Tuesday, March 8, 2011
Kelonggaran dasar tingkat pelaburan
Pemberian kelonggaran terhadap pegangan asing dalam perbankan komersial di negara ini dijangka mampu menarik minat pelabur asing dalam saham-saham perbankan tempatan.
CIMB Research dalam laporannya berkata, langkah itu juga membolehkan pemegang kepentingan strategik asing menjana kepentingan dan meningkatkan nilai tambah dalam bank.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kemungkinan menimbang membenarkan ANZ meningkatkan kepentingannya dalam AMMB sebanyak 49 peratus berbanding 30 peratus sekarang, seperti mana yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Pada April 2008, bank pusat telah mengumumkan pendekatan liberalisasi sektor kewangan, termasuk meningkatkan had ekuiti asing bagi peaburan bank, perbankan Islam, syarikat insurans dan pengendali takaful daripada 49 peratus kepada 70 peratus.
Bagaimanapun, setakat ini, BNM tidak memberi sebarang petunjuk akan meningkatkan had bagi perbankan komersial.
ANZ kini menguasai sebanyak 23.8 peratus dalam AMMB.
CIMB Research menambah, terdapat spekulasi bahawa Tan Sri Azman Hashim akan menjual saham tidak langsungnya sebanyak 16.7 peratus.
ANZ pula bercita-cita untuk mengukuhkan lagi kedudukannya di rantau Asia, bagi menjana 20 peratus keuntungannya dari Asia menjelang 2012 berbanding 14 peratus sekarang.
Firma penyelidikan itu berkata, sebarang kelulusan bagi Kumpulan Perbankan Australia dan New Zealand untuk memegang sebanyak 49 peratus dalam AMMB Holdings Bhd. (AMMB) akan menarik pelabur strategik asing lain untuk sama berbuat demikian.
Selain AMMB, bank-bank lain yang turut memiliki pegangan asing termasuk Abu Dhabi Commercial Bank yang memiliki 25 peratus dalam RHB Capital, Bank of East Asia mempunyai 20 peratus kepentingan dalam Affin Holdings) dan Temasek sebanyak 14.3 peratus dalam Kumpulan Alliance Financial.
Tambah CIMB Research, langkah itu juga akan mengukuhkan kedudukan institusi perbankan tempatan.
Berikutan itu, CIMB Research mengekalkan kedudukan 'lebih tumpuan' dalam sektor perbankan berasaskan kepada penarafan semula potensi dalam pertumbuhan pendapatan yang kukuh, pendapatan pelaburan yang tinggi, prospek pertumbuhan yang cerah bagi operasi luar negara, unjuran dividen dan minat pelabur asing.
Bagaimanapun, CIMB Research berkata, kelebihan daripada peningkatan kepentingan pemegang saham strategik asing tidak akan memberi kesan signifikan memandangkan mereka merupakan para pemegang saham sedia ada dan terlibat secara aktif dalam operasi bank-bank tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment