Tuesday, March 15, 2011
RM303 bilion untuk direbut di Qatar
Kejayaan Qatar mendapat hak penganjuran Piala Dunia pada 2022 akan membuka peluang pelaburan bernilai AS$100 bilion (RM303 bilion) yang boleh direbut pelabur Malaysia.
Kerajaan negara tersebut kini sedang merancang pelbagai bentuk pembangunan dan kemudahan bagi keperluan penganjuran tersebut.
Antaranya sektor yang perlu diberi perhatian ialah pembinaan, perkhidmatan, komunikasi, perhotelan serta utiliti.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Noharuddin Nordin berkata, syarikat tempatan masih perlu berhadapan dengan persaingan sengit yang bakal dihadapi daripada syarikat negara lain.
“Ini termasuklah dari syarikat gergasi dari negara maju yang pastinya menyedari peluang yang wujud di Qatar.
“Walaupun Malaysia memiliki hubungan yang baik dengan Qatar, kita masih perlu menunjukkan kemampuan tersendiri agar perolehan tender berdasarkan merit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada 200 peserta yang menghadiri seminar Projek di Qatar 2022: Peluang Perniagaan Industri Pembinaan di sini hari ini.
Sementara itu Timbalan CEO Matrade, Dr. Wong Lai Sum menyatakan, Matrade tidak meletakkan sebarang sasaran pelaburan di Qatar.
“Anggaran AS$100 bilion itu masih merupakan anggaran awal. Bagaimanapun, kami mahu syarikat Malaysia mampu memenangi tender kontrak di sana.
“Malahan kini, sudah ada syarikat tempatan melabur di sana dan badan berkuasa di sana berpuas hati dengan prestasi syarikat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, beberapa topik turut disentuh pada seminar itu seperti cabaran dari segi undang- undang, perbezaan budaya kerja masyarakat Arab serta serta risiko persaingan.
Qatar kini seakan berada dalam fasa pembangunan menyeluruh sebuah negara moden, justeru itu, mereka akan memilih syarikat yang mampu menawarkan perkhidmatan yang bertaraf dunia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment