tahun lalu berbanding jumlah keseluruhan industri sebanyak 1.8 juta buah kenderaan.
Daripada jumlah itu, sejuta kenderaan dieksport manakala 800,000 lagi bagi pasaran domestik.
Menurut Apfel, sebarang keputusan kini bergantung sepantas mana Naza Quest yang dimiliki Kumpulan Naza boleh menyelesaikan urusan berkaitan pemasangan kereta Chevrolet di Malaysia.
Beliau berkata, pihaknya telah diberi taklimat tentang keupayaan Kumpulan Naza bagi mengeluarkan kereta dari kilangnya di Gurun, Kedah.
Namun Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin secara peribadi berkata, pihaknya mahu mendirikan sebuah kilang baru berikutan kapasiti kilang di Gurun hampir memenuhi pengeluaran maksimum.
"Apa yang boleh dilakukan kini ialah mengharap agar Naza Quest dapat mempercepatkan kerja-kerja mereka bagi kebaikan kedua-dua pihak," katanya.
Mengulas lanjut, Apfel berkata, kilang di Rayong ketika ini mampu membekalkan kereta Chevrolet Cruze untuk pasaran Asia Tenggara selain mengeluarkan jenama lain secara kontrak.
Katanya, walaupun Malaysia mendapat bekalan semasa Chevrolet Cruze dari Korea yang harganya tinggi sedikit tetapi pihaknya sedang berusaha membekalkan sebanyak mungkin berdasarkan tempahan diterima.
Apfel berkata, terdapat kemungkinan kenderaan itu Chevrolet Cruze yang kini dipasang di Thailand akan dipasang di Malaysia namun setakat ini tiada keputusan boleh dilakukan kerana perbincangan masih lagi dilakukan.
Beliau memuji komitmen yang dilakukan oleh Naza Quest yang bersungguh-sungguh untuk menjayakan rancangan itu dan berharap ia dapat direalisasikan secepat mungkin.
Dalam perkembangan berkaitan, Kumpulan Naza dilaporkan sedang menimbang tawaran beberapa kerajaan negeri yang menawarkan lokasi untuk menempatkan kilang pemasangan kereta yang baharu.
SM Faisal yang enggan mengulas lanjut berkata, tawaran itu sedang dipertimbangkan dalam usahanya mengembangkan perniagaan terutamanya mendirikan kilang pemasangan.
Utusan Malaysia difahamkan Kerajaan Melaka turut menyatakan kesediaannya untuk membantu Kumpulan Naza menempatkan kilang pemasangan kereta terbaharunya setelah berjaya memikat Honda beroperasi di negeri tersebut.
Kumpulan itu dilaporkan turut mengintai tanah di Perak bagi tujuan tersebut selain mempunyai sebidang tanah di Bertam, Pulau Pinang.
Menurut SM Faisal, pembinaan sebuah kilang baharu dikatakan memerlukan pelaburan RM400 juta termasuk kos bangunan, tanah, peralatan dan kos-kos lain.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment