Thursday, March 10, 2011

Rehda: Rumah naik harga hingga 50 peratus


Harga rumah yang bakal dilancarkan pada tahun ini meningkat antara dua peratus hingga 50 peratus atau secara puratanya 13 peratus.

Kaji Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) bagi separuh kedua 2010 mendapati harga bahan binaan dan petrol yang semakin meningkat mendorong kepada kenaikan harga rumah yang dilancarkan pada Januari hingga Jun tahun ini.

Selain itu, pemaju turut berdepan dengan isu kekurangan tanah untuk dibangunkan terutama di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Presiden Rehda, Datuk Seri Michael Yam Kong Choy berkata, hartanah bernilai melebihi RM100,000 sehingga RM500,000 adalah yang senang untuk dijual.

"Ada harga hartanah di beberapa lokasi tertentu di Lembah Klang akan terus berada di paras yang tinggi kerana kekurangan tanah.

"Manakala harga bahan binaan seperti besi pula meningkat sehingga 40 peratus, contohnya pada akhir 2010, harga besi keluli adalah RM1,800 satu tan namun ia melonjak sehingga RM2,580 satu tan pada akhir bulan lalu" katanya pada taklimat media Kaji Selidik Rehda Separuh Kedua 2010 di sini hari ini.

Kaji selidik yang dijalankan Disember lalu melibatkan 135 daripada 972 syarikat ahli Rehda.

Responden terdiri daripada ahli-ahli Rehda di seluruh Semenanjung.

Kong Choy berkata, rumah jenis teres, berkembang dan banglo menjadi pilihan utama responden untuk dilancarkan pada separuh pertama tahun ini.

Ini diikuti oleh kondominium dan pangsapuri, pangsapuri perkhidmatan dan rumah bandar (townhouse).

Beliau menambah, pada suku ketiga tahun lalu, rumah-rumah teres di Kuala Lumpur dijual pada harga purata kira-kira RM430,000 sebuah.

Menyentuh mengenai usaha kerajaan yang melancarkan 'Skim Rumah Pertamaku baru-baru ini, Kong Choy berkata, ia akan meningkatkan harga rumah yang berharga di antara RM100,000 sehingga RM220,000.

"Kami mengalu-alukan inisiatif kerajaan ini, bagaimanapun Rehda merasakan kerajaan perlu menilai semula had harga rumah sehingga RM350,000 di Lembah Klang kerana harga hartanah di kawasan ini lebih tinggi berbanding di negeri-negeri lain.

"Harga RM220,000 itu terlalu rendah untuk pemaju menjayakannya walaupun selepas kami mengecilkan saiz binaan tersebut, " tambah beliau lagi.

No comments:

Post a Comment